Hak Milik Strata, pernah dengar tak?
Kalau tak pernah dengar dan tak tahu, apa kata anda terus ikuti perkongsian kali ini untuk ketahuinya dengan lebih lanjut!
Menjelang tahun 2024 ini, dapat kita lihat semakin banyak rumah atau kediaman yang dibina di dalam bangunan bertingkat seperti pangsapuri/kondominium/apartment/flat.
Terutamanya di bandar-bandar besar dan tempat tumpuan seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan banyak lagi.
Disebabkan oleh harga tanah yang tinggi dan kekurangan tanah, pihak pemaju lebih cenderung untuk membina kediaman bertingkat seperti ini dan ramai pembeli yang beralih arah dan mula membuat perhitungan untuk membeli rumah jenis ini.
Jika anda salah seorang yang merancang untuk membelinya, anda perlu tahu mengenai hak milik strata!
Apa kaitan hak milik strata dengan jenis kediaman ini? Dan apakah kepentingannya? Jom baca sampai habis untuk mengetahui lanjut berkenaan hak milik strata di bawah.
Konten
- Apa itu Hak Milik Strata?
- Apakah Tanggungjawab Saya Selaku Pemilik Strata?
- Apakah Hak Saya Selaku Pemilik Strata?
- Cara Semak Hak Milik Strata
- Apa yang Perlu Dilakukan Lepas Sudah Pindah Hak Milik?
- Bilakah Waktu yang Sepatutnya Pemilik Mendapat Haknya?
- Adakah Saya Boleh Jual Walaupun Masih Belum Memperolehi Status?
Apa itu Hak Milik Strata?
Hak milik strata bermaksud hak milik bagi setiap unit rumah atau petak yang berasingan dalam bangunan 2 tingkat atau lebih dan ianya dibina di atas tanah yang sama serta segala kemudahan dikongsi bersama.
Jenis rumah strata yang termasuk di dalam maksud di atas ialah pangsapuri, kondominium, flat, apartment, townhouse dan rumah-rumah dalam skim komuniti berpagar.
Hak milik strata ini penting bagi pemilik kediaman yang disebutkan di atas kerana hak milik strata inilah yang akan membuktikan pemilikan aset tersebut terutamanya untuk tujuan urusniaga.
Contoh urusniaga yang memerlukan bukti pemilikan termasuklah pindah milik, cagaran, pembahagian harta pusaka dan juga gadaian.
Tanpa bukti yang nyata seperti hakmilik strata ini, sukar untuk membuktikan pemilikan sesuatu unit kediaman tersebut kerana ianya dibina di atas satu bidang tanah yang sama.
Justeru, jika anda salah seorang pemilik rumah jenis ini anda perlu mempunyai hak milik strata ini supaya hak anda terjaga.
Apakah Tanggungjawab Saya Selaku Pemilik Strata?
Jika saya sudah mempunyai hakmilik strata apa perlu saya buat?
Apa tanggungjawab saya yang perlu saya laksanakan?
Dalam bahasa mudahnya pastilah anda perlu menjaga dan menguruskan harta anda ini dengan sebaiknya.
Sebagai pemilik strata anda perlu menjelaskan sejumlah caruman yang telah ditetapkan kepada Perbadanan Pengurusan. Untuk apa bayaran caruman ini? Bayaran caruman ini adalah yuran pengurusan dan pentadbiran harta bersama.
Jumlah caruman pula bergantung kepada jumlah dan jenis unit kediaman beserta jumlah akses kepada kemudahan yang disediakan. Ianya mungkin tidak akan sama dengan orang lain.
Selain itu, pembayaran caruman tersebut termasuklah bayaran untuk tujuan premium insuran kebakaran, cukai tanah dan akaun khas. Sebagai seorang pemilik strata anda juga perlu menghadiri Mesyurata Agung Tahunan dan juga Mesyuarat Agung Luar Biasa.
Bukan itu sahaja, malah tanggungjawab pemilik strata juga termasuklah mematuhi undang-undang Kecil Perbadanan yang sedang berkuatkuasa dan juga perlu patuh kepada segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa awam/tempatan mengenai hak milik stratanya.
Apakah Hak Saya Selaku Pemilik Strata?
Tahukah anda, sebagai pemilik strata anda mempunyai hak ekslusif dalam beberapa perkara. Antara hak-hak tersebut ialah anda layak untuk terlibat dalam urusniaga seperti pindah milik, pemajakan, penggadaian, memecah dan juga menyatukan petak-petak yang dimilikinya.
