Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Rumah PR1MA 2026: Adakah Anda Layak Memohon?

Masuk tahun 2026 tapi masih keliru macam mana nak beli Rumah PR1MA. Namun, dengan harga rumah dan kos sara hidup yang semakin meningkat, impian nak beli rumah semakin sukar dicapai dengan ekonomi sekarang.

PR1MA menawarkan kediaman pada harga lebih mampu milik kepada rakyat Malaysia berpendapatan sederhana. Namun, tidak semua orang terus layak hanya kerana pendapatan berada dalam julat yang ditetapkan.

Jadi, adakah anda layak memohon? Artikel ini akan menerangkan syarat kelayakan, harga rumah, projek tersedia, pilihan pembiayaan dan cara memohon PR1MA.


 Intipati Utama:

  • Rumah PR1MA membantu rakyat Malaysia berpendapatan sederhana memiliki rumah pada harga lebih mampu milik.
  • Pemohon mestilah berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan kasar bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000.
  • Rumah PR1MA boleh dibeli sebagai rumah pertama atau kedua, tertakluk pada syarat pemilikan.
  • Pendaftaran adalah percuma dan boleh dibuat secara dalam talian, tetapi pemohon masih perlu memilih projek serta mendapatkan kelulusan pembiayaan.
  • Sebelum membeli, pembeli perlu mempertimbangkan lokasi, ansuran bulanan, yuran penyelenggaraan dan kemampuan kewangan jangka panjang.


Adakah Anda Layak Untuk Memohon Rumah PR1MA Tahun 2026 Ini?

Ya, anda mungkin layak memohon rumah PR1MA pada tahun 2026 sekiranya anda memenuhi tiga syarat asas berikut:

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun
  • Mempunyai pendapatan kasar bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000 (sama ada secara individu atau gabungan suami isteri)

Rumah PR1MA juga bukan hanya untuk pembeli rumah pertama. Anda masih boleh memohon sebagai pembeli rumah kedua, selagi anda dan pasangan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah ketika permohonan dibuat.

Namun, kelulusan akhir tetap bergantung pada syarat projek, ketersediaan unit dan penilaian pembiayaan oleh pihak bank.

1. Apakah PR1MA?

PR1MA atau Perumahan Rakyat 1Malaysia ialah inisiatif pembangunan perumahan mampu milik yang dilancarkan pada 4 Julai 2011. Perbadanan PR1MA Malaysia kemudiannya ditubuhkan di bawah Akta Perumahan Rakyat 1Malaysia 2012 (Akta 739) untuk menguruskan pembangunan kediaman PR1MA.

PR1MA diwujudkan untuk menyediakan kediaman berkualiti pada harga lebih mampu milik, lengkap dengan kemudahan komuniti yang dapat mewujudkan persekitaran hidup lebih selesa.

Program ini turut melibatkan kerjasama antara kerajaan, pemaju, sektor swasta dan institusi kewangan bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri.

Dalam perkembangan terkini, kesemua 34 projek sakit PR1MA melibatkan 22,925 unit kediaman telah berjaya disiapkan sepenuhnya setakat 31 Mac 2026.

2. Apakah Fungsi PR1MA?

Sebagai badan yang menguruskan pembangunan perumahan mampu milik, PR1MA menjalankan beberapa fungsi utama:

• Pembangunan
Membangunkan dan menyenggara kediaman berkualiti tinggi serta kemudahan komuniti yang holistik bagi rakyat Malaysia berpendapatan pertengahan (M40).

PR1MA kini menyasarkan pembinaan 25,000 unit baharu di bawah Agenda Reformasi Perumahan MADANI di lokasi strategik seluruh negara

• Perancangan dan Penyeliaan
Merancang, menyelia dan mengurus setiap aspek pembangunan, termasuk reka bentuk, pembinaan serta penyelenggaraan kediaman PR1MA dan komuniti di sekitarnya.

• Penetapan Harga dan Pengagihan
Menentukan harga jualan serta mengurus pengagihan rumah kepada pembeli yang layak.

• Kemudahan Pembiayaan
Bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menyediakan pilihan pembiayaan yang lebih mudah diakses oleh pembeli yang layak.

Pengurusan Penawaran dan Permintaan
Mengenal pasti keperluan semasa serta memantau dan mengurus penawaran dan permintaan kediaman PR1MA.

• Perlindungan Jenama
Melindungi dan memperkukuh jenama PR1MA dengan menetapkan serta memastikan pematuhan terhadap standard pembangunan dan pelaksanaan yang ditetapkan.

• Kerjasama Strategik
Bekerjasama dengan kerajaan, pemaju dan sektor swasta untuk membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah.

3. Kenali Rumah PR1MA

Rumah PR1MA dibangunkan untuk membantu rakyat Malaysia berpendapatan sederhana memiliki kediaman sendiri. Setiap projek menawarkan jenis dan saiz rumah yang berbeza mengikut lokasi dan keperluan komuniti setempat.

Melalui pembinaannya di lokasi yang strategik, terdapat pelbagai kemudahan yang terdapat berdekatan dengan perumahan ini, contohnya kedai runcit, sekolah, balai polis dan sebagainya.

a. Berapakah harga projek perumahan PR1MA?

Secara umum, harga rumah PR1MA adalah antara RM100,000 hingga RM400,000. Harga sebenar bergantung pada lokasi, jenis rumah, keluasan unit dan projek yang dipilih.

Dengan julat harga tersebut, PR1MA boleh menjadi salah satu pilihan untuk pembeli yang mencari rumah pada harga lebih mampu milik.

Namun, kemampuan sebenar tetap bergantung pada pendapatan dan komitmen bulanan masing-masing.

b. Jenis kediaman PR1MA

Projek PR1MA boleh ditemui di bandar serta kawasan utama di seluruh Malaysia. Antara jenis kediaman yang ditawarkan ialah:

  • Apartmen
  • Rumah teres satu atau dua tingkat
  • Rumah berkembar
  • Banglo bagi projek tertentu

Secara umum, keluasan apartmen adalah sekitar 600 hingga 1,200 kaki persegi, manakala rumah teres pula sekitar 850 hingga 1,850 kaki persegi. Saiz sebenar mungkin berbeza mengikut reka bentuk dan projek.

Jika anda mahu melihat dan menyemak lokasi pembangunan rumah mampu milik di bawah kendalian Pr1ma dengan lebih terperinci, layari laman web portal rasmi Pr1ma di www.pr1ma.my

c. Senarai Rumah PR1MA

Berikut ialah beberapa contoh projek PR1MA yang masih tersedia setakat tahun 2026:

WilayahProjek PR1MAStatus
UtaraResidensi Meru, IpohDibuka untuk jualan
UtaraBandar PR1MA Teluk IntanDibuka untuk jualan
TengahResidensi Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor
Dibuka untuk jualan
SelatanResidensi Klebang 2, MelakaDibuka untuk jualan
BorneoResidensi Woodford Estate, SabahUnit terhad
BorneoResidensi Borneo Cove, SabahUnit terhad

Sumber : pr1ma.my

Status dan ketersediaan unit boleh berubah dari semasa ke semasa. Oleh itu, pembeli digalakkan menyemak portal rasmi PR1MA sebelum membuat permohonan.

Masih mencari rumah yang sesuai dengan lokasi dan bajet anda? Terokai lebih banyak pilihan hartanah yang tersedia bersama IQI.

4. Syarat kelayakan memohon PR1MA

PR1MA bukan terbuka kepada semua orang, terdapat beberapa syarat kelayakan yang perlu dipenuhi sebelum anda boleh memohon:

  • Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
  • · Berumur 21 tahun ke atas.
  • Terbuka kepada individu bujang dan telah berkahwin.
  • Mempunyai pendapatan kasar bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000, sama ada secara individu atau gabungan suami isteri.
  • Tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.
  • Berumur 21 tahun ke atas.

5. Perkara Penting Sebelum Memohon

Pastikan juga status kewangan pemohon adalah di tahap yang terbaik manakala bagi laporan kredit pula hendaklah berada dalam keadaan bersih.

  • Menyemak rekod CCRIS dan CTOS supaya tiada masalah bayaran tertunggak.
  • Mengira komitmen bulanan seperti pinjaman kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi.
  • Memastikan ansuran rumah masih dalam kemampuan kewangan anda.
  • Menyediakan dokumen pendapatan yang diperlukan untuk permohonan pembiayaan.
  • Menyemak syarat projek kerana tempoh moratorium dan garis panduan mungkin berbeza.

Selain di atas, terdapat beberapa syarat lagi yang perlu dipatuhi, serta disepakati bersama untuk merealisasikan objektif utama penubuhan PR1MA, iaitu:

  • Hanya pemilik sahaja boleh menduduki rumah.
  • Tempoh sekatan penjualan atau pindah milik mungkin berbeza mengikut projek. Semak SPA atau hubungi PR1MA untuk pengesahan.
  • Mengikut garis panduan ditetapkan oleh sesetengah negeri.

6. Langkah-langkah untuk memohon projek perumahan PR1MA

Permohonan rumah PR1MA boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi PR1MA. Pendaftaran boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana tiada tarikh tutup umum yang ditetapkan.

Oleh itu, pemohon boleh mendaftar pada bila-bila masa yang diinginkan.

Untuk makluman juga, Pendaftaran adalah percuma. PR1MA juga tidak melantik pihak ketiga untuk mengisi borang atau menjanjikan peruntukan khas.

Namun, bagi projek tertentu, pemohon boleh mendapatkan bantuan daripada Sales Partner rasmi yang dilantik oleh PR1MA.

a. Pendaftaran

  • Daftar Akaun PR1MA

Untuk membuat permohonan, anda perlu mendaftar terlebih dahulu untuk membuka akaun Pr1ma di laman web Prima Corporation Malaysia.

Pendaftaran ini dibuat bagi mendapatkan ID Pengguna dan kata laluan. Sebelum itu, baca dan fahami semua terma dan syarat yang terkandung di dalam lampiran itu.

Satu Akaun Satu Isi Rumah: Pasangan suami isteri mestilah mendaftar di bawah satu permohonan bersama (joint application)

Sekiranya memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh Pr1ma, teruskan proses seterusnya serta lengkapkan segala butiran yang diperlukan.

Setelah berjaya mendapatkan ID Pengguna dan kata laluan, anda sudah boleh mengakses sistem permohonan online di laman web Pr1ma.

  • Isi Maklumat Lengkap

 Langkah seterusnya adalah isi maklumat pendapatan, pekerjaan, pasangan, hartanah yang dimiliki serta pilihan lokasi dan jenis rumah yang diinginkan.

Antara dokumen asas yang diperlukan ialah:

  • Salinan MyKad (pemohon dan pasangan).
  • Penyata gaji 3 bulan terkini.

Pihak bank mungkin meminta dokumen tambahan semasa permohonan pembiayaan.

  • Hantar Permohonan

Setelah semua maklumat dan dokumen lengkap, semak semula borang sebelum menekan butang “Hantar”.

Anda akan menerima e-mel pengesahan dari Pr1ma. Simpan nombor rujukan yang diberikan untuk digunakan kelak dalam urusan Rumah Pr1ma.

b. Pilih dan Mohon Projek

Jika terdapat projek baharu yang dibuka, pemohon akan menerima makluman melalui e-mel dan SMS

Anda perlu log masuk dan memohon secara aktif untuk setiap projek yang diminati kerana proses pengundian tidak berlaku secara automatik hanya dengan mendaftar akaun.

Pembangunan unit terhad pula, setelah selesai mendaftar, teruskan dengan permohonan PR1MA Homes.

Sila berhubung dengan Rakan Jualan yang telah dilantik untuk memeriksa unit rumah dan jika terdapat sebarang pertanyaan.

c. Pengundian dan Pemilihan Unit

Proses pengundian secara terbuka dan telus akan dijalankan untuk pemohon yang memenuhi syarat. Namun, proses ini hanya melibatkan projek PR1MA yang baru dilancarkan sahaja.

Pemohon yang berjaya akan dijemput untuk memilih unit berdasarkan pilihan yang masih tersedia.

Bagi projek PR1MA yang telah siap, yuran tempahan sebanyak RM500 perlu dibayar dalam bentuk draf bank atau cek kepada:

  • Perbadanan PR1MA Malaysia – bagi kediaman di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
  • PR1MA Development Sdn. Bhd. – bagi projek di Sarawak.
  • PR1MA Seremban Sentral Sdn. Bhd. – khusus bagi Residensi Seremban Sentral.

Yuran tempahan RM500 ini hanya dikenakan untuk projek kediaman PR1MA yang telah siap. Pastikan bayaran dibuat mengikut arahan rasmi PR1MA dan bukan kepada akaun peribadi.

d. Permohonan Pembiayaan

Segala dokumen yang diperlukan hendaklah dilengkapkan dan diserahkan ke institusi kewangan pilihan anda.

  • Pinjaman melalui bank

Kelulusan dianggarkan dalam tempoh satu bulan daripada tarikh tempahan.

  • Pinjaman kerajaan (LPPSA)

Kelulusan dianggarkan dalam tempoh dua bulan daripada tarikh tempahan.

  • SJKP MADANI

Bagi pembeli rumah pertama yang bekerja sendiri, menjalankan perniagaan atau mempunyai pendapatan tidak tetap, SJKP MADANI boleh menjadi salah satu pilihan pembiayaan.

Skim ini menawarkan jaminan pembiayaan sehingga 120% daripada harga rumah, dengan had pembiayaan sehingga RM360,000.

Ia boleh merangkumi harga rumah serta kos tertentu seperti yuran guaman, yuran penilaian, perlindungan takaful atau insurans, ubah suai dan pembelian perabot.

e. Keputusan

Keputusan kelayakan akan diberitahu melalui e-mel atau boleh disemak secara online di portal rasmi Pr1ma, iaitu www.pr1ma.my. Pastikan maklumat hubungan sentiasa aktif supaya anda tidak terlepas sebarang kemas kini penting

f. Tandatangan perjanjian jual beli

Selepas berjaya memilih unit dan mendapatkan kelulusan pembiayaan, anda perlu menandatangani Perjanjian Jual Beli atau SPA bersama pemaju.

Sebelum menandatangani SPA, pastikan anda menyemak:

  • Harga rumah
  • Jadual pembayaran
  • Tempoh penyerahan
  • Kos berkaitan
  • Sekatan pemilikan atau pindah milik

g. Penyerahan pemilikan rumah PR1MA

Anda akan menerima kunci selepas unit rumah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Pembeli juga perlu memastikan semua bayaran tertunggak telah diselesaikan sebelum penyerahan kunci dibuat.

 Nota tambahan:

Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan, hubungi Pusat Panggilan PR1MA:

  • Telefon: 03-7628 9898
  • E-mel: info@prima.my.
  • Waktu operasi: Isnin hingga Ahad, 9.00 pagi hingga 6.00 petang
  • Tutup: Cuti umum Negeri Selangor

Maklumat projek dan pengumuman terkini juga boleh disemak melalui portal dan media sosial rasmi PR1MA.

7. Rumah PR1MA Masih Jadi Pilihan Rakyat Malaysia?

Pada suku pertama 2026, Malaysia merekodkan 89,966 transaksi hartanah bernilai RM51.09 bilion. Walaupun jumlah transaksi menurun berbanding tahun sebelumnya, purata harga rumah negara masih meningkat kepada sekitar RM507,533.

Laporan dalaman Juwai IQI Residential Subsale Market Report pula menunjukkan bahawa sekitar 7 daripada 10 rumah subsale yang dijual berharga RM500,000 dan ke bawah.

Affordable homes remain the engine of transaction volume

Kashif Ansari, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI

Walaupun harga rumah terus meningkat, ramai pembeli Malaysia masih mencari kediaman di bawah RM500,000. Sebab itu, rumah mampu milik seperti PR1MA masih relevan.

Namun, jangan tengok harga sahaja. Pastikan lokasi, ansuran bulanan, kemudahan dan kos penyelenggaraan masih sesuai dengan bajet anda.

8. Rumah PR1MA Atau Rumah Mampu Milik Yang Lebih Bagus?

Gaji tak sampai RM3,000 tapi nak beli rumah? Ini perbandingan PR1MA vs Rumah Mampu Milik yang anda WAJIB tahu dulu.

PerkaraPR1MARumah Mampu Milik Negeri
LokasiProjek di beberapa negeri seluruh MalaysiaTerhad kepada negeri tertentu
Had Umur21 tahun ke atasBerbeza mengikut negeri
Had PendapatanRM2,500 hingga RM15,000 sebulanBergantung pada skim negeri
Pemilikan RumahBoleh untuk rumah pertama atau keduaBiasanya mengutamakan pembeli rumah pertama
Harga RumahSecara umum RM100,000 hingga RM400,000Berbeza mengikut negeri dan projek
Cara MemohonMelalui portal rasmi PR1MAMelalui portal perumahan negeri

Sumber : Portal Rasmi PR1MA, Rumah Selangorku

Nota: Syarat rumah mampu milik berbeza mengikut negeri. Perbandingan ini menggunakan Rumah Selangorku sebagai contoh.

Masih keliru sama ada PR1MA atau pilihan rumah mampu milik lain lebih sesuai untuk anda? Dapatkan pandangan daripada ejen hartanah IQI berdasarkan bajet, lokasi dan keperluan anda.

9. Apa Yang Pembeli Nilai Sebelum Pilih PR1MA?

Berdasarkan pemerhatian pasaran, rumah PR1MA masih mendapat perhatian kerana menawarkan pilihan kediaman pada harga yang lebih mampu dimiliki, khususnya bagi pembeli rumah pertama dan golongan berpendapatan sederhana.

Antara perkara yang sering dipertimbangkan oleh pembeli ialah:

  • Harga rumah yang lebih sesuai dengan bajet.
  • Lokasi yang dekat dengan tempat kerja dan kemudahan harian.
  • Ansuran bulanan yang masih mampu ditanggung.
  • Pilihan jenis dan saiz kediaman mengikut keperluan.
  • Akses kepada pilihan pembiayaan bagi pembeli yang layak.

Kebanyakan pembeli tidak hanya mencari rumah yang murah. Mereka turut menilai kos penyelenggaraan, jarak perjalanan dan kesesuaian rumah untuk didiami dalam jangka panjang.

Bagi pembeli yang memenuhi syarat, PR1MA boleh menjadi salah satu pilihan yang wajar dipertimbangkan.

Namun, pastikan rumah yang dipilih benar-benar sesuai dengan kemampuan kewangan dan keperluan harian anda.

Kesimpulan

Kewujudan PR1MA memberi peluang kepada rakyat Malaysia berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah pada harga yang lebih mampu milik.

Dengan proses permohonan secara dalam talian, pilihan projek di pelbagai lokasi serta kemudahan pembiayaan untuk pembeli yang layak, perjalanan memiliki rumah kini menjadi lebih mudah.

Malah, memandangkan PR1MA adalah projek perumahan baharu di bawah HDA, proses menandatangani perjanjian jual beli turut menjadi lebih pantas dan telus berikutan pelaksanaan Malaysia eSPA 2026.

PR1MA bukan sekadar menawarkan kediaman, tetapi turut membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk membina kehidupan yang lebih stabil, selesa dan terjamin bersama keluarga.


Soalan Lazim (FAQ)

1. Siapa yang layak memohon rumah PR1MA?

Pemohon mestilah warganegara Malaysia, berumur 21 tahun ke atas dan mempunyai pendapatan kasar bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000, sama ada secara individu atau gabungan suami isteri.

2. Bolehkah individu bujang memohon?

Ya. Permohonan PR1MA terbuka kepada individu bujang dan mereka yang sudah berkahwin.

3. Bolehkah PR1MA dibeli sebagai rumah kedua?

Ya. Anda boleh membeli rumah PR1MA sebagai rumah pertama atau kedua, selagi anda atau pasangan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah ketika memohon.

4. Adakah pendaftaran PR1MA dikenakan bayaran?

Tidak. Pendaftaran akaun dan permohonan PR1MA adalah percuma. Berhati-hati dengan pihak yang meminta bayaran untuk mengisi borang atau menjanjikan unit khas.

5. Bolehkah rumah PR1MA disewakan?

Rumah PR1MA dibeli untuk diduduki oleh pemilik dan tidak dibenarkan untuk disewakan kepada pihak lain. Semak juga SPA bagi memahami sekatan pemilikan yang dikenakan.


Masih mencari rumah yang sesuai dengan bajet dan keperluan anda?

Hubungi ejen hartanah IQI untuk mendapatkan panduan pembelian atau pelaburan hartanah yang lebih mudah dan terancang.





+60








Baca Selanjutnya:

  1. Adakah Refinance Rumah Masih Berbaloi Pada Tahun 2026?
  2. Loan Rumah Kena Reject? 7 Punca Utama Yang Ramai Tak Sedar
  3. Pasaran Hartanah Malaysia 2026: KL Cecah RM1 Juta (Analisis Data NAPIC & IQI)

Rujukan:

  1. Bernama. (2026, April 2). Semua 34 projek sakit PR1MA siap sepenuhnya – Nga. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/semua-34-projek-sakit-pr1ma-siap-sepenuhnya-nga-464835
  2. Liew, J. (2026, Jun 11). PR1MA Malaysia 2026: Complete guide to eligibility, application & affordable homes. HousingWatch. https://www.housingwatch.my/property/pr1ma-malaysia-apply/
  3. Liew, J. (2026, Jun 11). Top affordable housing programmes in Malaysia 2026: Complete guide for first-time home buyers (B40 & M40). HousingWatch. https://www.housingwatch.my/property/affordable-housing-malaysia-government-schemes/
  4. NewProjek. (2026, Mac). Malaysia housing scheme comparison 2026 | PR1MA vs MyHome vs SJKP. NewProjek. https://newprojek.com/housing-schemes/comparison
  5. Perbadanan PR1MA Malaysia. (2023). Memperkasa transformasi komuniti lestari: Laporan tahunan 2022.
  6. Perbadanan PR1MA Malaysia. (2026). Properties. https://www.pr1ma.my/properties
  7. PropCashflow Team. (2026, Mac 29). Rent-to-own property Malaysia 2026: How it works. PropCashflow.my. https://propcashflow.my/blog/rent-to-own-property-malaysia/
  8. Versa. (2026, Julai 10). Buying your first home in Malaysia: A 2026 guide. Versa. https://versa.com.my/ultimate-guide-to-buying-your-first-home-in-malaysia-2026/
  9. Zaini, A. (2026). PR1MA 2026: Syarat, kebaikan, keburukan & checklist beli rumah. Adi Zaini | Hartanah Johor. https://www.adimestijadi.my/panduan-pr1ma-malaysia-2026/

Subscribe to our

Newsletter

Langgan

Surat Berita

订阅我们的月讯