Versi: EN
| TL;DR: Akaun 2 KWSP boleh membantu anda beli rumah dengan menampung deposit dan kos awal. Mohon melalui i-Akaun, sediakan dokumen lengkap, dan pastikan pembelian selaras dengan kemampuan. Elakkan kesilapan biasa dan dapatkan panduan ejen hartanah untuk proses yang lebih lancar. |
Memiliki rumah sering kali menjadi cabaran besar bagi ramai rakyat Malaysia, terutama apabila perlu menyediakan deposit yang tinggi dan menanggung pelbagai kos awal.
Namun, ramai tidak sedar bahawa KWSP sebenarnya menyediakan kemudahan pengeluaran Akaun 2 yang boleh membantu meringankan beban ini.
Dengan memahami cara, syarat dan strategi yang betul, KWSP boleh menjadi alat penting untuk mempercepatkan perjalanan anda memiliki rumah impian.
Intipati Utama:
- KWSP Akaun 2 membolehkan pembeli rumah menampung deposit dan kos awal, menjadikan pemilikan rumah lebih mudah dicapai.
- Proses permohonan kini lebih cepat dan mesra pengguna melalui i-Akaun, dengan keperluan dokumen yang minimum.
- Perancangan kewangan sebelum pengeluaran Akaun 2 penting untuk mengelakkan beban komitmen jangka panjang.
- Ramai pembeli rumah pertama melakukan kesilapan seperti tidak menyemak kelayakan pinjaman, membeli di luar kemampuan dan mengabaikan kos sampingan.
Panduan Lengkap Pengeluaran Akaun 2 KWSP:
- 1. Apa Itu KWSP dan Bagaimana Ia Membantu Pembelian Rumah?
- 2. Syarat Kelayakan Guna Akaun 2 untuk Beli Rumah
- 3. Berapa Jumlah Yang Boleh Dikeluarkan dalam Akaun 2?
- 4. Jenis Pengeluaran KWSP Untuk Pembelian Rumah
- 5. Cara Memohon Pengeluaran KWSP Untuk Beli Rumah
- 6. Tip Penting Sebelum Menggunakan KWSP Untuk Beli Rumah
- 8. 5 Kesilapan Biasa Pembeli Rumah Semasa Merancang Pengeluaran KWSP
- 9. Bagaimana Ejen Hartanah Membantu Proses Pembelian Rumah Anda?
- Kesimpulan
- Soalan Lazim (FAQ)
1. Apa Itu KWSP dan Bagaimana Ia Membantu Pembelian Rumah?

Selalu kita fikir KWSP ini hanya untuk masa persaraan, kan?
Namun, Akaun 2 sebenarnya menjadi penyelamat bagi ramai pembeli rumah yang bergelut mengumpul deposit, terutamanya dalam keadaan harga rumah yang semakin meningkat.
Secara ringkasnya, KWSP membantu pembelian rumah melalui tiga peranan utama:
- Menyediakan dana tambahan untuk deposit: Ramai pembeli tersekat pada deposit 10 peratus. Dengan KWSP, sebahagian besar beban itu boleh diringankan.
- Mengurangkan beban kos awal pembelian: Selain deposit, ia boleh digunakan untuk menampung kos awal seperti perjanjian dan duti setem.
- Mengurangkan jumlah pinjaman bank: Sebahagian pembeli gunakan KWSP untuk mengurangkan baki pinjaman supaya bayaran bulanan jadi lebih ringan.
Walaupun KWSP ditubuhkan sebagai tabung persaraan, pihak KWSP memahami bahawa kestabilan hidup bermula dengan memiliki rumah.
Sebab itu wujudnya kemudahan pengeluaran perumahan! KWSP membenarkan pencarum membuat pengeluaran Akaun 2 bagi tujuan:
- Beli rumah pertama
- Beli rumah kedua (mengikut syarat tertentu)
- Bayar baki pinjaman rumah
- Membantu bayaran ansuran bulanan
2. Syarat Kelayakan Guna Akaun 2 untuk Beli Rumah

Ramai pembeli rumah masih keliru sama ada mereka benar benar layak menggunakan KWSP untuk meringankan kos pembelian rumah.
Sebenarnya, syarat kelayakan KWSP tidaklah terlalu ketat, tetapi penting untuk anda faham garis panduan asas sebelum membuat permohonan.
Secara umum, anda layak memohon pengeluaran KWSP untuk membeli rumah jika memenuhi kriteria berikut:
• Warganegara Malaysia, pemastautin tetap atau bukan warganegara yang mencarum KWSP
• Berumur di bawah 55 tahun kerana pengeluaran hanya dibenarkan sebelum pencarum mencapai umur persaraan KWSP.
• Membeli rumah kediaman yang sah seperti rumah subsale, rumah baru projek pemaju atau rumah lelong.
• Membeli secara individu atau bersama pasangan, ahli keluarga terdekat atau rakan kongsi mengikut syarat KWSP.
• Mempunyai baki Akaun 2 yang mencukupi untuk pengeluaran.
• Pembelian melalui pinjaman bank, LPPSA atau pembiayaan tunai.
Jika ini kali pertama anda membeli rumah, syaratnya lebih mudah kerana KWSP menggalakkan pembelian kediaman pertama.
Namun, untuk rumah kedua atau seterusnya, ada syarat tambahan seperti perlu menjual rumah terdahulu atau memenuhi garis panduan tertentu.
Memahami kelayakan ini penting supaya proses permohonan anda berjalan lancar tanpa sebarang penolakan.
3. Berapa Jumlah Yang Boleh Dikeluarkan dalam Akaun 2?
Selepas mengetahui syarat kelayakan, soalan seterusnya yang sering ditanya ialah: “Berapa banyak yang boleh dikeluarkan daripada Akaun 2 untuk beli rumah?”
Jawapannya: bergantung pada dua perkara utama iaitu nilai rumah dan baki Akaun 2 anda.
KWSP menetapkan formula khas supaya pencarum dapat membeli rumah tanpa menjejaskan simpanan masa depan secara keseluruhan.
Jumlah pengeluaran anda ditentukan melalui beberapa ketetapan berikut:
| Faktor | Bagaimana Ia Mempengaruhi Jumlah Pengeluaran |
|---|---|
| Nilai rumah | Lagi tinggi harga rumah, lagi tinggi jumlah pengeluaran yang boleh dimohon mengikut formula KWSP. |
| Baki Akaun 2 | Pengeluaran hanya dibenarkan sehingga had baki semasa Akaun 2. Lebih tinggi baki, lebih besar jumlah kelulusan. |
| Jenis pengeluaran | Setiap kategori seperti deposit, pengurangan pinjaman atau bayaran bulanan mempunyai kiraan yang berbeza. |
| Pembelian individu atau bersama | Pengeluaran pembelian bersama menggabungkan baki Akaun 2 kedua dua pemohon untuk menentukan jumlah maksimum. |
Sebagai gambaran mudah, berikut ialah contoh situasi ringkas:
Jika harga rumah RM400,000 dan baki Akaun 2 anda RM70,000, anda boleh memohon sehingga jumlah maksimum yang dibenarkan mengikut formula KWSP.
Dalam banyak kes, pembeli dapat mengeluarkan sebahagian besar daripada baki Akaun 2 untuk menampung deposit atau mengurangkan pinjaman bank.
Jumlah pengeluaran bergantung pada formula KWSP, tetapi hadnya tetap ditetapkan supaya simpanan persaraan anda kekal terpelihara.
4. Jenis Pengeluaran KWSP Untuk Pembelian Rumah
Ramai pencarum tidak sedar bahawa KWSP sebenarnya menyediakan beberapa jenis pengeluaran berbeza untuk membantu pembeli rumah.
Memahami perbezaannya akan memudahkan anda memilih jenis pengeluaran yang paling sesuai dengan situasi kewangan anda.
Jadual di bawah menunjukkan jenis jenis pengeluaran perumahan yang dibenarkan oleh KWSP serta fungsi utamanya.
| Jenis Pengeluaran | Tujuan | Ringkasan Fungsi |
|---|---|---|
| Pembelian Rumah Pertama | Deposit dan kos awal | Membantu menyediakan deposit dan memulakan pembelian rumah pertama. |
| Pembelian Rumah Kedua | Deposit | Dibenarkan jika memenuhi syarat tertentu seperti penjualan rumah pertama. |
| Pengurangan Baki Pinjaman | Kurangkan pinjaman | Menurunkan baki pinjaman bank supaya ansuran bulanan lebih ringan. |
| Bayaran Bulanan Pinjaman | Ringankan komitmen bulanan | Menampung sebahagian ansuran bulanan dalam tempoh yang dibenarkan. |
Memahami jenis pengeluaran ini memudahkan anda menentukan strategi terbaik sebelum membuat permohonan.
Seterusnya, kita lihat pula proses permohonan dan langkah langkah yang perlu diikuti melalui i Akaun.
5. Cara Memohon Pengeluaran KWSP Untuk Beli Rumah

Berita baik untuk pencarum!
Pengeluaran KWSP untuk membeli rumah kini boleh dibuat secara online melalui i Akaun, dan kebanyakan permohonan tidak lagi memerlukan serahan dokumen fizikal di kaunter.
Hanya dalam situasi tertentu sahaja anda mungkin diminta hadir untuk pengesahan cap jari. Berikut ialah langkah langkah asas yang boleh anda jadikan rujukan:
1. Pastikan anda mempunyai i-Akaun KWSP yang aktif
Sebelum memohon, pastikan anda telah berdaftar dan boleh log masuk ke KWSP i Akaun.
Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi KWSP i Akaun atau di pejabat/kiosk KWSP jika anda masih belum mempunyai akaun.
2. Sediakan dokumen yang diperlukan
Antara dokumen asas yang biasanya diperlukan untuk pengeluaran beli rumah ialah:
- Borang KWSP 9C (AHL) dan senarai semak dokumen
- Salinan dokumen pengenalan diri (IC/MyKad, atau dokumen lain untuk bukan pemegang MyKad)
- Buku bank atau penyata akaun simpanan untuk tujuan pengesahan
- Surat Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan tarikh perjanjian tidak melebihi tempoh yang ditetapkan KWSP
- Dokumen berkaitan pinjaman perumahan seperti surat kelulusan pinjaman dan perjanjian pinjaman
- Dokumen tambahan jika pembelian bersama pasangan atau ahli keluarga (contohnya sijil perkahwinan atau sijil kelahiran)
Jenis dan kombinasi dokumen boleh berbeza mengikut kategori pengeluaran (rumah pertama, rumah kedua, pengurangan baki pinjaman dan sebagainya), jadi penting untuk semak semula senarai semak rasmi di laman KWSP.
3. Log masuk ke KWSP i Akaun
Masuk ke aplikasi atau portal KWSP i Akaun menggunakan ID pengguna dan kata laluan anda.
4. Pilih jenis pengeluaran perumahan
Di dalam i Akaun, pergi ke bahagian “Pengeluaran” dan pilih kategori berkaitan perumahan, contohnya:
- Buy/Build House Withdrawal (Beli/Bina Rumah)
- Reduce/Redeem Housing Loan Withdrawal (Kurang/Selesai Baki Pinjaman Perumahan)
- Housing Loan Monthly Instalment Withdrawal (Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan)
Pilih jenis pengeluaran yang sepadan dengan tujuan anda.
5. Isi maklumat rumah dan pinjaman
Isikan semua maklumat yang diminta, seperti:
- Harga rumah
- Jenis dan nama pemberi pinjaman (bank/LPPSA dan lain lain)
- Jumlah pinjaman
- Butiran rumah (alamat, projek, jenis kediaman dan sebagainya)
Pastikan maklumat yang diisi sepadan dengan dokumen rasmi (SPA, surat kelulusan pinjaman dan lain lain).
6. Muat naik dokumen sokongan

Muat naik semua dokumen yang diminta dalam versi digital mengikut senarai semak sistem, dan pastikan setiap dokumen boleh dibaca dengan jelas.
7. Semak dan hantar permohonan
Sebelum menghantar, semak sekali lagi semua butiran bagi memastikan tiada kesilapan. Setelah berpuas hati, hantar permohonan anda melalui i Akaun.
Dalam banyak kes, KWSP tidak lagi memerlukan anda hadir ke pejabat untuk serahan dokumen jika permohonan dibuat secara i Akaun.
Walau bagaimanapun, anda mungkin masih diminta hadir untuk pengesahan cap jari, JIKA:
- Ini kali pertama anda membuat pengeluaran tertentu, atau
- Jumlah pengeluaran yang dipohon melebihi had tertentu yang ditetapkan KWSP.
8. Pantau status permohonan
Status permohonan boleh dipantau terus melalui KWSP i Akaun.
Setelah diluluskan, bayaran akan dibuat mengikut kategori pengeluaran, contohnya terus kepada bank (untuk pinjaman) atau mengikut kaedah yang dinyatakan dalam syarat KWSP.
6. Tip Penting Sebelum Menggunakan KWSP Untuk Beli Rumah

Menggunakan KWSP untuk membeli rumah memang membantu, tetapi ia tetap melibatkan simpanan persaraan anda.
Sebab itu penting untuk menilai keadaan kewangan dengan teliti sebelum membuat keputusan.
Beberapa pertimbangan berikut boleh membantu anda merancang pembelian dengan lebih bijak, terutama dalam keadaan pasaran semasa.
1. Nilai semula kemampuan bulanan anda
KWSP hanya membantu dari segi deposit atau kos awal. Baki komitmen bulanan tetap perlu ditanggung sendiri.
Pastikan anda benar benar mampu mengekalkan bayaran ansuran jangka panjang tanpa menjejaskan aliran tunai harian.
2. Jangan keluarkan lebih daripada apa yang diperlukan
Walaupun Akaun 2 membolehkan anda mengeluarkan jumlah yang besar, bukan semua situasi perlu guna semuanya.
Simpanan KWSP adalah untuk masa depan anda, jadi keluarkan mengikut keperluan sahaja.
3. Semak kadar pembiayaan dan kelayakan pinjaman terlebih dahulu

Sebelum buat permohonan KWSP, semak dahulu kelayakan pinjaman bank.
Ada kes di mana pembeli fokus pada KWSP tetapi tidak layak dari sudut pinjaman bank, menyebabkan proses pembelian tergendala.
4. Pastikan harga rumah selaras dengan pasaran
Gunakan bantuan ejen atau sumber data yang sah untuk menilai harga rumah yang ingin dibeli.
Elakkan membeli rumah yang tidak mencerminkan nilai pasaran kerana risiko kenaikan harga jangka panjang mungkin rendah.
5. Ambil kira kos sampingan yang mungkin timbul
Walaupun KWSP boleh bantu deposit, kos seperti insurans MRTT/MRTA, yuran guaman, cukai setem atau yuran pemaju perlu dipertimbangkan untuk elakkan kejutan kos.
6. Fikirkan impak terhadap simpanan persaraan
Pengeluaran KWSP memberi manfaat jangka pendek untuk membeli rumah, tetapi ia juga mengurangkan simpanan masa depan.
Pastikan anda ada strategi kewangan jangka panjang untuk menggantikan simpanan yang digunakan.
7. Dapatkan panduan daripada ejen hartanah yang berpengalaman
Ejen hartanah boleh membantu anda menilai harga pasaran, memahami kos sebenar pembelian, serta memberi panduan mengenai dokumen dan proses.
Ini penting terutama untuk pembeli rumah pertama.
Memahami perkara ini bukan sahaja membantu anda membuat keputusan lebih bijak, tetapi juga memastikan pembelian rumah dilakukan dengan lebih yakin dan terancang.
8. 5 Kesilapan Biasa Pembeli Rumah Semasa Merancang Pengeluaran KWSP
Ramai pembeli rumah pertama teruja apabila mengetahui mereka boleh menggunakan KWSP untuk membantu pembelian.
Namun, beberapa kesilapan biasa sering berlaku dan boleh menjejaskan kewangan jangka panjang jika tidak diberi perhatian.
1. Bergantung sepenuhnya pada KWSP untuk semua kos
KWSP boleh membantu deposit, tetapi kos sampingan seperti yuran guaman, MRTT/MRTA, duti setem dan penilaian bank masih perlu ditanggung sendiri.
2. Tidak menyemak kelayakan pinjaman terlebih dahulu
Ada pembeli yang fokus menyediakan KWSP, tetapi tidak layak pinjaman bank. Ini menyebabkan proses tertangguh atau rumah terlepas.
3. Membeli rumah melebihi kemampuan sebenar
Bayaran ansuran mungkin nampak rendah pada awalnya, tetapi komitmen bulanan lain seperti penyelenggaraan, utiliti dan insurans juga perlu diambil kira.
4. Tidak membuat semakan harga pasaran
Membeli rumah pada harga terlalu tinggi boleh menjejaskan keuntungan jangka panjang. Gunakan khidmat ejen atau data pasaran untuk menilai harga sebenar.
5. Tidak memahami terma pinjaman
Pinjaman konvensional, Islamik, kadar tetap atau terapung mempunyai perbezaan ketara. Kesilapan memilih boleh memberi kesan besar kepada komitmen bulanan anda.
Mengelakkan kesilapan ini akan membantu anda membeli rumah dengan lebih yakin, tanpa tekanan kewangan yang tidak dijangka.
9. Bagaimana Ejen Hartanah Membantu Proses Pembelian Rumah Anda?

Membeli rumah bukan sekadar memilih unit yang cantik. Ia melibatkan komitmen kewangan yang besar, terutama jika menggunakan KWSP.
Sebab itu peranan ejen hartanah penting! Mereka membantu anda menilai harga pasaran dan memastikan proses pembelian mengikut prosedur yang betul.
Ini amat berguna bagi pembeli rumah pertama yang mungkin belum biasa dengan proses perumahan dan dokumen yang diperlukan.
Ejen hartanah IQI, yang berpengalaman menguruskan pelbagai jenis pembeli dan projek, boleh memberi panduan yang lebih terarah berdasarkan situasi dan bajet anda.
Dengan sokongan profesional, anda dapat membuat keputusan yang lebih yakin dan mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan kewangan jangka panjang.
Kesimpulan
Menggunakan KWSP untuk membeli rumah boleh memberi kelegaan besar kepada pembeli, terutama dari segi deposit dan kos awal.
Apa yang penting ialah anda memahami syarat kelayakan, jenis pengeluaran yang dibenarkan dan cara permohonan melalui i Akaun supaya proses berjalan lancar.
Langkah kecil yang dirancang dengan baik hari ini boleh membawa kepada masa depan kewangan yang lebih selamat!
Soalan Lazim (FAQ)
1. Bolehkah saya gunakan KWSP untuk beli rumah subsale, lelong atau rumah tanpa strata?
Ya, boleh. KWSP membenarkan pengeluaran Akaun 2 untuk rumah baharu, subsale, rumah lelong dan juga rumah tanpa strata selagi ia dikategorikan sebagai kediaman mengikut garis panduan KWSP dan mempunyai dokumen sah seperti SPA atau perjanjian jual beli.
2. Jika saya sudah guna KWSP untuk rumah pertama, bolehkah saya gunakannya lagi untuk rumah kedua?
Boleh, tertakluk kepada syarat KWSP. Anda perlu membuktikan rumah pertama telah dijual, dipindah milik atau tidak lagi digunakan sebagai kediaman utama.
3. Bolehkah saya gunakan simpanan persaraan untuk buat refinance atau overlap loan?
Ya, tetapi hanya di bawah kategori Pengurangan Baki Pinjaman. Pengeluaran hanya boleh digunakan untuk mengurangkan baki prinsipal pinjaman yang sedia ada, bukan untuk tujuan pembiayaan semula yang tidak melibatkan pembelian rumah kediaman.
4. Bolehkah saya gunakan KWSP untuk rumah di luar negara?
Tidak boleh. Pengeluaran KWSP hanya dibenarkan untuk rumah kediaman yang terletak di dalam Malaysia sahaja, termasuk Sabah dan Sarawak.
5. Berapa banyak saya boleh keluarkan dari Akaun 2 untuk beli rumah?
Jumlahnya bergantung kepada harga rumah, jumlah pinjaman dan baki Akaun 2 anda. KWSP menggunakan formula tertentu untuk menentukan amaun layak yang tidak menjejaskan simpanan masa depan anda.
6. Adakah saya boleh memohon pengeluaran KWSP jika rumah masih dalam pembinaan?
Ya. Pengeluaran untuk rumah dalam pembinaan dibenarkan selagi terdapat SPA atau dokumen pemaju yang sah, dan pembayaran akan dibuat terus kepada pemaju.
Ejen hartanah IQI sudah membantu ribuan pembeli rumah membuat keputusan yang lebih yakin.
Dengan sokongan yang tepat, proses pembelian anda akan menjadi jauh lebih mudah dan tersusun.
Baca Selanjutnya:
