Cuti Raya 2024 ni pergi mana? Dah ada plan nak pergi bercuti ke tu~
Selain daripada pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, ada juga yang tak balik kampung disebabkan sebab-sebab tertentu. Mungkin sebab kampung kat KL je?
Ha, yang raya tak balik kampung tu mesti bosan kan musim raya duduk rumah je. Jom la pergi bercuti! Kalau cakap pasal bercuti, mesti ramai yang pilih untuk bermalam di hotel atau menginap sebelum pulang ke kediaman masing-masing.
Hakikatnya, tidak semua lokasi percutian menuntut anda untuk bermalam pun, sebaliknya ia boleh dilakukan secara lawatan pendek.
Dengan keadaan sedimikian, kami akan berkongsikan 10 tempat menarik yang boleh anda kunjungi untuk percutian pendek sempena hari Raya Aidilfitri di Malaysia.
Jom Pilih Destinasi Cuti Raya Anda:
1. Lexis Hibiscus
Resort yang terkenal sebagai syurga resort ini terletak di Port Dickson, anggaran kurang dari 2 jam perjalanan dari ibu kota Kuala Lumpur, dan anda pasti akan terpesona dengan keindahan semula jadi yang terdapat di sini.
Ia terkenal kerana lokasi resort yang terletak di tepi laut dan menampilkan 639 vila kolam renang dengan gaya mewah dan reka bentuk menyerupai bunga hibiscus (bunga raya) yang sangat sesuai dengan tema Hari Raya Aidilfitri!
Resort ini tidak berdekatan bandar, tetapi terdapat banyak aktiviti yang dapat dilakukan di Lexis Hibiscus Resort itu sendiri!
Satu lagi yang menarik di Lexis Hibiscus ialah makanannya! Sama ada anda ingin menyantap makanan Malaysia (nantikan menu Raya mereka!) atau masakan barat, jangan risau!
Semuanya ada di Lexis Hibiscus. Antaranya ialah masakan Jepun di UMI Japanese Restaurant, santapan sarapan pagi dan koktel petang di Wave Dining, jamuan bufet tempatan dan antarabangsa di Roselle Coffee House, makanan ringan termasuk kek, aiskrim dan minuman kopi, teh dan jus serta koktel di lounge bergaya dan bar.
Restoran Untuk Dicuba Apabila Menginap Di Lexis Hibiscus Resort:
- Roselle Coffee House: gabungan masakan tempatan dan antarabangsa yang lazat, daripada bufet sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam yang mewah serta pilihan ala carte hingga minum petang pada hujung minggu.
- UMI Japanese Restaurant: ala-carte, set menu atau pilihan Bento untuk masakan Jepun.
- Lighthouse Bar (Non-Halal): menawarkan wain dan minuman keras dari seluruh dunia, dilengkapi dengan koktel dan minuman istimewa. P/S kami tidak mengesyorkan umat Islam untuk beraya di sini.
2. Sekinchan
Sesetengah orang berasa agak tertekan untuk berada di bandar, kerana ia mengingatkan mereka tentang kerja! Rugi jika anda terus pulang ke rumah sebaik sahaja anda selesai beraya di kampung. Semestinya keindahan hutan konkrit tiada tandingannya jika dibandingkan dengan alam semulajadi.
Jadi, dengan memilih Sekinchan yang hanya mengambil kira-kira 1 jam 30 minit perjalanan dari Kuala Lumpur adalah percutian singkat yang patut anda pertimbangkan jika menginginkan percutian selepas anda puas beraya di rumah saudara-mara.
Suasana desa yang harmoni, makanan laut yang sedap dan pemandangan yang cantik menjadikan Sekinchan tempat yang tepat untuk percutian singkat sempena cuti hari Raya dan jauh dari kesibukan harian di bandar.
Antara tempat yang boleh anda kunjungi di Sekinchan ialah Pantai Cermin (Sky Mirror), yang merupakan salah satu fenomena unik di perairan Kuala Selangor. Sky Mirror ialah sebuah pantai yang muncul di tengah perairan ketika air cetek dan membolehkan anda menerokai kawasan sekeliling dan bergambar dan bergaya dalam baju Raya anda di sini.
Ianya muncul hanya 3-4 jam pada waktu pagi yang menimbulkan refleksi awan yang sangat nyata, bagaikan cermin.
Apa yang lebih unik ialah fenomena ini hanya berlaku pada hari pertama, kedua, keempat belas, kelima belas, keenam belas dan ketiga puluh setiap bulan. Sungguh misteri, kan? Sama seperti Salar de Uyuni di Bolivia yang merupakan air masin rata di sana.
