| TL;DR: Bangunan bersejarah di Malaysia bukan sekadar bangunan lama. Stadium Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad mempunyai kaitan paling rapat dengan detik kemerdekaan, manakala Stadthuys, Istana Lama Seri Menanti dan Fort Margherita kini berfungsi sebagai muzium atau ruang warisan. Stesen Keretapi Kuala Lumpur pula masih digunakan hingga hari ini, membuktikan bangunan lama boleh terus relevan dalam bandar moden. |
Bulan Ogos sering disinonimkan dengan Jalur Gemilang, Dataran Merdeka dan cerita kemerdekaan.
Tapi pernah tak anda terfikir, bangunan-bangunan bersejarah yang kita sering lalu atau jadikan spot bergambar itu sebenarnya dahulu digunakan untuk apa?

Sempena Bulan Kebangsaan, jom kenali 7 bangunan bersejarah di Malaysia dan lihat bagaimana fungsinya berubah dari dahulu hingga ke hari ini.
Panduan Artikel
- 1. Apa itu Bangunan Bersejarah?
- 2. Mengapa Bangunan Bersejarah Penting Sempena Merdeka?
- 3. 7 Bangunan Bersejarah Malaysia: Dulu dan Kini
- 4. Perbandingan Fungsi Dulu dan Kini
- 5. Bagaimana Bangunan Lama Diberi kehidupan Baharu?
- 6. Mengapa Pemuliharaan Penting untuk Bandar Moden?
- 7. Cara menghargai Bangunan Warisan Ketika Melawat
- Kesimpulan
- Soalan Lazim (FAQ)
1. Apa itu Bangunan Bersejarah?
Bangunan bersejarah bukan semestinya bangunan paling tua. Ia mempunyai nilai penting dari segi sejarah, seni bina, budaya atau ketamadunan sesuatu masyarakat.
Sesebuah bangunan boleh dianggap bersejarah jika pernah menjadi lokasi peristiwa penting, mewakili seni bina sesuatu zaman atau mempunyai kaitan dengan sejarah negara.

Contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samad bukan sahaja terkenal dengan seni binanya, tetapi turut penting kerana terletak berhadapan dengan Dataran Merdeka, lokasi utama dalam sejarah kemerdekaan negara.
| Perlu tahu: tidak semua bangunan lama mempunyai status Warisan Kebangsaan. Bangunan lama dan bangunan yang menerima pengiktirafan rasmi sebagai warisan tidak semestinya perkara yang sama. |
2. Mengapa Bangunan Bersejarah Penting Sempena Merdeka?
Kemerdekaan bukan hanya tercatat dalam buku sejarah. Kisahnya turut tersimpan pada bangunan, jalan, dataran dan ruang awam yang masih gunakan pada hari ini.
Ada bangunan yang pernah menjadi pusat pentadbiran penjajah, tempat rakyat berkumpul dan lokasi peristiwa penting negara.
Apabila dipelihara, kita bukan sekadar membaca sejarah, tetapi kita boleh melihat sendiri tempat yang pernah menjadi sebahagian daripadanya.
Contohnya, Stadium Merdeka menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 manakala Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka turut berkait rapat dengan detik menjelang kemerdekaan.
Sebab itu, bangunan bersejarah penting sebagai bukti sejarah negara dan penghubung antara generasi dahulu dengan hari ini.
3. 7 Bangunan Bersejarah Malaysia: Dulu dan Kini
Jom lihat tujuh bangunan bersejarah Malaysia dan bagaimana rupa serta fungsinya berubah dari dulu hingga kini.
1. Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur

| Perkara | Maklumat |
|---|---|
| Dibina | 1897 |
| Dahulu | Pusat pentadbiran kolonial, kemudian mahkamah dan beberapa fungsi kerajaan |
| Kini | Hab sivik dan budaya dengan galeri, ruang pameran, program awam dan aktiviti kreatif |
| Hubungan dengan Merdeka | Berhadapan Dataran Merdeka, lokasi penting pada malam menjelang 31 Ogos 1957 |
Kalau pernah ke Dataran Merdeka, mesti kenal Bangunan Sultan Abdul Samad dengan menara jam ikoniknya. Siap dibina pada 1897, bangunan ini pernah menjadi pusat pentadbiran British, mahkamah dan pejabat kerajaan.
Seni binanya menggabungkan pengaruh Mughal, Moorish dan Gothic, menjadikannya mercu tanda paling mudah dikenali di Kuala Lumpur.
Selepas dipulihara, bangunan ini kini dibuka sebagai ruang galeri, pameran, aktiviti budaya, kraf tempatan dan pelbagai program awam.
Menurut laman rasmi Bangunan Sultan Abdul Samad, menara jamnya dengan ketinggian 41.2 meter, menjadikan struktur tertinggi di Kuala Lumpur pada ketika itu.
Jam mekanikal buatan Gillet & Johnston dari 1897 ini masih diputar secara manual dan masih disenggara secara berkala sehingga hari ini.
| Tahukan Anda? Bangunan yang dahulunya menjadi pentadbiran kerajaan kini berubah menjadi warisan hidup yang boleh diterokai orang ramai untuk mengenali sejarah Kuala Lumpur dengan lebih dekat. |
2. Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

| Perkara | Matlumat |
|---|---|
| Dibina | 1957 |
| Dibuka rasmi | 30 Ogos 1957 |
| Dahulu | Stadium kebangsaan |
| Kini | Stadium warisan untuk acara, sukan dan rekreasi |
| Hubungan dengan Merdeka | Tempat pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 |
Bayangkan sebuah stadium yang baru sehari dibuka, kemudian terus menjadi saksi kelahiran sebuah negara merdeka. Itulah Stadium Merdeka.
Pada tanggal 31 Ogos 1957, ribuan rakyat berhimpun ketika Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, disambut laungan keramat “Merdeka!” bergema di stadium.
Selepas diambil alih PNB pada 2000, kerja pemulihan dijalankan dari 2005 hingga 2008 untuk mengembalikan bentuk asalnya.
Hari ini, Stadium Merdeka menjadi sebahagian daripada Presint Merdeka 118 dan digunakan semula untuk acara, sukan serta rekreasi.
| Tahukah Anda? Lebih enam dekad selepas laungan “Merdeka!” bergema, Stadium Merdeka masih menjadi tempat orang ramai berkumpul. Dulu untuk menyambut kemerdekaan, kini untuk acara, sukan dan komuniti. |
Dari stadium bersejarah ke pencakar langit moden.
Kawasan ini turut menjadi rumah kepada Merdeka 118. Baca artikel di bawah untuk kenali pembangunan moden yang berdiri bersebelahan salah satu tapak paling bersejarah negara.
3. Stesen Keretapi Kuala Lumpur

| Perkara | Matlumat |
|---|---|
| Dibina | 1910 |
| Arkitek | Arthur Benison Hubback |
| Dahulu | Gerbang utama kereta api ke Kuala Lumpur dan pernah menempatkan Station Hotel |
| Kini | Stesen rel aktif serta bangunan warisan yang sedang dihidupkan semula |
| Keunikan | Masih menjalankan fungsi asal lebih satu abad selepas dibuka |
Stesen Keretapi Kuala Lumpur direka oleh arkitek British, Arthur Benison Hubback dan dibuka pada 1910. Dahulu, ia menjadi antara pintu masuk utama ke ibu negara serta pernah menempatkan Station Hotel dengan 170 bilik.
Bangunan ini terkenal dengan seni bina Indo-Saracenic iaitu gabungan elemen Mughal, Moorish dan Barat.
Walaupun KL Sentral mengambil alih peranan sebagai hab utama pada 2001, stesen ini masih digunakan untuk KTM Komuter dan beberapa perkhidmatan ETS, dengan akses ke LRT dan MRT melalui Pasar Seni.
Pada 25 Mac 2025, projek pemuliharaan fasad dimulakan, dan pada 2026 stesen ini kembali aktif dengan program komuniti seperti Heritage Colours Festival.
Baca perkembangan pemuliharaan melalui Warisan KL.
| Tahukah Anda? Selepas lebih 115 tahun, Stesen Keretapi Kuala Lumpur masih menjalankan fungsi asalnya sebagai stesen aktif. Kereta api masih bergerak, penumpang masih datang dan sejarah masih hidup di dalamnya. |
4. Stadthuys, Melaka

| Perkara | Matlumat |
|---|---|
| Dibina | Sekitar 1641 hingga 1660 |
| Dahulu | Dewan bandar dan kediaman rasmi Gabenor Belanda |
| Kini | Kompleks muzium sejarah dan budaya |
| Keunikan | Antara peninggalan seni bina Belanda paling terkenal di Melaka |
Stadthuys, si rumah merah ikonik Melaka, sebenarnya mempunyai sejarah hampir 400 tahun. Dahulu, ia menjadi pusat pentadbiran dan kediaman rasmi Gabenor Belanda, dengan seni bina kolonial Belanda yang masih kekal hingga hari ini.
Pada 2008, Melaka bersama George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kerana sejarah perdagangan dan pertukaran budaya antara Timur dan Barat.
Kini, Stadthuys menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi serta beberapa galeri yang membawa pengunjung menelusuri sejarah Melaka hingga era kemerdekaan.
Bangunan yang pernah menjadi simbol pentadbiran penjajah kini menjadi tempat rakyat Malaysia belajar tentang sejarah penjajahan itu sendiri.
Nak tahu kenapa Melaka turut menarik perhatian pembeli hartanah? Baca Kenapa Harga Rumah di Melaka Masih Murah dan Berpatutan?
| Tahukah Anda? Stadthuys bukan sekadar bangunan merah untuk berswafoto. Selepas hampir empat abad, ia masih menjadi mercu tanda yang paling ikonik di Melaka. |
5. Istana Lama Seri Menanti, Negeri Sembilan

| Perkara | Matlumat |
|---|---|
| Dibina | Bermula 1902, siap pada 1908 |
| Dahulu | Kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan |
| Kini | Muzium Diraja |
| Keunikan | Dibina menggunakan pasak kayu tanpa paku besi |
Tidak semua bangunan bersejarah Malaysia berasal dari zaman penjajahan. Istana Lama Seri Menanti menjadi contoh kehebatan seni bina dan pertukangan Melayu tradisional.
Istana empat tingkat ini dibina atas perintah Tunku Muhammad ibni Tuanku Antah dan menggunakan 99 batang tiang serta teknik pasak kayu tanpa paku besi.
Dahulu, ia menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebelum digunakan sebagai Sekolah Menengah Agama Tinggi dari 1959 hingga 1964.
Sejak 14 Julai 1992, istana ini dijadikan Muzium Diraja, yang mempamerkan koleksi diraja, artifak serta sejarah Adat Perpatih dan sistem pemerintahan Negeri Sembilan.
| Tahukah Anda? Dengan 99 tiang tanpa paku besi, istana ini pernah menjadi istana, sekolah agama dan muzium, sambil mengekalkan seni bina asalnya hingga hari ini. |
6. Kellie’s Castle, Perak

| Perkara | Matlumat |
|---|---|
| Pembinaan bermula | 1910 |
| Dahulu | Rumah agam peribadi William Kellie Smith |
| Kini | Tarikan pelancongan sejarah di Batu Gajah |
| Keunikan | Rumah agam yang tidak pernah sempat disiapkan |
Kellie’s Castle memang sering dikaitkan dengan kisah misteri, tetapi sejarah sebenar di sebaliknya jauh lebih menarik.
William Kellie Smith, seorang warga Scotland, membina kekayaan melalui ladang getah dan perlombongan bijih timah di Kinta sebelum memulakan pembinaan rumah agam ini pada 1910.
Untuk zamannya, rancangannya memang mewah. 14 bilik, ruang bawah tanah, terowong, gelanggang tenis di tingkat atas dan sebuah lif. Namun, pembinaannya terhenti selepas Kellie Smith meninggal dunia di Lisbon pada 1926.
Hari ini, bangunan yang tidak pernah siap itu menjadi antara tarikan bersejarah paling terkenal di Batu Gajah dan telah diwartakan sebagai tapak warisan pada 2016.
| Tahukan Anda? Kellie’s Castle membuktikan bahawa bangunan tak perlu sempurna untuk menjadi sebahagian daripada sejarah. Ia turut menggambarkan era perkembangan industri getah, perlombongan dan kehidupan estet di Perak pada awal abad ke-20. |
7. Fort Magherita, Sarawak

| Perkara | Maklumat |
|---|---|
| Dibina | 1879 |
| Dahulu | Kubu pertahanan, stor senjata, penjara dan pusat kawalan |
| Kini | Menempatkan The Brooke Gallery |
| Keunikan | Kubu tiga tingkat yang menghadap Sungai Sarawak |
Fort Margherita dibina oleh Sir Charles Brooke, Rajah Kedua Sarawak, pada 1879 dan dinamakan sempena isterinya, Ranee Margaret.
Kedudukannya berhampiran Sungai Sarawak membolehkan pergerakan di sungai dan kawasan Kuching dipantau dengan lebih mudah.
Sehingga Disember 1941, pengawal akan meronda pada waktu malam sambil melaungkan “All’s Well” setiap jam sebagai tanda kawasan masih selamat.
Fort ini kemudiannya pernah menjadi Muzium Polis sebelum dipulihara dan dibuka semula kepada orang ramai.
Hari ini, The Brooke Gallery membawa pengunjung menelusuri era pemerintahan Brooke, pendudukan Jepun, zaman British dan perjalanan Sarawak menuju pembentukan Malaysia pada 1963.
| Tahukah Anda? Walaupun dibina sebagai kubu pertahanan, Fort Margherita dikatakan tidak pernah digunakan dalam pertempuran. Kini, kubu berusia lebih 140 tahun ini menjadi tempat untuk mengenali sejarah Sarawak. |
4. Perbandingan Fungsi Dulu dan Kini
Bangunan bersejarah tak semestinya perlu kekal dengan fungsi asal untuk terus relevan.
| Bangunan | Fungsi Dahulu | Fungsi Kini | Perubahan |
|---|---|---|---|
| Bangunan Sultan Abdul Samad | Pentadbiran & mahkamah | Hab budaya & sivik | Pentadbiran → Ruang awal |
| Stadium Merdeka | Stadium kebangsaan | Acara, sukan & rekreasi | Tapak sejarah → Ruang komuniti |
| Stesen Keretapi Kuala Lumpur | Hab rel utama | Stesen aktif & ruang warisan | Pengangkutan → Warisan hidup |
| Stadthuys | Pentadbiran Belanda | Kompleks muzium | Pentadbiran → Pendidikan |
| Istana Lama Seri Menanti | Kediaman diraja | Muzium Diraja | Istana → Muzium Rumah |
| Kellie’s Castle | Kediaman persendirian | Tarikan pelancongan | Rumah agam → Destinasi awam |
| Fort Margherita | Kubu pertahanan | Galeri sejarah | Pertahanan → Pendidikan |
5. Bagaimana Bangunan Lama Diberi kehidupan Baharu?
Bangunan lama tak semestinya perlu dijadikan muzium atau dibiarkan kosong. Ada yang diberi fungsi baharu sambil mengekalkan struktur, identiti dan sejarah asalnya.

Konsep ini dikenali sebagai guna semula adaptif (adaptive reuse). Maksud mudahnya: bangunan lama, kegunaan baharu.
Contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samad kini menjadi hab budaya, Istana Lama Seri Menanti dijadikan Muzium Diraja, manakala Stesen Keretapi Kuala Lumpur masih beroperasi sambil digunakan untuk program budaya dan komuniti.
Kenapa Perlu Beri Fungsi Baharu?
Bangunan lama yang dibiarkan kosong lebih mudah rosak dan dilupakan. Bila digunakan semula, ia boleh terus memberi manfaat kepada kawasan dan masyarakat sekeliling.
Antara manfaatnya:
- Menghidupkan semula kawasan
- Menjadi ruang komuniti
- Menyokong perniagaan tempatan
- Membuka peluang untuk aktiviti budaya dan pendidikan
- Mendekatkan sejarah dengan generasi baharu

Yang penting, fungsi baharu itu masih mengekalkan struktur, seni bina dan identiti asal. Kadangkala, bangunan lama cuma perlukan kegunaan baharu supaya ceritanya terus hidup.
6. Mengapa Pemuliharaan Penting untuk Bandar Moden?
Bandar moden bukan hanya tentang pencakar langit, pusat beli-belah dan projek baharu. Bangunan bersejarah memberi identiti dan karakter kepada sesuatu kawasan, supaya tidak kehilangan cerita asalnya.
Apabila dipulihara dan digunakan semula, bangunan lama boleh menarik pengunjung, menyokong perniagaan tempatan dan menghidupkan kawasan sekitar.
Contohnya, Stadium Merdeka masih dikekalkan dalam pembangunan Merdeka 118, manakala Bangunan Sultan Abdul Samad dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur terus diberi fungsi baharu.
Ini menunjukkan bahawa kita sebenarnya tak perlu memilih antara “simpan yang lama atau “bina yang baharu”. Kedua-duanya boleh wujud bersama.

Apa Kesan Pemuliharaan Kepada Sesebuah Kawasan
- Mengekalkan identiti dan karakter kawasan
- Menarik pelancong dan pengunjung
- Menghidupkan perniagaan tempatan
- Memberi fungsi baharu kepada kawasan lama
- Membuka ruang untuk budaya dan komuniti
Dengan Visit Malaysia 2026, kawasan bersejarah juga menjadi antara tarikan penting untuk pelawat. Baca Visit Malaysia 2026: Malaysia Bersedia Jadi Destinasi Utama Asia.

Bagi pembeli rumah pula, sesuatu lokasi bukan hanya dinilai berdasarkan unit. Akses, kemudahan, perkembangan kawasan dan suasana kejiranan juga penting.
Pemuliharaan membuktikan bahawa bangunan lama dan pembangunan baharu boleh wujud bersama tanpa menghilangkan identiti sesuatu bandar.
Kalau anda sedang merancang untuk membeli rumah, baca cara beli rumah pertama di Malaysia untuk memahami perkara penting sebelum membuat keputusan.
7. Cara menghargai Bangunan Warisan Ketika Melawat
Bayangkan dua situasi bila melawat bangunan bersejarah:
Situasi 1: Adam dan kawan-kawan
Sampai sahaja, terus cari spot untuk OOTD, panjat struktur, pegang artifak sesuka hati dan balik tanpa tahu pun sejarah tempat yang dilawati.
Situasi 2: Liza
Liza pun ambil gambar dan buat content. Tapi, dia baca sejarah ringkas, ikut peraturan, jaga kawasan dan kongsi satu dua fakta menarik dalam posting.
Nampak bezanya? Jangan jadi macam Adam dan kawan-kawan. Contohi Liza. Nak enjoy, ambil gambar dan explore boleh, asalkan kita tahu cara menghargai tempat yang dilawati.

Jadi, apa yang patut kita buat apabila melawat bangunan warisan? Ini beberapa cara mudah.
a) Kenali Cerita di Sebalik Tempat Itu
Luangkan beberapa minit untuk baca sejarah ringkas. Tak perlu hafal semua tarikh, cukup tahu siapa yang membina, fungsi asal dan kenapa tempat itu penting.
Bila tahu ceritanya, bangunan itu bukan lagi sekadar “bangunan lama”, tetapi sebahagian daripada sejarah yang pernah berlaku di situ.
b) Jangan Rosakkan Demi Gambar
Nak gambar cantik boleh, tapi jangan sampai memanjat, menconteng, menyentuh bahagian rapuh atau masuk ke kawasan larangan.
Ada bangunan warisan yang sudah berusia lebih 100 tahun, malah hampir 400 tahun. Jadi, struktur lama memang perlukan penjagaan lebih teliti..
c) Ikut peraturan yang Disediakan
Setiap lokasi mempunyai peraturan berbeza, seperti larangan menggunakan flash, membawa makanan atau memasuki kawasan tertentu.
Kalau nampak tanda “Jangan Sentuh” atau “Dilarang Masuk”, ikut arahan untuk melindungi bangunan, artifak dan keselamatan pengunjung.
d) Ambil Gambar dengan Bertanggungjawab
OOTD, TikTok atau Instagram tak salah. Cuma pastikan kita tidak menghalang laluan, terlalu bising atau mengganggu pengunjung lain.
Jika berada di kawasan ibadat, makam, istana atau lokasi berbudaya, jaga etika dan pakai pakaian yang sesuai.
e) Sertai Lawatan atau Aktiviti
Kalau ada lawatan berpandu, pameran atau bengkel budaya, cuba sertai.
Kadangkala cerita paling menarik tak tertulis pada papan informasi. Pemandu pelancong atau kurator mungkin berkongsi fakta yang kita tak akan tahu sendiri.

f) Sokong Komuniti Setempat
Membeli tiket muzium, cenderamata atau makanan di kedai sekitar membantu menghidupkan ekonomi kawasan warisan.
Apabila kawasan terus aktif dan dikunjungi, usaha penjagaan dan pemuliharaan juga lebih mudah diteruskan.
g) Kongsi Cerita, Bukan Gambar Sahaja
Kalau post di media sosial, cuba sertakan satu fakta menarik tentang tempat tersebut.
Daripada sekadar “OOTD di Melaka”, boleh kongsi bahawa Stadthuys pernah menjadi pusat pentadbiran Belanda dan kini menjadi kompleks muzium. Content cantik, ilmu pun dapat.
Jadi, Adam atau Liza?
Tak salah datang untuk berjalan, bergambar dan enjoy. Yang penting, jangan sampai keseronokan kita merosakkan tempat yang sudah bertahan selama berpuluh atau beratus tahun.
Datang, explore, belajar sesuatu dan tinggalkan tempat itu dalam keadaan baik untuk pengunjung seterusnya.
Kesimpulan

Bangunan bersejarah bukan sekadar tempat lama untuk bergambar. Ia menyimpan cerita tentang masyarakat, kemerdekaan dan perjalanan Malaysia dari zaman ke zaman.
Hari ini, banyak daripadanya masih hidup sebagai muzium, ruang budaya, tarikan pelancong atau terus digunakankan seperti dahulu.
Sempena Bulan Kebangsaan, bangunan-bangunan ini mengingatkan kita bahawa kemajuan bukan hanya tentang apa yang dibina, tetapi apa yang kita pilih untuk terus pelihara.
Sedang mencari rumah atau hartanah untuk pelaburan di Malaysia?
Pasukan IQI boleh bantu anda bandingkan lokasi, bajet, dah pilihan hartanah yang sesuai dengan matlamat anda. Isi matlumat anda di bawah untuk berhubung dengan ejen IQI.
Soalan Lazim (FAQ)
Antaranya ialah Bangunan Sultan Abdul Samad, Stadium Merdeka, Stadthuys, Kellie’s Castle, Istana Lama Seri Menanti dan Fort Margherita.
Stadium Merdeka ialah tempat pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdekat pula berkait rapat dengan detik penting pada malam menjelang kemerdekaan.
Stadthuys di Melaka merupakan bangunan paling awal dibina dalam senarai, sekitar 1641 hingga 1660.
Tidak. Sesebuah bangunan bobleh mempunyai nilai sejarah tanpa semestinya menerima status rasami warisan Kebangsaan. Pengiktirafan rasmi bergantung pada pernilaian dan pewartaan pihak berkuasa berkaitan.
Adaptive reuse atau guna semua adaptif bermaksud memberi fungsi baharu kepada bangunan lama sambil mengekalkan ciri dan nilai sejarah asalnya.
Kebanyakkannya boleh dikunjungi atau dilihat oleh orang ramai, tetapi waktu operasi, bayaran dan akses mungkin berbeza, sebaiknya semak laman rasmi sebelum merancang lawatan.
Baca Selanjutnya:
