Tahukah anda, 60% daripada kes muflis di Malaysia melibatkan golongan muda berusia 35 tahun ke bawah? Macam tak percaya kan?
Dalam dunia moden kini, di mana media sosial menjadi pentas untuk “flex” gaya hidup mewah seperti kereta sport dan barang berjenama, membuatkannya seperti satu budaya atau trend yang harus diikuti.
Lalu, siapa yang menjadi mangsa kepada gaya hidup tidak sihat ni? —anak muda lah!
Mereka cenderung untuk mengejar trend dan berbelanja melampaui kemampuan sebenar yang membawa mereka ke kancah kemuflisan. Jadi, mana satu yang lebih bijak untuk dimiliki dulu?
Rumah VS Kereta: Mana Dulu?
Beli rumah boleh jadi pelaburan jangka panjang memang tidak dinafikan, dengan nilai yang berpotensi meningkat dan menjadi kediaman di masa hadapan. Sebaliknya, kereta mengalami susut nilai sejurus pembayaran dilakukan.
Namun, kerana proses pembelian rumah yang kompleks dan memerlukan modal yang besar, ramai anak muda lebih cenderung membeli kereta dahulu.
Walaupun membeli rumah adalah keputusan yang bijak, ia tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Setiap individu mempunyai keinginan dan keutamaan yang berbeza.
Mari kita selami bersama-sama apa yang patut dipertimbangkan sebelum membuat keputusan ini.
Tepuk Dada Tanya Selera
Keputusan untuk beli rumah atau kereta dahulu bergantung kepada keperluan dan situasi semasa anda dan bukannya orang sekeliling. Jangan biarkan gaya hidup orang lain menghasuti anda!
Pertimbangkan situasi dan keperluan anda yang paling mendesak. Jika situasi anda lebih memerlukan kenderaan yang selesa untuk urusan kerja dan keluarga, tidak salah untuk membeli kereta dahulu.
Tapi, pastikan pilihan kereta tu sesuai dengan pendapatan anda agar tidak terbeban dengan bayaran dan bukan sebab nak bergaya ya.
Sebaliknya, jika kereta bukan keperluan utama anda, maka pertimbangkanlah untuk melabur dalam hartanah. Pastikan anda membekalkan diri dengan pengetahuan pelaburan hartanah untuk memastikan pulangan yang baik.
Perbandingan Kelebihan dan Kekurangan
Kelebihan
Rumah | Kereta |
---|---|
Pelaburan Jangka Panjang Nilai hartanah cenderung meningkat, memberikan pulangan pelaburan yang lebih baik dalam jangka panjang. | Mobiliti dan Kebebasan Memudahkan urusan harian dan pergerakan tanpa bergantung kepada pengangkutan awam. |
Pendapatan Pasif Rumah boleh disewakan untuk menjana pendapatan tambahan. | Kos Awal Lebih Rendah Pembelian kereta biasanya memerlukan wang pendahuluan dan kos awal yang lebih rendah berbanding rumah. |
Kestabilan Kewangan Memiliki rumah sendiri memberikan kestabilan kewangan dan mengurangkan kos sewa dalam jangka masa panjang. | Kepuasan Segera Kereta memberi kepuasan segera dan meningkatkan kualiti hidup dengan segera. |
Kekurangan
Rumah | Kereta |
---|---|
Kos Awal Tinggi Membeli rumah memerlukan wang pendahuluan, kos penutupan, dan bayaran bulanan yang tinggi. | Susut Nilai Kereta mengalami susut nilai dari masa ke masa, mengurangkan nilai pelaburan. |
Komitmen Jangka Panjang Pemilikan rumah memerlukan komitmen kewangan yang berterusan dan jangka panjang. | Kos Penyenggaraan Memerlukan kos berterusan untuk penyelenggaraan, insurans dan cukai. |
Tanggungan Kewangan Beban kewangan yang tinggi mungkin menyukarkan perbelanjaan lain. | Kesukaran Mencapai Sasaran Kewangan Lain Pelaburan dalam kereta boleh menyukarkan penjimatan untuk membeli rumah. |
Adakah Ianya Keperluan atau Hasutan?