Pengunjung ramai datang untuk mendapatkan gambar yang menarik. Malah, ada juga yang datang dari jauh semata untuk mengambil gambar perkahwinan mereka!
Sudah muak menjamu hidangan Raya? Makanan laut juga cukup terkenal di Sekinchan, kerana aneka lauknya yang segar dengan harga yang berpatutan membuatkan ramai orang sanggup datang dari jauh semata untuk menikmatinya! Menjadi satu kewajipan untuk anda menikmati makanan laut, jika mengunjungi Sekincan! Berikut ialah beberapa tempat untuk dituju:
- Abah Bonda Ikan Bakar: makanan laut yang Halal dan terkenal dengan Ikan Bakar dengan harga yang berpatutan.
- Restoran Seafood D’bendang [Pork-Free, Alcohol-Free]: makanan laut segar dan mampu milik terletak di Hotel Kontena! Malah disahkan oleh “influencer” tempatan Ceddy – CEO Makan Makan.
- Restoran Loong Hua (隆华海鲜酒家): untuk masakan gaya Kampung Nelayan Tradisional menghadap Jet.
3. Genting Highlands
Ya, Genting Highlands adalah lokasi yang cukup terkenal dan sentiasa dipenuhi dengan pelancong dari seluruh Malaysia. Dan ianya masih layak diberi penghormatan kerana ia adalah tempat yang ikonik.
Pemandangan semula jadi seperti gunung-ganang sehingga ke awan akan membuatkan sesiapa sahaja berasa seperti berada di negara lain! Oleh itu, ia merupakan rancangan yang ideal untuk anda selepas menyambut hari Raya di kampung halaman!
Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di Genting Highlands, seperti ke taman tema Genting SkyWorlds untuk beberapa permainan ringan hingga ekstrem, dan juga membeli-belah di Genting Premium Outlet.
Pilihan makanan juga tidak pernah terhad di sana, kerana Genting Highland dipenuhi dengan beberapa restoran yang tidak terdapat di tempat lain. Jadi persiapkan diri, anda pasti akan berseronok dan kekenyangan di sana!
Restoran Untuk Dicuba Apabila anda Mengunjungi Genting Highland:
- Burger & Lobster: restoran yang terdapat hanya di Asia! terkenal dengan Nova-Scotia Lobster dan Burger Daging Lembu mereka.
- Sugu Restaurant Claypot Rice: terkenal kerana menyajikan Nasi Panas, Berwap, dan Claypot.
- Nicsmann 1940s by Lewre: terkenal dengan makanan Barat mereka dengan pengalaman makan di kawasan terbuka.
4. Cameron Highlands
Jika anda jemu dengan cuaca panas dan kesesakan ibu kota, mahupun untuk ibu bapa yang penat menjaga anak-anak berkeliaran pada penyambutan hari Raya, larilah sebentar ke Cameron Highlands! Tempat ini cukup terkenal dengan udaranya yang dingin dan juga pemandangan yang menakjubkan. Tambahan pula terdapat banyak tempat menarik di Cameron Highland, menjadikan ia destinasi sasaran popular pelancong tempatan dan juga antarabangsa.
Landskap Cameron yang nyaman dan cantik pasti membuatkan anda berasa sangat tenang, sambil menghirup teh panas menghadap ladang teh di bawahnya. Tambahan pula, terdapat taman-taman yang tidak berkesudahan untuk dikunjungi, sesuai buat mereka yang sukakan foto estetik dan fotografi, seperti Taman Lavender Cameron atau Taman Flora Cameron. Tempat yang sesuai untuk pasangan, keluarga dan juga bersama rakan-rakan untuk berseronok semasa hari cuti. Kedua-duanya dipenuhi dengan bunga seperti, sudah tentu lavender, mawar Jepun, daisie dan hydrangea.
Cameron juga sangat terkenal dengan strawberi mereka, yang dijual di hampir setiap kedai makan di sana. Ada juga yang memasukkannya ke dalam menu mereka, seperti Nasi Lemak dengan Sambal Strawberi! Walaupun jauh dari apa yang boleh dianggap santapan Raya, menu ini masih wajib anda cuba ketika berkunjung ke Cameron Highland!
Berikut Adalah Beberapa Tempat Untuk anda Kunjungi di Cameron Highlands:
- Strawberry Farms: untuk petik buah Strawberi, dan pencuci mulut dengan perisa Strawberi dalam pelbagai jenis!
