Belanjawan 2025 telah dibentangkan pada 18 Oktober (Jumaat), tepat jam 4 petang, dengan tema penuh harapan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.
Belanjawan 2025 memberi harapan dan membuka peluang baharu kepada pelabur dan pembeli rumah di Malaysia dengan pengenalan pelbagai inisiatif dan peruntukan strategik baharu dalam memacu pertumbuhan pasaran hartanah.
Pelbagai insentif dan inisiatif yang berpotensi meningkatkan pulangan pelaburan dalam pasaran hartanah Malaysia telah diperkenalkan, dengan tumpuan pada pengurangan cukai, subsidi dan pelaburan besar dalam infrastruktur.
Para pembeli rumah akhirnya dapat menarik nafas lega, setelah kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif baharu yang dapat memudahkan mereka dalam proses pembelian rumah.
Jom kita singkap sorotan utama hartanah yang kini menjadi tumpuan pelabur dan pembeli!
Inisiatif Bidang Hartanah: Belanjawan 2025
1. Pembangunan Negeri
Demi kepentingan rakyat dan meningkatkan kemudahan di pelbagai wilayah, kerajaan akan melaksanakan projek pembangunan di setiap negeri, termasuk pembinaan lebuh raya, transit aliran ringan, serta menaik taraf jalan raya dan infrastruktur lain.
Sabah, Sarawak dan Malaysia Timur, menerima jumlah subsidi pembangunan tertinggi dalam usaha ini.
2. Forest City
Kerajaan akan menubuhkan sebuah badan kewangan khusus untuk membangunkan dan menambah baik Forest City, dengan tujuan untuk merancakkan ekonomi kawasan tersebut serta mencipta banyak peluang pekerjaan.
Kawasan ini juga akan dijadikan sebagai pulau bebas cukai bagi menarik lebih banyak pelaburan dan aktiviti ekonomi.
3. Projek Pembangunan Tenaga Hijau
Projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan memasuki fasa pelaksanaan seperti Projek Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau di Terengganu.
4. Projek Pembangunan Hartanah
Sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan rumah mampu milik bagi rakyat di tanah-tanah wakaf, yang akan dilaksanakan oleh UDA.
Selain itu, tanah Rizab Melayu akan dibangunkan melalui kerjasama antara PNB dan PHB dalam projek perumahan mampu milik, penginapan pelajar dan pembangunan komersial.
5. Rumah Mampu Milik
Sebanyak RM900 juta diperuntukkan untuk 48 projek Program Perumahan Rakyat (PPR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat, termasuk dua projek PPR baharu di Port Dickson dan Seberang Perai Tengah.
Sebanyak 30 projek PPR dijangka siap menjelang akhir 2025, yang akan memberi manfaat kepada 17,500 penghuni baharu.
6. Sejati MADANI
Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion pada tahun hadapan untuk melaksanakan projek Sejati MADANI, yang bertujuan memperkukuhkan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi negara.
7. Pelepasan Cukai Pendapatan jika Jelas Pinjaman Rumah
Bagi perjanjian diselesaikan antara 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027, pelepasan cukai pendapatan peribadi boleh dituntut sehingga RM7,000.
Ini bertujuan menggalakkan penyelesaian awal pinjaman perumahan dan meringankan beban kewangan pemilik rumah.
Sebagai kesimpulan, Belanjawan 2025 jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan sektor hartanah, menawarkan peluang yang lebih cerah bagi pelabur dan pembeli rumah.
Dengan pelbagai insentif dan peruntukan strategik, pasaran hartanah Malaysia kini berada di landasan untuk pertumbuhan yang lebih mapan dan menguntungkan.
Untuk maklumat terkini dan butiran lengkap mengenai Belanjawan 2025, sila layari laman web rasmi untuk lebih lanjut!
Mencari kerjaya yang menawarkan kestabilan ekonomi? Industri hartanah adalah pilihan tepat! Sertai kami di IQI sebagai ejen hartanah dan nikmati insentif menarik serta pendapatan pasif yang menguntungkan.
Baca Selanjutnya
1. Belanjawan 2025: Fokus pada Perumahan Mampu Milik
2. Pemilik Rumah di Malaysia Nikmati Lonjakan Nilai Hartanah Lebih RM 100,000 dalam Tempoh 10 Tahun
3. Akaun 3 KWSP: Pindahan Amaun ke Akaun 3 Adalah Pilihan Yang Baik Atau Buruk?