Tiada istilah benar atau salah jika anda beli rumah besar atau kereta mahal. Ia akan jadi masalah jika anda membuat keputusan kerana teracun dengan hasutan yang jauh sekali dengan kemampuan.
Di sekeliling anda ada tak kenalan yang jenis “baik beli”? Seperti, jika anda ingin beli kereta jenama Teslu (bukan nama sebenar), mereka akan berkata “lebih baik beli kereta jenama BMU~” dan sebagainya?
Ada? Hm banyakkan bersabar dan kuatkan semangat ya!
Jangan biarkan “hasutan” orang lain mempengaruhi anda untuk membeli rumah besar atau kereta mewah hanya untuk menunjuk dan bergaya.
Itu bukan cara yang bijak! Sama ada rumah atau kereta, pastikan anda membuat keputusan mengikut keperluan sebenar dan kemampuan kewangan, bukan semata-mata untuk gaya.
Buat Persiapan dan Pengiraan Bagi Kedua-dua Pilihan
Tak kisahla beli rumah atau beli kereta dahulu, kedua-duanya memerlukan persiapan. Persiapan dari segi apa tu?
Ha! Dari segi kos tambahan la seperti penyelenggaraan, insurans, bayaran cukai, baik pulih, renovasi dan sebagainya~
Setelah mengetahui semua kos yang terlibat, anda akan lebih jelas tentang jenis rumah dan kereta yang sesuai dengan kemampuan kewangan anda.
Barulah anda dapat membuat pengiraan yang tepat dan membuat keputusan berdasarkan kemampuan sebenar.
1. Analisa Pendapatan dan Perbelanjaan
Hitung jumlah pendapatan bulanan bersih anda dan bandingkan dengan perbelanjaan harian serta komitmen sedia ada. Pastikan anda mempunyai lebihan yang mencukupi untuk komitmen baru.
2. Simpanan dan Dana Kecemasan
Pastikan anda mempunyai simpanan yang mencukupi dan dana kecemasan sebelum membuat komitmen besar.
3. Pertimbangkan Kos Jangka Panjang
Fikirkan tentang kos jangka panjang yang bakal dilaburkan seperti penyelenggaraan, pembaikan, cukai atau insurans dan lain-lain.
4. Buat Pelan Kewangan
Rancang bajet jangka panjang yang termasuk kos baru ini dan pastikan ia tidak akan membebankan kewangan anda di masa hadapan.
5. Tinjau Kemampuan Kewangan
Lihat jumlah kos yang perlu ditanggung setiap bulan atau tahun dan bandingkan dengan pendapatan serta perbelanjaan semasa anda.
Ukur Baju di Badan Sendiri
Kaedah Alternatif Yang Boleh Dipertimbangkan
Saya percaya dengan disiplin dan penelitian yang ketat, semua orang mampu untuk memiliki rumah ataupun kereta, atau boleh jadi kedua-duanya sekali?
Pilihan lain yang boleh anda lakukan adalah seperti beli kereta terpakai. Kereta terpakai kalau pandai cari, kondisi kereta boleh jadi lebih kurang macam kereta baharu tau! Dah boleh jimat banyak dekat situ.
Untuk rumah pula, kalau nak rumah murah tak semestinya kena beli rumah baharu. Anda boleh pilih rumah lelong misalnya, kerana ia boleh jadi lebih murah dari harga pasaran.
Anda tetap nak beli rumah baharu? Tiada masalah. Mungkin boleh mohon skim bantuan perumahan yang telah banyak disediakan oleh pihak kerajaan, antaranya seperti di bawah:
Kalau anda, yang mana satu lebih penting? Rumah atau kereta?
Ini adalah panggilan untuk anda! Peluang untuk menyertai syarikat hartanah terbesar kini telah tiba. Bersama IQI, anda pasti akan berkembang maju dan mengubah masa depan anda. Tinggalkan butiran anda di bawah dan bersiaplah untuk memulakan perjalanan kerjaya anda yang hebat bersama IQI!
Baca Selanjutnya:
1. 5 Tips Mudah Sebagai Persediaan Sebelum Beli Rumah di Kuala Lumpur