- Opah Strawberries & Jams: nikmati Nasi Lemak dengan Sambal Strawberi mereka yang terkenal dan Scones!
- KHM Strawberries & Jams: untuk minum Teh dan Jem tepat di Ladang Strawberi mereka.
5. Fraser’s Hill
Berdekatan dengan Cameron Highlands ialah Bukit Fraser, satu lagi bukit yang indah dan tenang untuk anda kunjungi. Ia mungkin kelihatan jauh sedikit, tetapi berbaloi untuk kunjungi sepanjang percutian sempena hari Raya Aidilfitri!
Manjakan diri anda dengan alam semula jadi yang indah yang kelihatan seperti hanya terdapat dalam lukisan. Walaupun tidak se-meriah dan se-sesak seperti di Cameron Highlands atau Genting Highlands, Bukit Fraser juga mempunyai aktiviti menarik yang bukan sahaja menghiburkan golongan dewasa tetapi juga kanak-kanak, membuatkan ia lokasi yang sesuai untuk menyambung kemeriahan hari Raya sekeluarga.
Terdapat banyak laluan mendaki yang sesuai untuk sesiapa sahaja, dari pemula sehingga professional yang boleh dikira juga sebagai senaman, kan? The Paddock dan Allan’s Water juga sangat menarik, kerana anda boleh menunggang kuda atau memberi makan ikan sambil menikmati udara yang sejuk.
Tidak ada pengecualian juga untuk makanan di Bukit Fraser, kerana semua orang boleh menikmati beberapa scone yang lazat di Hotel Gaya Inggeris atau pergi ke kedai makan tempatan kegemaran mereka di medan selera.
Berikut Beberapa Tempat Untuk Ditujui Di Bukit Fraser:
- GlassHouse Fraser’s: untuk Kek dan Kopi mereka.
- Ye Olde Smokehouse: untuk Teh Krim dengan Scone buatan sendiri, jem Strawberi dan banyak lagi.
- Glasshouse Fraser’s Hill: terkenal dengan suasana cafe yang aestetik dan menyajikan kopi dan kek yang sedap.
6. Kuala Kubu Bharu
Negeri Selangor terbahagi kepada sembilan daerah dan salah satunya adalah Kuala Selangor. Tarikan terbaru di daerah Kuala Selangor yang semakin dikenali kerana alam semula jadinya adalah Kuala Kubu Bharu.
Keunikan Kuala Kubu Bharu sebagai bandar bersejarah dan memiliki keindahan semula jadi menjadikannya sebagai kawasan tumpuan pelancong domestik dan luar. Bukan itu sahaja, ianya juga cukup terkenal dengan aktiviti-aktiviti yang mencabar fizikal anda! Seperti denai kembara, mata air panas dan berakit.
Memandangkan aktiviti mendaki dan kolam air panas lebih ditujukan kepada pelancong yang lebih suka aktiviti yang lebih santai, kami beralih ke arung jeram di Whitewater Rafting KKB untuk memulakan langkah.
Ia adalah sepanjang 8 km dan deras adrenalin akan memberi anda pengalaman baharu bersama konvoi Raya anda. Selain itu, ia sesuai untuk pemula yang ingin mencuba sambil menikmati pemandangan yang menakjubkan dengan merentasi sungai.
Selepas itu, sudah pasti semua akan lapar selepas sukan lasak, bukan? Jadi, berikut adalah beberapa tempat makan yang disyorkan untuk dicuba ketika berada di Kuala Kubu Bharu.
- Teng Wun Bakery: sudah pasti untuk Kaya Puffs mereka yang terkenal.
- Sun Sun Nam Cheong: sudah tentu, untuk Chicken Chop Authentic dan Kopi Hainan mereka!
- Nagu Curry House: Thosai dan Kopi Brew panas dengan Susu Lembu segar untuk memulakan hari anda.
7. Dusun Bonda Resort
Terletak di Ulu Tamu, Batang Kali, Dusun Bonda Resort menawarkan penginapan yang ceria d0an mendamaikan di dalam landskap tropika yang ditumbuhi pokok-pokok buah yang mekar.
Bukan sekadar penginapan, Dusun Bonda Resort menjanjikan suasana yang penuh dengan ketenangan dan padat dengan keseronokan untuk anak-anak. Antara tarikan yang terdapat di resort ini adalah kolam dengan air terjun buatan, buaian di atas sungai, taman permainan kanak-kanak, ruang makan di bahagian rooftop, dapur, surau, kemudahan BBQ dan banyak lagi.
Selain aktiviti yang ditawarkan di dalam resort, anda juga boleh mengatur aktiviti luar seperti jungle trekking ke kawasan air terjun, bermandi-manda di kolam air panas yang hanyalah 3 minit dari situ atau mencuba nasib dengan memancing ikan di kolam pancing air tawar yang hanyalah 4.2 km dari resort.
Mengenai penginapan di resort ini, Dusun Bonda menawarkan penginapan jenis studio villa, villa 3-bilik, dan juga Glam 5-metre Bell Tent serta Glam 4-metre Bell Tent. Secara keseluruhannya, resort ini dapat menampung sehingga 50 penginap dewasa pada satu-satu masa.
8. Sunset Paradise, Sepang
Buat anda yang masih mencari-cari aktiviti dan destinasi hujung minggu untuk luangkan masa bersama keluarga, apa kata anda ke Sunset Paradise yang terletak di Sepang. Dan lokasi pun tidak terlalu jauh, hanya mengambil kurang daripada 2 jam pemanduan dari ibu kota. Jadi apa yang menarik di sunset paradise ni? Seperti namanya sendiri, pemandangan sunset (matahari terbenam) di sini yang sangat cantik, membuatkan anda berasa seperti di The Serengeti, Tanzania, padahal terletak di Pantai Bagan Lalang je!
Selain dari itu, terdapat juga pelbagai aktiviti yang dapat anda lakukan di sini sama ada anda datang bersama keluarga, pasangan ataupun rakan-rakan. Antaranya, Dinosaur Park. Di sini mereka menyediakan taman replika dinosaur yang berbagai jenis. Pastinya kanak-kanak yang sukakan dinosaur menjadi teruja melihat haiwan prehistoric ini seakan-akan ada di depan mata.
Selain daripada itu, di sini juga terdapat Fun Fair! Yang merupakan sebuah karnival yang menyediakan mainan dan rides yang klasik dan menyeronokkan. Kawasan di sekitar Sunset Paradise ini juga dihiasi dengan pelbagai lampu LED dan tempat bergambar. Malah, jika anda merancang sesuatu kejutan atau Malam romantik untuk pasangan anda, mereka juga menyediakan tempat makan khas.
Jangan lupa untuk melihat matahari terbenam dan matahari terbit, kerana ianya sangat menakjubkan! Tidak sukar untuk anda mencari makanan enak di sini, kerana kedai makan di sini kebanyakannya hanya dalam jarak jalan kaki. Hanya perlu berjalan sekeliling untuk mencari makanan yang anda inginkan. Berikut adalah beberapa kedai makan yang dapat anda cuba!
Berikut Beberapa Tempat Untuk Ditujui Di Sunset Paradise, Sepang:
- Sunset Kopi: menyediakan variasi minuman Kopi, Teh dan Coklat yang boleh diminum panas atau sejuk. Ruang minum yang berdekatan dengan perairan memang memberikan suasana yang cukup damai.
- Tai Yummy Seafood and BBQ Restaurant: restoran ini berada di bawah pengurusan Chef Kittipat, dan jika anda teringin untuk makan makanan Thailand yang berlatarkan pantai dan bunyi ombak yang tenang, anda tidak akan menyesal untuk mencubanya di sini.
9. Kuala Lumpur
Sebenarnya di Kuala Lumpur, ibu kota negara tercinta Malaysia sendiri juga mempunyai pelbagai destinasi percutian menarik yang dapat anda terokai. Sama ada ianya percutian bersama keluarga, anak-anak ataupun pasangan untuk ‘honeymoon’, variasi pilihan destinasi percutian di KL memang akan membuatkan anda rambang mata tak tahu nak pergi yang mana dahulu.
Di bawah ini, tersedia majoriti tarikan pelancongan di KL yang paling popular dan juga beberapa yang kurang popular tetapi tetap ada tarikannya yang tersendiri. Sama ada untuk aktiviti santai, shopping atau aktiviti yang lasak, KL ada semua itu! Apa yang diperlukan sekarang, tepuk dada dan tanya selera masing-masing. Sekiranya anda bukan orang sekitar KL dan Selangor, pilihan penginapan yang ada di sekitar KL memang sangat banyak baik hotel bajet, hotel 5 bintang ataupun homestay.
Selain daripada itu, hampir kesemua tempat menarik di KL sangat mudah dituju sama ada menaiki kenderaan awam ataupun berjalan kaki daripada stesen MRT ke LRT dan lain-lain.
Jadi untuk sesiapa yang baru sahaja pulang ke KL dari cuti Raya di kampung, pastikan anda kunjungi tempat-tempat mengujakan ini!
Berikut Beberapa Tempat Untuk Ditujui Di Kuala Lumpur:
- Aquaria KLCC: salah satu Akuarium terbesar di Asia Tenggara, yang menampung lebih dari 150 spesies hidupan laut.
- Menara Berkembar Petronas (KLCC): kalau Paris ada Eiffel Tower, India pula kagum dengan Taj Mahal, Malaysia dikenali dunia dengan bangunan berkembar Petronas atau KLCC. Di sini anda dapat bergambar dengan berlatarkan KLCC sebagai kenang-kenangan, atau lepak dan ambil angin di sepanjang taman KLCC.
- I-City: merupakan taman hiburan yang dihiasi dengan hampir lebih 1 juta lampu LED, sesuai untuk tempat hiburan sekeluarga yang lengkap dengan aktiviti yang menarik.
10. Melaka
Apa yang menarik di Melaka? Kecil kecil cili api. Itulah negeri Melaka. Destinasi pelancongan unggul dan menarik di Malaysia.
Kaya dengan kesan peninggalan sejarah dan penuh dengan tarikan moden menjadikan negeri Melaka destinasi sasaran popular pelancong tempatan dan antarabangsa. Melaka juga merupakan destinasi pilihan utama warga Ibu Kota yang mencari tempat percutian singkat untuk melarikan diri daripada kesibukan bandar buat seketika.
Nak tahu apa lebih menakjubkan? Di Malaysia, hanya 2 tempat yang diperakui oleh UNESCO sebagai bandar warisan dunia. Ianya adalah Melaka dan Georgetown di Pulau Pinang. Dengan sejarah melebihi 500 tahun. Hotel di Melaka pun banyak yang menarik. Tempah awal atau pergi luar dari waktu puncak untuk harga yang murah. Kalau pergi dalam kumpulan besar, sewa jelah homestay. Memang tak ada masalah untuk bercuti di Melaka.
Berikut Beberapa Tempat Untuk Ditujui Di Melaka:
- Encore Melaka: selain lawatan ke Muzium, anda sebenarnya boleh mempelajari banyak perkara berkaitan sejarah Melaka dengan menyaksikan persembahan. Persembahan yang padat dengan info sejarah Melaka ini dinamakan sebagai Encore Melaka.
- Taman Botanikal Melaka: taman indah di Melaka yang tidak hanya sekadar pokok-pokok dan bunga-bungaan yang berwarna-warni, tetapi juga ada tarikan lain seperti Kampung Buku, Muzium Hutan, Taman Dinasour yang menempatkan 15 replika dinasour dan juga jambatan gantung.
- Jonker Street: terkenal dengan pelayaran sungai mereka, dan kawasan ini juga sibuk dengan aktiviti terutama pada hujung minggu kerana terdapat pasar malam di mana anda boleh mendapatkan cenderahati, makanan dan kraftangan yang unik.
Anda juga boleh menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman di sepanjang Jonker Street, berikut adalah antara beberapa tempat yang mesti anda cuba ketika berkunjung ke Melaka.
Klik di sini untuk melihat lebih banyak properti yang terdapat di Melaka!
Berikut Adalah Beberapa Tempat Untuk Dicuba Di Jonker Street:
- Jonker 88: untuk Asam Laksa dan Cendol mereka yang menyejukkan ketika cuaca panas terik.
- Peranakan Mansion: untuk makanan Nyonya asli dalam kedai barangan antik Nyonya.
- The Stolen Cup: untuk Kopi berkualiti tinggi dan Croissant Telur Masin yang terkenal.
Di Malaysia sendiri terdapat banyak tempat menarik yang dapat anda terokai sempena cuti Raya Aidilfitri 2023. Marilah bersama-sama menaikkan kembali ekonomi pelancongan Malaysia, dengan mengunjungi tempat-tempat yang menarik di dalam Malaysia dan raikan percutian anda bersama keluarga tersayang! Dan rancanglah percutian anda dengan baik dan teratur, dengan melakukan kajian awal dan juga membuat tempahan awal untuk pengalaman bercuti yang lebih indah!
Bercadang untuk melabur? Lihat beberapa projek yang kami ada di sini, melalui pasukan profesional hartanah kami. Letakkan butiran anda di bawah untuk mengetahui lebih lanjut!
Baca Selanjutnya:
1. Percutian Jimat ke London Selama 2 Minggu untuk Seisi Keluarga!