Dengan kecanggihan dan kemodenan dunia kini, urusan pembayaran tidak lagi perlu dilakukan di kedai fizikal seperti di Bank —semuanya di hujung jari!
Pelbagai kaedah pembayaran seperti pemindahan elektronik dan cek telah memudahkan hidup kita.
Tapi, pernah tak anda dengar tentang Bank Draft? Apa itu Bank Draft? Pernah menjadi salah satu pilihan pembayaran yang sangat diyakini sebelum kewujudan sistem moden.
Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Bank Draft:
1. Apa Itu Bank Draft?
Bank Draft, juga dikenali sebagai draf bank, adalah salah satu alat pembayaran selamat yang dikeluarkan dan dijamin sepenuhnya oleh pihak bank.
Secara fizikal, ia kelihatan seperti cek biasa, tapi berbeza yaa! Pembayaran menggunakan bank draft tidak akan ditolak atau tidak mencukupi kerana nilai didalamnya dijamin oleh bank.
Ia memudahkan anda untuk melakukan pembayaran dengan jumlah yang besar tanpa risiko dan tanpa perlu membawa tunai dalam jumlah yang banyak.
2. Apa Perbezaan Bank Draft dan Cek Biasa?
Secara ringkas, Bank Draft ni macam surat janji bank untuk buat bayaran bagi pihak pelanggan. Bezanya dengan cek biasa, bank sendiri yang pastikan duit tu memang ada dan takkan ditolak. Jadi, penerima boleh yakin yang bayaran memang sah.
Perbezaan utama antara bank draft dan cek biasa:
Bank Draft: Bank menjamin bahawa dana tersedia sebelum ia dikeluarkan, jadi pembayaran dijamin sah. Cek Biasa: Bergantung kepada baki akaun penulis cek. Jika dana tidak mencukupi, cek boleh ditolak. |
3. Fungsi Bank Draft
Draft bank juga sering menjadi pilihan alternatif dalam pelbagai urusan kewangan. Tapi, apa sebenarnya peranan penting yang dibawanya? Jom kita kenali fungsinya:
1. Jaminan Keselamatan Pembayaran
Memberi jaminan agar penerima tidak perlu risau tentang dana yang tidak mencukupi. Ini kerana bank hanya akan mengeluarkan draft bank selepas mengesahkan wang tersedia sepenuhnya dalam akaun pelanggan.
2. Mengelakkan Risiko Penipuan
Mengurangkan risiko penipuan dan ketidakpastian dalam transaksi pembayaran. Buat urus niaga besar, draft bank lebih dipercayai berbanding tunai atau cek peribadi kerana ia dikeluarkan dan disahkan oleh bank, menjadikannya lebih sukar dipalsukan.
3. Digunakan Untuk Pembayaran Antarabangsa
Bukan sahaja popular dalam negara, malah sering digunakan untuk pembayaran antarabangsa. Dengan pilihan pelbagai mata wang, ia memudahkan transaksi lintas negara.
4. Alternatif kepada Pembayaran Tunai
Menjadi pilihan yang lebih selamat dan praktikal berbanding pembayaran tunai, kerana tidak perlu membawa wang tunai dalam jumlah besar. Ia membolehkan pelanggan melakukan transaksi besar tanpa perlu risau tentang keselamatan membawa wang tunai.
4. Kelebihan dan Keburukan Menggunakan Draft Bank
Jika ianya selamat, kenapa tak ramai yang tahu atau menggunakannya? —Mungkin sebab beberapa faktor termasuk era teknologi dan pembayaran digital yang lebih popular sekarang.
Dalam dunia e-wallet, pemindahan dan pembayaran wang atas talian lebih pantas, Draft Bank pula mungkin nampak agak ketinggalan.
Tapi, masih relevankah penggunaannya? Jawapannya —Ya, masih digunakan! Tapi seperti alat pembayaran lain, sudah tentu ada kelebihan dan kekurangannya. Jom kita lihat apa kelebihan dan kekurangannya:
Kelebihan | Kekurangan |
---|---|
Jaminan Pembayaran Dijamin oleh bank yang mengeluarkannya, jadi penerima pembayaran boleh yakin bahawa dana tersedia dan transaksi tidak akan ditolak. | Kos Tambahan Pengeluaran biasanya dikenakan yuran perkhidmatan oleh bank, yang mungkin agak tinggi bagi sesetengah transaksi. |
Keselamatan Lebih selamat berbanding membawa sejumlah wang tunai yang besar, terutama bagi transaksi besar seperti pembelian hartanah atau kenderaan. | Penggantian Terhad Jika hilang atau dicuri, proses untuk mendapatkan penggantian atau pembatalan adalah lebih rumit dan memakan masa berbanding cek biasa. |
Diterima Secara Luas Diterima oleh kebanyakan organisasi dan perniagaan, termasuk transaksi antarabangsa kerana boleh dikeluarkan dalam pelbagai mata wang. | Tiada Fleksibiliti Pengeluaran Setelah draft bank dikeluarkan, ia tidak boleh dibatalkan atau diubah suai. Oleh itu, jika terdapat kesilapan atau perubahan dalam jumlah pembayaran, draft bank perlu dikembalikan dan satu dokumen baru dikeluarkan. |
Elakkan Cek Tak Lulus Berbanding cek biasa yang mungkin ditolak jika tiada dana mencukupi, draft bank memastikan dana telah disediakan lebih awal oleh bank, mengurangkan risiko pembayaran gagal. | Masa Proses Mengambil masa lebih lama untuk dikeluarkan berbanding transaksi elektronik, kerana memerlukan pengesahan dan persetujuan dari bank. |
5. Adakah Draft Bank Boleh Dibatalkan?
Membatalkan draft bank boleh menjadi proses yang agak rumit kerana ia mewakili transaksi yang telah berlaku. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ketahui:
Proses Pembatalan Draft Bank:
- Kesukaran Pembatalan: Secara amnya, draft bank tidak boleh dibatalkan setelah ia dikeluarkan dan diserahkan kepada penerima. Ini kerana dana telah dikeluarkan dari akaun anda dan dijamin oleh bank.
- Langkah Pembatalan: Jika draft bank hilang atau dicuri sebelum diserahkan kepada penerima, anda boleh melaporkannya kepada bank. Bank mungkin memerlukan anda untuk menandatangani perjanjian indemniti atau menyediakan bon jaminan sebelum mengeluarkan draft bank yang baru.
- Pengembalian Dana: Satu-satunya cara untuk membatalkan draft bank yang telah diserahkan adalah dengan meminta penerima untuk mencairkan draft bank tersebut dan mengembalikan dana kepada anda.
Situasi Khusus
- Kehilangan atau Kecurian: Jika draft bank hilang atau dicuri, segera laporkan kepada bank anda untuk menghentikan pembayaran dan mengeluarkan draft bank yang baru.
- Kesalahan dalam Bank Draft: Jika terdapat kesalahan dalam butiran draf seperti nama penerima atau jumlah wang, bank mungkin mempertimbangkan pembatalan dan mengeluarkan draf baru. Namun, setiap kes perlu disemak oleh bank dan pembatalan tidak dijamin.
- Belum Dicairkan oleh Penerima: Jika draf belum dicairkan oleh penerima, anda boleh menghubungi bank untuk meminta pembatalan. Bank akan mengesahkan status draf tersebut dan jika masih belum digunakan, mereka boleh membatalkannya dan memulangkan dana kepada anda.
Walau bagaimanapun, proses pembatalan draft bank agak rumit dan tidak semudah membatalkan cek biasa. Setiap bank juga mungkin mempunyai polisi yang berbeza, jadi sebaiknya anda berhubung dengan bank yang mengeluarkan draf untuk maklumat dan panduan lebih lanjut.
6. Jenis-jenis Draft Bank
Terdapat beberapa jenis bank draft yang boleh digunakan bergantung kepada keperluan transaksi dan pihak terlibat. Berikut adalah jenis-jenis bank draft yang biasa digunakan:
Jenis Draft: | Penerangan: |
---|---|
Bank Draft Domestik | Bank draft domestik dikeluarkan oleh bank dalam negara untuk pembayaran kepada penerima yang juga berada dalam negara. Contohnya, jika anda di Malaysia dan perlu membayar kepada syarikat tempatan, jadi jenis draft bank inilah yang boleh anda gunakan sebagai pilihan pembayaran. |
Bank Draft Antarabangsa | Bank draft antarabangsa digunakan untuk pembayaran kepada pihak di luar negara. Ini sangat bermanfaat bagi syarikat yang terlibat dalam perniagaan antarabangsa atau individu yang membeli dari luar negara. Bank akan mengeluarkan draft bank dalam mata wang negara penerima, seperti dolar AS atau euro, memastikan transaksi diterima tanpa masalah. |
Bank Draft untuk Pembayaran Institusi | Jenis draft bank ini sering digunakan oleh organisasi besar seperti syarikat hartanah, firma guaman, atau institusi pendidikan. Memberi keyakinan kepada penerima bahawa dana telah dijamin oleh bank, memastikan proses berjalan lancar tanpa risiko ditolak atau terganggu. |
Bank Draft untuk Transaksi Besar | Draft bank ini sangat sesuai untuk transaksi besar seperti pembelian hartanah atau kenderaan mewah. Memberikan jaminan bahawa jumlah besar yang dibayar dijamin oleh bank, menjadikannya lebih selamat daripada membawa wang tunai. |
Draf Bank Khas (Certified Bank Draft) | Jenis draft bank ini adalah pilihan yang sangat selamat, di mana bank menjamin dana tersedia sepenuhnya untuk penerima. Ia kerap digunakan dalam transaksi besar yang memerlukan jaminan penuh bahawa pembayaran tidak akan gagal. |
7. Cara-cara Membuat Draft Bank
Berikut adalah panduan ringkas mengenai cara-cara membuat bank draft, supaya anda boleh memanfaatkan kaedah pembayaran yang selamat ini dengan mudah:
- Lawati Bank
Anda perlu singgah ke bank pilihan. Biasanya, anda perlu ada akaun dengan mereka, tapi ada juga bank yang membenarkan pembeli tanpa akaun dengan bayaran tambahan. - Berikan Maklumat yang Diperlukan
Anda perlu memberikan beberapa butiran penting, termasuk:- Nama penuh penerima pembayaran (pihak yang akan menerima draft bank).
- Jumlah wang yang anda ingin keluarkan melalui draf.
- Sebarang arahan khas berkaitan pembayaran.
- Bayaran
Anda akan dikenakan bayaran untuk draf bank dan kosnya bergantung pada jumlah yang dikeluarkan serta polisi bank. Bayaran untuk draft bank akan diambil terus dari akaun anda atau boleh juga dibayar secara tunai. - Tunggu Bank untuk Mengeluarkan Draft
Setelah semua maklumat dan bayaran diproses, bank akan keluarkan draft bank untuk anda dalam bentuk fizikal. Nampak seperti cek biasa, tapi dengan jaminan daripada bank. - Serahkan Bank Draft kepada Penerima
Anda boleh menghantar draft bank secara peribadi atau melalui pos kepada penerima yang ditetapkan. Penerima pula boleh mencairkan draf bank di mana-mana bank atau institusi kewangan yang menerima transaksi tersebut. - Simpan Resit atau Bukti Pembayaran
Pastikan anda menyimpan resit atau sebarang bukti pembelian untuk rujukan masa hadapan sekiranya berlaku masalah atau pertikaian.
Ini adalah proses umum bagi kebanyakan bank, tetapi prosedur mungkin sedikit berbeza bergantung kepada polisi setiap institusi kewangan.
8. Adakah Draft Bank Masih Relevan? Kenapa?
Kadangkala, pelanggan memilih untuk menggunakan bank draft bagi menguruskan kewangan dengan lebih cekap. Ini kerana sebaik sahaja mereka membeli draft bank, wang tersebut akan ditolak dari akaun mereka.
Mereka tidak perlu lagi risau tentang kemungkinan wang itu dibelanjakan secara tidak sengaja atau lupa, ia sudah diperuntukkan untuk tujuan tertentu.
Untuk menjawab kembali soalan di atas —Ya, masih relevan. Terutamanya untuk transaksi besar dan dalam situasi di mana keselamatan pembayaran adalah keutamaan.
Dengan jaminan yang diberikan oleh bank, draft bank menawarkan ketenangan fikiran kepada penerima bahawa dana adalah tersedia dan tidak akan ditolak.
Walaupun terdapat pelbagai alternatif lain yang lebih moden seperti pembayaran digital, bank draft terus menjadi pilihan yang selamat dan praktikal, terutama dalam urusan antarabangsa dan pembelian besar. Oleh itu, ia kekal sebagai sistem pembayaran yang penting dalam pengurusan kewangan.
Langkah anda ke arah kejayaan bermula di sini bersama IQI! Anda dah bersedia? Isi borang di bawah dan jadilah ejen hartanah bersama kami sekarang!
Baca Selanjutnya:
1. Deposit Tetap : Bank Mana yang Menawarkan Kadar Faedah Tertinggi? – Oktober 2024
2. Potensi Bank Digital Cetus Perlumbaan Mohon Lesen
3. GX Bank Menawarkan Faedah Sehingga 5%: Berbaloi atau Tidak? Dengarkan Pendapat Pengguna