TAHUKAH anda, Nasi Lemak telur yang sebelum ini berharga RM2.50 terpaksa dinaikkan kepada RM3.50? Perbezaan sebanyak RM1 ini terjadi berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, ia memberi kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah termasuk telur ayam baru-baru ini.
Fenomena in dikenali sebagai inflasi yang terjadi akibat daripada kos barangan dan perkhidmatan meningkat kerana bekalan yang tidak mencukupi, tetapi ada permintaan yang cukup tinggi daripada pembeli. Apabila inflasi berlaku, jumlah barang yang boleh dibeli dengan jumlah tertentu mata wang Ringgit Malaysia akan berkurangan.
Sebelum kita pergi lebih mendalam tentang ramalan inflasi bagi tahun 2023, mari ketahui apa itu inflasi terlebih dahulu!
1. Maksud Inflasi
2. Inflasi Di Amerika Syarikat |
Maksud Inflasi
Secara umumnya, inflasi merupakan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu. Menurut Kamus Dewan, inflasi bermaksud keadaan harga barang bertambah tinggi atau melampau disebabkan bertambahnya kuasa membeli.
Dari sudut ekonomi pula, inflasi merupakan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, yang boleh diertikan sebagai penurunan kuasa beli dari semasa ke semasa. Kadar penurunan kuasa beli boleh dicerminkan dalam purata kenaikan harga sekumpulan barangan dan perkhidmatan terpilih dalam tempoh tertentu. Kenaikan harga barang yang sering dinyatakan sebagai peratusan, bermakna bahawa unit mata wang membeli kurang daripada yang dilakukan pada tempoh sebelumnya.
Inflasi bertujuan untuk mengukur kesan keseluruhan perubahan harga untuk set produk dan perkhidmatan yang pelbagai. Ia membenarkan perwakilan nilai tunggal peningkatan dalam tahap harga barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi dalam tempoh masa.
Inflasi di Negara Luar
Amerika Syarikat (AS)
Jabatan Buruh Amerika Syarikat menunjukkan kadar inflasi AS menurun daripada 7.7% pada bulan Oktober kepada 7.1% dalam tempoh 12 bulan hingga akhir November. Namun, Tinjauan Peramal Profesional terbaru mengunjurkan bahawa inflasi akan menurun tahun depan, daripada 5.9 peratus pada 2022 (Q4/Q4) kepada 2.9 peratus pada 2023, diikuti dengan penurunan sederhana pada 2024 kepada 2.3 peratus. Unjuran 2024 adalah agak dekat dengan sasaran inflasi Rizab Persekutuan (Federal Reserve) sebanyak 2 peratus.
China
Sementara itu, Statista menyatakan kadar inflasi bulanan di China pada November 2022 berada pada julat 1.6 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. Kadar inflasi China memuncak pada 2.8 peratus pada September 2022, tetapi telah sedikit menurun baru-baru ini. Berbanding dengan ekonomi utama lain di dunia, China mempunyai tahap inflasi yang sederhana dan stabil. Walaupun China menikmati kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, inflasi di negara tersebut secara puratanya lebih rendah berbanding negara Brazil, Russia, dan India. Kadar inflasi kawasan maju di dunia secara amnya masih lebih rendah berbanding China.
United Kingdom (UK)
Menurut Gabungan Industri British atau Confederation of British Industry (CBI), UK akan mengalami kemelesetan sehingga akhir tahun depan dengan ekonomi terjejas akibat inflasi yang tinggi. Kumpulan perniagaan itu mengatakan bahawa ekonomi UK mungkin telah jatuh ke dalam kemelesetan pada suku ketiga tahun ini. Ia menjangkakan kemelesetan akan berterusan sehingga akhir tahun 2023. Sehubungan itu, ia telah menurunkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk 2023 dengan ketara, daripada 1 peratus kepada -0.4 peratus. Dalam pada itu, CBI turut percaya inflasi memuncak pada 11.1 peratus pada bulan Oktober. Diramalkan ia akan kekal jauh melebihi sasaran Bank of England sebanyak 2 peratus sepanjang 2023, mengakhiri tahun pada 3.9 peratus.
Inflasi di Malaysia
Inflasi di Malaysia diunjurkan perlahan pada tahun-tahun akan datang apabila bekalan makanan bertambah baik. Manakala harga komoditi berkemungkinan menurun disebabkan turun naik mata wang dan peningkatan nilai ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan BERNAMA, MIDF Research menyatakan penurunan harga siling minyak masak botol sebahagiannya disebabkan oleh kesan positif dalam harga komoditi global. Bahkan, semenjak eksport bijirin dari Ukraine disambung semula pada Julai 2022, inflasi makanan global telah menunjukkan trend sederhana. Jelaslah bahawa, bekalan makanan global semasa tidak tegang seperti pada masa lalu dan harga barangan dan perkhidmatan mungkin akan kekal stabil atau menurun dalam masa terdekat.
Seterusnya, MIDF Research turut berpendapat harga makanan akan menurun secara beransur-ansur dalam beberapa bulan akan datang. Namun begitu, penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS akan terus meluaskan bil import makanan Malaysia.
Kadar Inflasi Malaysia
“Kami menjangkakan purata inflasi pada tiga peratus tahun ini, dengan kawasan yang berbeza di dunia mengalami kadar inflasi yang berbeza bergantung pada keadaan khusus mereka. Harga untuk bahan api dan keperluan lain seperti makanan sangat tidak menentu, tetapi kami menjangkakan bahawa harganya akan stabil. Kami manjangkakan bahawa kadar inflasi akan menjadi purata 2.3% tahun hadapan,” kata MIDF Research dalam nota penyelidikan mereka
Bermula pada 8 Oktober lalu, harga lima kilogram minyak masak tulen yang dibungkus dalam botol telah diturunkan daripada RM33.50 kepada RM31.50, iaitu penurunan sebanyak RM2.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi, mengumumkan harga baharu minyak sawit itu ditetapkan pada purata harga sebagai tindak balas kepada penurunan harga baru-baru ini untuk komoditi ini. Bukan itu sahaja, pengguna boleh membeli harga minyak masak tulen dalam botol tiga kg dengan harga RM19.90. Dan dua botol kg cuma RM13.50, manakala satu kg hanya berharga RM7.10 sahaja. Maka, tiada alasan untuk pengguna sukar untuk mendapatkan bekalan minyak masak tulen lagi!
Dalam pada itu, beliau turut menggesa rakyat untuk melaporkan sebarang pelanggaran undang-undang berhubung harga komoditi melalui saluran yang disediakan sekiranya terjumpa.
Rumusan
Walaupun inflasi dan ekonomi Malaysia pada 2023 diramal untuk berada dalam keadaan baik, sebarang unjuran inflasi pada 2023 mesti dilihat sebagai tidak menentu. Ada kemungkinan harga makanan dan tenaga akan menurun atau gaji akan berkembang lebih perlahan daripada yang diramalkan, menurunkan inflasi dengan lebih cepat. Namun begitu, inflasi keseluruhan berkemungkinan menurun lebih cepat daripada kadar kenaikan gaji pada 2023, apabila harga komoditi menjadi reda dan kesesakan bekalan berkurangan.
Jika anda berminat untuk menjadi perunding hartanah, IQI boleh membantu anda untuk memanfaatkan sepenuhnya prospek kerjaya anda. Kami akan memberikan anda pengalaman berharga yang akan membantu anda untuk berkembang dalam bidang ini.
Isi borang di bawah dan tunggu panggilan dari kami!