Selain itu, hak lain sebagai seorang pemilik strata ialah layak mengundi dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dikelolakan oleh Perbadanan Pengurusan.
Di samping itu, anda juga berhak ke atas harta bersama berdasarkan unit yang diberikan, mempunyai hak dalam perkara berkaitan sokongan dan perkhidmatan seperti bekalan air dan bekalan elektrik.
Akhir sekali, pemilik strata berhak untuk melihat dan memeriksa rekod dan akaun Perbadanan Pengurusan.
Cara Semak Hak Milik Strata
Bagaimanakaha caranya jika saya ingin menyemak hak milik strata saya? Sangat mudah! Anda boleh menyemak status hak milik strata anda melalui laman web Sistem e-tanah bagi setiap negeri masing-masing.
Cara lain untuk menyemak status hak milik anda ialah dengan cara terus ke Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) atau Pejabat Tanah Daerah (PTD).
Namun, untuk pengetahuan anda sukar sebenarnya untuk menyemak status hak milik strata ini kerana permohonan untuk hak milik strata bagi hartanah ini adalah tanggunjawab pihak pemaju.
Tidak hairanlah kenapa isu berkenaan status hak milik strata ini masih wujud sampai sekarang. Ini kerana, terdapat pemaju yang culas dalam memohon hak milik strata memandangkan terdapat bayaran yang dikenakan semasa membuat permohonan.
Untuk pengetahuan anda, selepas sahaja pihak pemaju memperolehi hak milik strata itu, ianya perlu dipindah milik kepada anda dari pemaju dalam tempoh 30 hari sahaja.
Untuk elakkan masalah di kemudian hari, pastikan anda tidak bertangguh untuk membuat pemindahan hak milik tersebut.
Apa yang Perlu Dilakukan Lepas Sudah Pindah Hak Milik?
Selepas anda milik strata bagi hartanah sudah anda perolehi, pastikan anda dapatkan salinan sijil insurans individu bagi unit atau petak anda.
Ini adalah untuk pastikan anda faham dan memahami polisi induk yang telah diambil oleh Perbadanan Pengurusan.
Antara insurans yang penting untuk anda ambil ialah polisi insurans kebakaran, polisi tuan rumah dan juga isi rumah. Insurans ini penting untuk memberi perlindungan kepada rumah/petak anda, diri anda sendiri dan juga keluarga anda.
Bilakah Waktu yang Sepatutnya Pemilik Mendapat Haknya?
Pasti anda tertanya-tanya bilakah waktu yang sepatutnya untuk hak milik strata ini dikeluarkan. Jawapannya adalah dalam tempoh satu bulan selepas pihak pemaju memperolehi Sijil Cadangan Pelan Strata (Certificate of Proposed Strata Plan, CPSP). CPSP ini akan diperolehi selepas pembinaan pada peringkat superstruktur telah pun siap.
Apa pula dimaksudkan dengan peringkat superstruktur? Superstruktur merujuk kepada pembinaan dinding dan struktur yang akan ditunjukkan dalam pelan strata.
Adakah Saya Boleh Jual Walaupun Masih Belum Memperolehi Status?
Bagi mereka yang membeli rumah untuk tujuan pelaburan mungkin tidak mahu menunggu lama sehingga hak milik strata diperolehi untuk menjual rumah mereka.
Persoalannya, adakah boleh menjual unit rumah mereka walaupun status pemilikan hak milik strata masih belum diluluskan? Jawapannya boleh tetapi haruslah melalui satu perjanjian.
Pemilik strata (penjual) dan pemilik baru strata (pembeli) haruslah menandatangani satu surat iaitu Surat Ikatan Penyerahan Hak (Deek of Assigment/DOA) yang mana melalui perjanjian ini akan memberi kebenaran kepada pemilik baru strata hartanah yang dibeli untuk menggunakan hartanah tersebut berdasarkan terma dan syarat yang telah dipersetujui bersama.
Boleh semak mengenai hakmilik strata di bawah Akta Pengurusan Strata 2013.
Kesimpulannya, hak milik strata ini sangat penting bagi mereka yang ingin membeli jenis aset seperti di atas. Penjelasan di atas hanyalah sebagai penerangan ringkas berkenaan pemilikan strata ini.
Banyakkan membuat carian atau bacaan tentang hak milik strata ini agar anda tidak rugi di masa akan datang. Jadilah tuan tanah yang celik hakmilik strata hartanah yang dibeli!
Kedengaran keliru untuk anda? Jangan risau ejen hartanah profesional kami sedia membantu anda!
Silalah tinggalkan butiran-butiran anda dan kami akan membantu!