Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

9 Fakta Tentang Bank Draft Dan Cara Membuatnya Yang Anda Perlu Tahu!

Versi: CN, EN

TL;DR: Bank draft ialah alat pembayaran rasmi yang dikeluarkan oleh bank berdasarkan dana tersedia. Berbeza dengan cek kerana lebih terjamin, sesuai untuk transaksi bernilai tinggi seperti hartanah dan urusan rasmi, walaupun pembayaran digital semakin dominan pada tahun 2026.

Online transfer dan DuitNow memang memudahkan urusan harian. Tapi untuk sesetengah pembayaran bernilai besar, bank draft masih menjadi pilihan yang dipercayai.

Jadi, apa sebenarnya bank draft, dan kenapa ia masih digunakan walaupun pembayaran digital semakin meluas?

Adakah bank draft masih relevan pada tahun 2026, atau sebenarnya sudah ada pilihan yang lebih praktikal? Jom fahami sebelum anda menggunakannya.



1. Pengenalan Bank Draft?

contoh bank draft
Gambar sumber daripada kaizermc.com

Bank draft, juga dikenali sebagai draf bank, ialah salah satu alat pembayaran selamat dan rasmi yang dikeluarkan dan dijamin sepenuhnya oleh pihak bank bagi pihak pelanggan.

Dana akan ditolak daripada akaun pembayar dan dipegang oleh bank untuk memastikan dana tersedia sehingga draf tersebut ditunaikan oleh penerima.

Secara fizikal, ia kelihatan seperti cek biasa, tapi berbeza yaa! Pembayaran menggunakan bank draft tidak akan ditolak atau tidak mencukupi kerana nilai didalamnya dijamin oleh bank.

Bank draft ni macam surat janji bank untuk buat bayaran bagi pihak pelanggan. Bezanya dengan cek biasa, bank sendiri yang pastikan duit tu memang ada dan takkan ditolak.

Jadi, penerima boleh yakin yang bayaran memang sah. 

a) Untuk Apa Bank Draft Digunakan?

Bank draft biasanya digunakan apabila transaksi memerlukan pembayaran yang lebih formal atau apabila penerima mahu memastikan dana tersedia.

Antara contoh penggunaannya ialah:

  • Transaksi pembelian hartanah
  • Bayaran kepada firma guaman
  • Pembayaran institusi seperti universiti, firma guaman, atau badan kerajaan
  • Sesetengah urusan pembelian kenderaan
  • Pembayaran antarabangsa (contohnya untuk import barang atau yuran pendidikan luar negara)
  • Transaksi perniagaan bernilai tinggi
  • Pembayaran yang memerlukan instrumen bank rasmi

Walaupun pembayaran digital semakin popular, bank draft masih boleh digunakan apabila pihak penerima menetapkan atau menerima kaedah pembayaran tersebut.

b) Adakah Bank Draft Boleh Melebihi Baki Akaun?

Mari lihat contoh berikut untuk kefahaman yang lebih jelas. Secara umum, bank draft hanya boleh dikeluarkan berdasarkan jumlah dana yang tersedia.

Contohnya:

Baki akaun: RM10,000
Bank draft yang diminta: RM15,000

Dalam keadaan biasa, bank tidak akan mengeluarkan bank draft RM15,000 kerana dana dalam akaun tidak mencukupi.Terdapat beberapa sebab utama:

1. Dana mesti tersedia: Bank akan memastikan jumlah yang diperlukan tersedia dan biasanya menolak atau memperuntukkan dana tersebut sebelum bank draft dikeluarkan.

2. Tiada overdraf automatik: Jika baki akaun tidak mencukupi, bank tidak akan secara automatik menampung kekurangan tersebut. Bank draft hanya boleh dikeluarkan menggunakan dana sendiri atau kemudahan kredit yang telah diluluskan oleh bank.

3. Jaminan pembayaran: Bank draft memberi keyakinan kepada penerima kerana dana telah disediakan terlebih dahulu. Sebab itu, ia dianggap sebagai kaedah pembayaran yang lebih terjamin.

Oleh itu, bank draft bukanlah cara untuk “meminjam” wang daripada bank secara automatik. Malah merupakan instrumen pembayaran yang bergantung kepada dana yang tersedia atau kemudahan pembiayaan yang telah diluluskan.

2. Apa Perbezaan Bank Draft dan Cek Biasa?

Bank draft dan cek mungkin kelihatan hampir sama kerana kedua-duanya digunakan untuk membuat pembayaran. Namun, cara dana disediakan dan tahap jaminan pembayaran adalah berbeza.

a) Dana Tersedia

Bank Draft: Dana perlu tersedia sebelum bank mengeluarkan bank draft. Bank akan menolak atau memperuntukkan jumlah tersebut berdasarkan prosedur yang ditetapkan.

Cek: Pemegang akaun boleh menulis cek berdasarkan jumlah yang ingin dibayar. Namun, kewujudan cek tidak bermaksud dana tersebut telah dijamin. Jika baki akaun tidak mencukupi ketika cek diproses, cek boleh ditolak atau bounced.

b) Jaminan Pembayaran

Bank Draft: Pembayaran lebih terjamin kerana dana telah disediakan sebelum bank draft dikeluarkan. Ini memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada penerima.

Cek: Cek peribadi tidak memberikan jaminan yang sama. Penerima masih bergantung kepada ketersediaan dana dalam akaun pembayar apabila cek diproses.

c) Siapa Yang Mengeluarkan?

Bank Draft: Bank mengeluarkan dokumen tersebut selepas menerima permintaan pelanggan dan memastikan dana yang diperlukan tersedia.

Cek: Pemegang akaun sendiri menulis dan mengeluarkan cek menggunakan buku cek yang diberikan oleh bank.

d) Proses Mendapatkan

Bank Draft: Pelanggan biasanya perlu membuat permohonan kepada bank dan membayar caj berkaitan.

Cek: Pelanggan boleh menulis cek sendiri tanpa perlu meminta bank mengeluarkan satu dokumen baharu untuk setiap pembayaran.

e) Kegunaan

Bank Draft: Lebih sesuai untuk transaksi tertentu yang besar atau rasmi, seperti transaksi hartanah, urusan guaman dan pembayaran kepada institusi tertentu.

Cek: Boleh digunakan untuk pelbagai bayaran peribadi dan perniagaan, tertakluk kepada penerimaan pihak penerima.

f) Ringkasan Perbezaan Bank Draft dan Cek

CiriBank DraftCek
DanaDisediakan sebelum dikeluarkanTidak semestinya tersedia ketika ditulis
JaminanLebih tinggiTidak dijamin sepenuhnya  
PengeluaranDikeluarkan oleh bankDitulis oleh pemegang akaun
Risiko bouncedSangat rendah kerana dana telah disediakanAda jika dana tidak mencukupi
ProsesPerlu memohon kepada bankBoleh ditulis sendiri
KegunaanTransaksi besar/rasmiPelbagai bayaran
BentukInstrumen pembayaran bankInstrumen pembayaran pemegang akaun

3. Jenis-Jenis Bank Draft

Bank draft secara amnya terbahagi kepada dua jenis utama berdasarkan destinasi penerima bayaran, iaitu Draf Bank Tempatan untuk urus niaga dalam negara dan Draf Bank Antarabangsa (atau Draf Permintaan Asing) untuk bayaran ke luar negara. 

Jenis Utama:

  • Draf Bank Tempatan (Local Bank Draft):
    • Digunakan untuk bayaran kepada individu atau organisasi di dalam negara
    • Dikeluarkan dalam mata wang tempatan (Ringgit Malaysia)
    • Sering digunakan untuk pembelian aset bernilai tinggi seperti rumah lelong, kereta, atau bayaran kepada jabatan kerajaan
  • Draf Bank Antarabangsa / Asing (Foreign Demand Draft / FDD):
    • Digunakan untuk membuat pembayaran atau kiriman wang kepada pihak di luar negara
    • Dikeluarkan dalam mata wang negara penerima (seperti USD, SGD, EUR, dan lain-lain)

Jenis dan istilah bank draft boleh berbeza mengikut negara serta institusi kewangan.

Dalam konteks Malaysia, pengguna juga mungkin menemui istilah seperti Banker’s Cheque atau Banker’s Cheque/Draft bergantung pada produk yang ditawarkan oleh bank.

4. Kelebihan dan Keburukan Menggunakan Draft Bank

Berikut ialah kelebihan dan kekurangan bank draft yang perlu anda pertimbangkan:

Kelebihan Bank DraftKekurangan Bank Draft
Lebih terjamin untuk transaksi besar – Dana telah disediakan sebelum bank draft dikeluarkan, menjadikannya lebih meyakinkan kepada penerima.Ada caj – Pengeluaran bank draft biasanya melibatkan caj tertentu seperti komisen, duti setem atau caj pemprosesan, bergantung pada bank.
Mengurangkan keperluan membawa wang tunai – Bank draft membolehkan transaksi bernilai tinggi dibuat tanpa membawa wang tunai dalam jumlah yang besar.Tidak sepantas pembayaran digital – Pengguna biasanya perlu mendapatkan bank draft daripada bank sebelum menyerahkannya kepada penerima.
Sesuai untuk transaksi rasmi – Sesetengah penerima mungkin memerlukan bank draft sebagai bentuk pembayaran yang lebih formal.Risiko kehilangan – Bank draft merupakan dokumen fizikal. Jika hilang atau dicuri, proses pembatalan dan penggantian mungkin memerlukan prosedur tambahan.
Risiko cek ditolak lebih rendah – Oleh sebab dana telah disediakan, risiko pembayaran gagal akibat baki akaun tidak mencukupi adalah lebih rendah berbanding cek biasa.Pembatalan boleh menjadi rumit – Bank mungkin memerlukan dokumen, pengesahan atau proses tertentu sebelum bank draft boleh dibatalkan atau diganti.
Boleh digunakan dalam transaksi tertentu di luar negara – Bergantung pada bank dan mata wang, bank draft boleh digunakan untuk sesetengah transaksi antarabangsa.Tidak praktikal untuk pembayaran harian – Untuk bayaran kecil seperti membeli barangan atau membayar bil, bank draft kurang praktikal berbanding pembayaran digital kerana proses yang lama.

5. Proses Mendapatkan Bank Draft

Untuk mendapatkan bank draft, pelanggan perlu melalui beberapa langkah rasmi di bank. Proses ini memastikan bahawa dana benar-benar tersedia dan dijamin oleh pihak bank sebelum dokumen dikeluarkan.

  1. Lawati Bank
    Anda perlu singgah ke bank pilihan. Biasanya, anda perlu ada akaun dengan mereka, tapi ada juga bank yang membenarkan pembeli tanpa akaun dengan bayaran tambahan
  1. Berikan Maklumat yang Diperlukan
    Anda perlu memberikan beberapa butiran penting, termasuk:
    1. Nama penuh penerima pembayaran (pihak yang akan menerima draft bank)
    2. Jumlah wang yang anda ingin keluarkan melalui draf
    3. Sebarang arahan khas berkaitan pembayaran
  1. Bayaran
    Anda akan dikenakan bayaran untuk draf bank dan kosnya bergantung pada jumlah yang dikeluarkan serta polisi bank. Bayaran untuk draft bank akan diambil terus dari akaun anda atau boleh juga dibayar secara tunai.
  2. Tunggu Bank untuk Mengeluarkan Draft
    Setelah semua maklumat dan bayaran diproses, bank akan keluarkan draft bank untuk anda dalam bentuk fizikal. Nampak seperti cek biasa, tapi dengan jaminan daripada bank.
  3. Serahkan Bank Draft kepada Penerima
    Anda boleh menghantar draft bank secara peribadi atau melalui pos kepada penerima yang ditetapkan. Penerima pula boleh mencairkan draf bank di mana-mana bank atau institusi kewangan yang menerima transaksi tersebut.
  4. Simpan Resit atau Bukti Pembayaran
    Pastikan anda menyimpan resit atau sebarang bukti pembelian untuk rujukan masa hadapan sekiranya berlaku masalah atau pertikaian.

Ini adalah proses umum bagi kebanyakan bank, tetapi prosedur mungkin sedikit berbeza bergantung kepada polisi setiap institusi kewangan. Caj bank draft berbeza mengikut bank dan jenis transaksi.

Sebagai contoh, kadar semasa yang disenaraikan oleh beberapa bank Malaysia menunjukkan bahawa pengguna mungkin dikenakan komisen serta caj tambahan seperti duti setem dan caj pemprosesan.

CIMB menyenaraikan Banker’s Cheque pada RM5, bersama RM1 duti setem dan RM0.50 caj pemprosesan cek. Maybank pula menyenaraikan komisen RM5 bagi Banker’s Cheque tertentu, selain caj berkaitan yang dinyatakan dalam jadualnya.

Namun, angka tersebut bukan kadar universal untuk semua bank.

Caj boleh berbeza berdasarkan:

  • Bank yang digunakan
  • Jenis bank draft
  • Mata wang
  • Transaksi domestik atau antarabangsa
  • Pembatalan
  • Penggantian kerana kehilangan
  • Caj pemprosesan tambahan

Sebagai contoh, CIMB turut menyenaraikan caj berkaitan penggantian Banker’s Cheque yang hilang.

Oleh itu, sentiasa semak jadual caj rasmi bank sebelum membuat permohonan.

6. Adakah Draft Bank Boleh Dibatalkan?

bank draft boleh dimohon di mana mana bank berkenaan

Membatalkan draft bank boleh menjadi proses yang agak rumit kerana mewakili transaksi yang telah berlaku. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ketahui:

Proses Pembatalan Draft Bank:

  1. Kesukaran Pembatalan: Secara amnya, draft bank tidak boleh dibatalkan setelah ia dikeluarkan dan diserahkan kepada penerima. Ini kerana dana telah dikeluarkan dari akaun anda dan dijamin oleh bank.
  2. Langkah Pembatalan: Jika draft bank hilang atau dicuri sebelum diserahkan kepada penerima, anda boleh melaporkannya kepada bank. Bank mungkin memerlukan anda untuk menandatangani perjanjian indemniti atau menyediakan bon jaminan sebelum mengeluarkan draft bank yang baru.
  3. Pengembalian Dana: Satu-satunya cara untuk membatalkan draft bank yang telah diserahkan adalah dengan meminta penerima untuk mencairkan draft bank tersebut dan mengembalikan dana kepada anda.

Situasi Khusus

  • Kehilangan atau Kecurian: Jika draft bank hilang atau dicuri, segera laporkan kepada bank anda untuk menghentikan pembayaran dan mengeluarkan draft bank yang baru.
  • Kesalahan dalam Bank Draft: Jika terdapat kesalahan dalam butiran draf seperti nama penerima atau jumlah wang, bank mungkin mempertimbangkan pembatalan dan mengeluarkan draf baru. Namun, setiap kes perlu disemak oleh bank dan pembatalan tidak dijamin.
  • Belum Dicairkan oleh Penerima: Jika draf belum dicairkan oleh penerima, anda boleh menghubungi bank untuk meminta pembatalan. Bank akan mengesahkan status draf tersebut dan jika masih belum digunakan, mereka boleh membatalkannya dan memulangkan dana kepada anda.

Walau bagaimanapun, proses pembatalan draft bank agak rumit dan tidak semudah membatalkan cek biasa.

Setiap bank juga mungkin mempunyai polisi yang berbeza, jadi sebaiknya anda berhubung dengan bank yang mengeluarkan draf untuk maklumat dan panduan lebih lanjut.

7. Bank Draft vs Kaedah Pembayaran Digital

Perbankan Malaysia telah mengalami perubahan besar dengan peningkatan penggunaan pembayaran digital.

Bank Negara Malaysia melaporkan bahawa rakyat Malaysia membuat purata 538 transaksi e-pembayaran bagi setiap orang pada 2025, meningkat daripada 432 transaksi pada 2024.

PayNet pula melaporkan bahawa sebanyak 8.44 bilion transaksi digital diproses pada 2025, menunjukkan pembayaran digital semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia.

CiriBank DraftPembayaran Digital
BentukFizikalElektronik
KelajuanLebih perlahanBiasanya pantas
KegunaanTransaksi tertentu/bernilai tinggiTransaksi harian
KemudahanPerlu mendapatkan dokumenBoleh dilakukan melalui aplikasi
CajBergantung pada bankBergantung pada kaedah
RisikoHilang/rosakPenipuan atau kesilapan transaksi
Jaminan danaDana disediakan terlebih dahuluBergantung kepada kaedah pembayaran

Bagi transaksi harian, pembayaran digital seperti DuitNow QR dan pindahan dalam talian lebih praktikal.

DuitNow QR, misalnya, membolehkan pengguna membuat pembayaran melalui aplikasi perbankan atau e-dompet yang mengambil bahagian tanpa perlu membawa wang tunai atau dokumen pembayaran fizikal.

Namun, kelebihan pembayaran digital tidak bermaksud bank draft sudah tidak diperlukan.

8. Perubahan Industri Perbankan Malaysia 2026

Industri perbankan Malaysia pada 2026 semakin menuju ke arah sistem pembayaran yang pantas, digital dan saling berhubung.

Peningkatan transaksi e-pembayaran menunjukkan pengguna semakin selesa melakukan transaksi tanpa tunai.

Perkhidmatan seperti DuitNow, perbankan mudah alih, e-dompet dan pembayaran QR telah mengurangkan kebergantungan kepada kaedah pembayaran fizikal untuk transaksi harian.

Pada masa yang sama, pembayaran rentas sempadan turut semakin mudah melalui sistem QR dan rangkaian pembayaran yang saling berhubung.

PayNet, contohnya, terus memperluas penggunaan DuitNow Cross-Border QR untuk membolehkan pembayaran rentas sempadan di pasaran yang terlibat.

Perubahan ini membawa beberapa implikasi kepada bank draft.

  1. Pengguna mempunyai lebih banyak pilihan pembayaran
  2. Kelajuan transaksi menjadi semakin penting
  3. Dokumen fizikal semakin kurang digunakan untuk transaksi biasa
  4. Keselamatan siber dan pencegahan penipuan menjadi semakin penting dalam ekosistem pembayaran digital

Namun, instrumen seperti bank draft masih mempunyai peranan apabila transaksi memerlukan pembayaran rasmi dan dana yang telah disediakan.

9. Adakah Bank Draft Masih Relevan? Kenapa?

Ya, bank draft masih relevan pada 2026, tetapi penggunaannya lebih khusus berbanding dahulu.

Tidak semua transaksi memerlukan bank draft. Untuk membayar makanan, bil, membeli barangan atau menghantar wang kepada rakan, pembayaran digital jauh lebih cepat dan mudah.

Namun, terdapat situasi tertentu yang masih menjadikan bank draft pilihan yang sesuai.

1. Transaksi Bernilai Tinggi

Bank draft sesuai dipertimbangkan apabila jumlah transaksi sangat besar dan penerima memerlukan kepastian bahawa dana tersedia.

2. Transaksi Hartanah

Dalam transaksi hartanah, jumlah pembayaran boleh menjadi sangat besar. Jika pihak yang terlibat menetapkan bank draft sebagai salah satu kaedah pembayaran, instrumen ini boleh digunakan untuk memenuhi keperluan tersebut.

3. Urusan Rasmi

Sesetengah institusi atau organisasi mungkin masih menetapkan bentuk pembayaran tertentu untuk transaksi tertentu.

4. Jaminan Dana

Keupayaan bank draft untuk menyediakan dana terlebih dahulu merupakan ciri yang membezakannya daripada cek peribadi dan menjadikannya masih relevan.

5. Bukan Pengganti Pembayaran Digital

Bank draft dan pembayaran digital sebenarnya tidak semestinya bersaing secara langsung.

Sebaliknya:

Pembayaran digital → sesuai untuk transaksi yang memerlukan kelajuan dan kemudahan.

Bank draft → sesuai untuk transaksi tertentu yang memerlukan instrumen pembayaran rasmi dan dana yang telah disediakan.

Jadi, perkembangan pembayaran digital tidak semestinya menyebabkan bank draft hilang sepenuhnya. Sebaliknya, penggunaannya menjadi lebih khusus untuk situasi yang benar-benar memerlukannya.

Kesimpulan

bank draft memang dijamin oleh institusi kewangan

Walaupun pembayaran digital semakin menjadi pilihan utama, bank draft masih mempunyai tempatnya untuk transaksi tertentu yang memerlukan pembayaran lebih terjamin dan formal.

Yang penting, pilih kaedah pembayaran mengikut situasi. Jika transaksi melibatkan jumlah besar atau memerlukan kepastian dana, bank draft masih boleh menjadi pilihan yang sesuai pada 2026.


Langkah anda ke arah kejayaan bermula di sini bersama IQI! Anda dah bersedia? Isi borang di bawah dan jadilah ejen hartanah bersama kami sekarang!





+60



Soalan Lazim (FAQ)

1. Adakah bank draft sama dengan cek?

Tidak. Walaupun kedua-duanya merupakan alat pembayaran, bank draft melibatkan dana yang telah disediakan dan jaminan oleh bank kepada penerima berbanding cek peribadi.

2. Berapa kos untuk mendapatkan bank draft?

Kos bergantung kepada bank dan jenis instrumen. Sebagai contoh, Maybank dan CIMB kini menyenaraikan caj Banker’s Cheque tertentu sebanyak RM5, selain duti setem dan caj pemprosesan yang berkaitan.

3. Bolehkah bank draft dibatalkan?

Pembatalan boleh menjadi rumit kerana dana telah disediakan apabila draft dikeluarkan. Jika bank draft hilang atau dicuri, hubungi bank dengan segera kerana bank mungkin memerlukan dokumen tertentu untuk pembatalan atau penggantian.

4. Adakah bank draft masih digunakan pada 2026?

Ya. Walaupun pembayaran digital semakin popular, bank draft masih boleh digunakan untuk transaksi tertentu, terutamanya transaksi besar yang memerlukan jaminan pembayaran atau rekod rasmi.

5. Bank draft atau DuitNow, mana lebih baik?

Mana-mana kaedah sebenarnya bergantung kepada situasi. DuitNow lebih sesuai untuk pembayaran yang pantas dan transaksi harian, manakala bank draft lebih sesuai apabila pihak penerima memerlukan instrumen pembayaran yang dijamin bank atau transaksi bernilai tinggi.

6. Adakah bank draft sesuai untuk membeli rumah?

Sesuai dan ada pihak penjual, peguam atau institusi yang menguruskan transaksi menetapkan bank draft sebagai salah satu kaedah pembayaran untuk menyimpan rekod bertulis. Sentiasa semak arahan pembayaran sebelum mendapatkan draft untuk mengelakkan kesilapan nama penerima atau jumlah.

7. Apa yang perlu dilakukan jika bank draft hilang?

Hubungi bank yang mengeluarkan bank draft dengan segera. Jangan cuba mendapatkan instrumen baharu sebelum mendapatkan arahan daripada bank.


Baca Selanjutnya:

  1. Kadar Faedah Rumah: Pilihan Pinjaman Bank Terbaik!
  2. Potensi Bank Digital Cetus Perlumbaan Mohon Lesen
  3. Malaysia eSPA 2026: Apa Maksudnya Untuk Pembeli Rumah (Kos, Masa & Risiko)

Subscribe to our

Newsletter

Langgan

Surat Berita

订阅我们的月讯