Peranan sebagai seorang pembantu ejen harta tanah adalah untuk memastikan pengalaman pelanggan anda berjalan dengan lancar. Tidak dinafikan sesi jual beli hartanah merupakan proses yang agak rumit namun, anda harus memastikan segalanya diselesaikan dengan sempurna. Beberapa kemahiran yang harus diketahui dan dipraktikkan.
Selain daripada kemahiran-kemahiran yang disebut di bahagian 1, ini merupakan kemahiran-kemahiran penting yang lain yang harus dimiliki oleh seorang REN.
1. Minat yang Mendalam
Menjadi seorang pembantu ejen harta tanah atau REN bukan kerjaya semata-mata. REN memerlukan seseorang itu mempunyai kemahiran tertentu dan juga minat yang mendalam dalam industri hartanah ini.
Selain minat dalam bidang hartanah, minat untuk membantu pelanggan mendapatkan rumah idaman mereka juga dititikberatkan. Semua faktor dan latar belakang pelanggan harus diambil kira bagi memberi kepuasan kepada para pelanggan.
Ini merupakan kriteria seorang REN yang mempunyai minat yang besar dalam industri hartanah ini;
- bersungguh-sungguh dengan apa yang dilakukan
- penampilan yang kemas dan menarik
- berniat untuk membantu pelanggan memperoleh faedah yang baik dalam pelaburan hartanah
- tekad untuk berjaya dengan kerjaya sebagai seorang REN
Untuk menjadi seorang REN yang berjaya jangan pernah bosan dan jemu dengan apa yang anda lalui.
2. Beretika dan Berintegriti Tinggi
Petah berkata-kata sahaja tidak memastikan seseorang akan menjadi REN yang baik. Namun, ia harus diselitkan dengan etika dan juga intergriti yang baik bagi menguatkan lagi imej anda dalam industri ini.
Bersikap jujur dan telus dalam urusan anda bersama pelanggan memberi imej yang baik buat anda kerana anda berjaya meraih kepercayaan pelanggan tersebut.
Apabila anda sudah mempunyai reputasi yang baik, sudah pasti pelanggan anda yang lalu akan mengesyorkan anda kepada rakan mereka. Ini memudahkan anda untuk mendapatkan pelanggan yang baru dengan cepat.
Justeru, pentingnya seorang REN menampilkan imej dan sikap yang positif kepada pelanggan-pelanggan mereka.
3. Pakar Dalam Jenis Hartanah
Adakah anda lebih berminat untuk menerokai hartanah dan rumah yang mewah ataupun anda lebih selesa dengan kawasan rumah yang biasa dan mampu milik?
Fokus kepada satu jenis hartanah memberi anda lebih banyak ruang dan peluang untuk memahami jenis hartanah tersebut. Ini dapat menjadikan anda lebih mahir dan pakar dalam jenis hartanah tersebut.
Dengan kepakaran yang dimiliki oleh anda, ini memudahkan para pelanggan yang berminat dengan jenis hartanah tersebut terus menghubungi anda bagi mendapatkan khidmat anda sebagai REN mereka.
4. Rajin Berkongsi Ilmu
Ilmu yang dimiliki seeloknya dikongsi bagi memberi manfaat kepada semua yang menerima. Dengan cara ini, anda bukan sahaja memberi ilmu kepada pelanggan anda malah anda memberi ilmu kepada mereka yang berminat dengan industri hartanah diluar sana. Kemahiran ini dimiliki oleh semua orang, dan jika anda memilikinya – anda sangat bertuah.
Selain itu, anda juga membuka peluang untuk menerima lebih ramai pelanggan lagi daripada sesi perkongsian ilmu tersebut.
Sebelum itu, anda haruslah mempunyai akaun media sosial seperti Facebook, Youtube, Instagram ataupun Tiktok. Dengan akaun media sosial ini anda dapat menarik lebih banyak penonton dari semua jenis lapisan umur.
Ini merupakan topik yang boleh dikongsikan kepada mereka diluar sana;
- apa yang seorang REN wajib tahu
- bagaimana cara untuk mendapatkan pelanggan
- bagaimana cara untuk berkomunikasi dengan pelanggan
- dan banyak lagi!
Dengan perkongsian tersebut anda dapat membantu para REN yang lain untuk memanfaatkan ilmu yang diperoleh.
5. ‘Up-to-date’ dengan Teknologi Masa Kini
Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia membuatkan penggunaan teknologi menjadi semakin penting dalam kehidupan seharian. Kerjaya sebagai seorang REN juga turut terjejas dengan situasi ini.
Oleh itu, pentingnya bagi anda untuk mempunyai kemahiran dalam penggunaan teknologi bagi kerjaya anda sebagai seorang REN. Teknologi pada hari ini silih berganti dan makin canggih lalu ini merupakan masa yang terbaik untuk anda mengadaptasikan teknologi tersebut dalam dunia kerjaya REN.
REN pada masa kini juga harus sentiasa peka dengan update terkini teknologi kerana ia bakal memudahkan urusan anda pada masa hadapan.
Ingin menerokai dunia hartanah dan berminat untuk menjadi seorang REN?
Mulakan kerjaya anda dengan kami – banyak ilmu serta pengalaman yang akan diperoleh.