Version: EN
Pernahkah anda mendengar mengenai JMB? Apa itu hartanah strata? Mungkin ramai yang masih janggal dengan perkataan ini bukan? Untuk pengetahuan anda hartanah strata adalah suatu pembangunan di mana bangunan atau tanah dibahagikan kepada beberapa lot, dikenali sebagai petak atau parcel.
Dalam kata lain ialah kediaman yang bertingkat seperti rumah flat, kondominium, apartment dan townhouse. Dapat dilihat bahawa rumah jenis ini semakin mendapat permintaan kerana kurangnya tanah di bandar dan juga kenaikan kos sara hidup.
Bagi mereka yang memilih untuk memiliki rumah jenis ini adakah anda familiar dengan JMB, MC dan juga Sub-MC Hartanah? Adakah anda tahu peranan atau tanggungjawab mereka? Apakah perbezaan bagi ketiga-tiga badan ini?
Pastikan anda scroll dan baca sampai habis untuk ketahui maklumat ketig-tiga badan ini.
Apa Maksud JMB (Badan Pengurusan Bersama)?
JMB adalah singkatan dari perkataan Joint Management Body atau Badan Pengurusan Bersama. Ianya adalah sebuah badan yang ditubuhkan untuk menguruskan perkara atau hal berkaitan penyelenggaraan hartanah strata.
Pengurusan oleh badan ini adalah berbentuk interim atau sementara iaitu bermula dari awal pembangunan sehinggalah status hak milik hartanah strata dikeluarkan oleh pejabat tanah.
Oleh itu, kesemua urusan berkaitan dengan hartanah strata ini termasuklah urusan berkenaan dokumentasi, jadual pembayaran, pengurusan akaun dan urusan penyelenggaraan hartanah akan diuruskan oleh anggota JMB ini.
Siapakah anggota JMB ini? Anggotanya sudah tentulah pihak pemaju dan juga pemilik/pembeli strata itu sendiri.
Apakah kerja JMB (Badan Pengurusan Bersama)?
Antara tanggungjawab JMB, pertama dan utama, ialah pengurusan penyelenggaraan. Selain itu, mereka bertanggungjawab untuk penguatkuasaan undang-undang kecil, dan juga, menentukan serta mengenakan caj untuk kerja penyelenggaraan. Lebih lanjut, mereka harus memastikan terdapat insurans untuk sebarang risiko berdasarkan SMA. Selain dari itu, mereka perlu mematuhi notis serta arahan pihak berkuasa tempatan dan juga awam berkaitan dengan harta bersama. Di samping itu, pastikan akaun yang dijaga oleh JMB mematuhi SMA serta diaudit adalah penting, dan banyak lagi tanggungjawab lain juga terlibat.
Selain itu, untuk pengetahuan anda JMB mempunyai bidang kuasanya yang tersendiri. Antara bidang kuasa tersebut ialah mengambil bayaran untuk kerja-kerja penyelenggaraan juga termasuk tunggakan bayaran dari pemilik hartanah strata, membentuk undang-undang tambahan supaya kerja-kerja penyelenggaraan dan pengurusan hartanah dapat dijalankan dengan baik.
Bukan itu sahaja, JMB juga boleh mengaturkan mana-mana servis, ejen, atau orang bagi menyelenggara juga menguruskan hartanah strata bersama, mengutip bayaran dari pemilik petak untuk kumpulan wang penjelas (sinking fund), mengeluarkan kebenaran perbelanjaan untuk menjalankan aktiviti pengurusan serta penyelenggaraan dan banyak lagi.
Apa itu MC?
MC iaitu Management Corporation atau juga dikenali dengan nama Perbadanan Pengurusan ialah satu badan yang dianggotai oleh pemilik hartanah strata yang dipilih melalui undian oleh penduduk lain semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).
MC ditubuhkan selepas pembukaan buku pendaftaran strata dibuat atau dengan kata lain selepas status hak milik strata dikeluarkan.
JMB akan terbubar secara automatic selepas terbentuknya MC iaitu dalam tempoh 3 bulan dari AGM bagi MC yang pertama.
Apakah Tanggungjawab MC?
Pastinya, anda mungkin keliru antara JMB dan MC, bukan? Sebenarnya, kedua-dua badan ini mempunyai perbezaan dari segi tugas dan tanggungjawab. Yang penting untuk anda ketahui ialah, tanggungjawab mengurus dan menyelenggara hartanah strata yang sebelum ini berada di bawah tanggungjawab JMB, akan beralih kepada MC sebaik sahaja MC terbentuk.
Selanjutnya, perlu diperhatikan bahawa JMB ialah sebuah badan yang berbentuk interim atau sementara. Ini menjelaskan mengapa JMB tidak mempunyai kuasa sepenuhnya seperti yang termaktub di dalam SMA, berbanding dengan MC.
Secara umumnya, keanggotaan MC ini tidak kurang dari 3 orang dan tidak melebihi 14 orang ahli. Menariknya, jumlah ahli ini akan ditentukan di dalam mesyuarat umum oleh JMB.
Apa itu Sub-MC?
Sekiranya pembangunan hartanah strata terlalu besar dan sukar untuk diuruskan oleh hanya satu badan jawatankuasa, Sub-MC akan diperlukan untuk membantu kelancaran tugas mereka.
Sub-MC ini sangat sangat penting untuk pembangunan jenis bercampur (mixed development) iaitu kegunaan kediaman, komersial dan juga peruncitan.
Pemilik hartanah strata biasa atau kata lain penduduk hanya boleh menubuhkan Sub-MC sekiranya MC telah pun ditubuhkan. Namun, adakah Sub-MC berada di bawah pengurusan MC? Tidak.
Pengurusan Sub-MC ialah berasingan tetapi salah seorang ahli MC harus terlibat di dalam pengurusan Sub-MC ini.
Perbezaan antara JMB & MC
Berikut adalah perbezaan bidang kuasa antara JMB dan juga MC iaitu:
1. Had berkaitan pengurusan kemasukan kontrak
JMB (Badan Pengurusan Bersama) | MC (Perbadanan Pengurusan) |
---|---|
Berdasarkan Seksyen 21(3) SMA, JMB tidak dibenarkan membuat atau mengikat sebarang kontrak dengan pihak lain berkenaan urusan penyelenggaraan dan pengurusan hartanah strata untuk tempoh 12 bulan. | Tiada had kerana perlu melibatkan penyedian perkhidmatan setiap tahun. |
2. Pinjaman wang
JMB (Badan Pengurusan Bersama) | MC (Perbadanan Pengurusan) |
---|---|
Tidak boleh membuat sebarang pinjaman. | Dibenarkan untuk membuat pinjaman wang bagi membantunya menjalankan tugas. |
3. Jaminan bayaran balik wang
JMB (Badan Pengurusan Bersama) | MC (Perbadanan Pengurusan) |
---|---|
Tidak dibenarkan memberi sebarang jaminan bayaran balik wang. | Dibenarkan memberi jaminan bayaran balik wang pinjaman dan pembayaran balik faedah. |
4. Perolehan tanah tambahan
JMB (Badan Pengurusan Bersama) | MC (Perbadanan Pengurusan) |
---|---|
Tidak boleh mendapat tanah tambahan untuk sebarang kegunaan pembangunan. | Dibenarkan memperoleh tanah tambahan untuk tujuan pembangunan yang ingin distratakan. |
Adakah peranan JMB, MC dan Sub-MC ini memainkan peranan penting dalam memastikan anda dapat mencari rumah idaman anda? Ya, ketiga-tiga badan ini sangat berpenanan dalam memastikan anda mendapat rumah idaman anda.
Secara kesimpulannya, JMB, MC, dan Sub-MC Hartanah memainkan peranan penting dalam pengurusan dan penyelenggaraan hartanah strata.
JMB, atau Badan Pengurusan Bersama, ditubuhkan secara sementara untuk menguruskan hartanah strata dari awal pembangunan sehingga status hak milik strata dikeluarkan.
MC, atau Perbadanan Pengurusan, terbentuk selepas status hak milik strata dikeluarkan dan mengambil alih tanggungjawab pengurusan dari JMB secara keseluruhan.
Sub-MC dibentuk untuk membantu kelancaran tugas pengurusan, terutamanya dalam pembangunan besar atau bercampur.
Perbezaan antara JMB dan MC termasuk bidang kuasa seperti kemasukan kontrak, pinjaman wang, jaminan bayaran balik wang, dan perolehan tanah tambahan.
MC memiliki kuasa yang lebih besar berbanding JMB, termasuk dalam membuat keputusan penting mengenai pengurusan dan pembangunan hartanah strata.
Keseluruhan, peranan ketiga-tiga badan ini adalah penting dalam memastikan penyelenggaraan yang efisien dan pengurusan yang berkesan bagi pemilik hartanah strata.
Jika anda berminat untuk mendapatkan sebarang hartanah strata atau apa jua jenis hartanah dan juga khidmat nasihat berkaitan hartanah anda boleh berhubung dengan mana-mana ejen IQI Global. Kami adalah sebuah syarikat hartanah yang dipercayai di seluruh dunia.