Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Macam Mana Nak Bersihkan Apartmen Lama dengan Betul dan Menyeluruh

Versi EN, CN


Baru lepas hilang penat alih perabot, kena cuci rumah atau apartmen pula. Begitulah cabaran ketika awal-awal pindah rumah.  

Lagi menguji kesabaran apabila perlu membersihkan apartmen lama yang penuh dengan habuk dan bau yang tidak menyenangkan. 

Semua ini normal jika beli rumah subsale yang sudah lama tidak dihuni. Dengan cara pembersihan yang betul, apartmen lama boleh berubah jadi ruang selesa. 


Intipati Utama:

  • Apartmen lama biasanya berdepan isu kelembapan, kulat, habuk, minyak degil di dapur, serangga serta saluran air tersumbat. 
  • Pembersihan perlu dilakukan secara sistematik dari atas ke bawah bermula dengan siling, dinding, dapur, bilik air, kabinet dan lantai supaya lebih efektif dan jimat masa
  • Pengudaraan yang baik, penggunaan penyerap lembapan membantu menghilangkan bau hapak
  • Pembersihan menyeluruh bukan sahaja meningkatkan keselesaan tetapi juga mengekalkan nilai rumah.


1. Masalah Utama yang Sering Berlaku di Apartmen Lama 

Sebelum mula membersih apartmen, kenal pasti masalah yang biasanya ada: 

i. Kelembapan dan kulat

Dinding, siling dan kabinet mudah mendapat tompok kulat akibat udara lembap dan pengudaraan yang lemah. 

ii. Minyak dan kotoran di dapur

Kawasan dapur, terutama mesin penapis asap dan permukaan memasak, boleh terkumpul minyak degil dalam jangka masa panjang. 

iii. Di  bilik mandi

Silikon di antara jubin dan permukaan basah mudah berkulat apabila tidak dibersihkan dan dikeringkan dengan baik. 

iv. Debu di rel tingkap dan perabot

Debu cepat berkumpul di celah sukar dicapai seperti rel tingkap, kabinet dan sudut bilik.  

v. Masalah serangga

Kelembapan dan sisa makanan boleh menarik serangga seperti semut, lipas atau lalat masuk. Anai-anai juga antara serangga yang sangat dikhuatiri menyerang rumah tidak kira rumah kayu atau konkrit. 

vi. Saluran pili air dan sinki tersumbat 

Saluran pili air tersumbat boleh disebabkan oleh karat dan bendasing begitu juga dengan saluran sinki.

2. Langkah-Langkah Membersih Apartmen Lama (Susunan dari Atas ke Bawah) 

Susunan pembersihan yang betul penting supaya kerja tidak menjadi sia-sia dan kotoran tidak turun kembali selepas dibersih: 

a) Bersihkan Siling, Lampu dan Kipas

Mulakan dari kawasan paling atas supaya debu jatuh ke bawah dan boleh dibersihkan kemudian.  

b) Dinding, Pintu, dan Kabinet Luar

Gunakan kain lembap atau pembersih anti kulat untuk lap habuk dan tompok kulat, terutamanya pada kawasan yang jarang dibersih. 

c) Dapur — Zon Paling Berminyak

Perhatian khusus pada peyedut asap (cooker hood), dinding berhampiran dapur dan top permukaan memasak. Rendam cooker hood dalam campuran air panas, sabun dan baking soda untuk hilangkan minyak degil.  

d) BIlik AIr & Tandas

Bersihkan jubin, permukaan basah dan kawasan silikon yang mudah berkulat. Gunakan pembersih anti kulat atau campuran cuka dan baking soda untuk kesan lebih bersih.  

e) Kabinet, Laci & Ruang Penyimpanan dalam

Keluarkan semua barang, lap setiap permukaan dan biarkan udara masuk supaya kelembapan dikurangkan.  

f) Lantai (Sentiasa Bahagian Terakhir)

Sapukan atau sedut habuk dahulu, kemudian mop dengan air dan pembersih. Mulakan dari hujung paling jauh masuk ke pintu supaya tidak menjejak semula kawasan yang sudah bersih. 

3. Tip Menghilangkan Bau Hapak dan Masalah Kelembapan

Bau hapak biasanya berpunca daripada kelembapan dan pengudaraan yang lemah. Anda boleh mengikuti tip-tip ini untuk menghilangkan bau hapak sepenuhnya.

  • Pastikan pengudaraan yang baik setiap hari
    Buka tingkap dan pintu sekurang kurangnya 20 hingga 30 minit untuk membenarkan udara segar masuk dan mengurangkan kelembapan.
  • Keringkan kawasan basah dengan segera
    Lap lantai, dinding dan permukaan bilik air atau dapur selepas digunakan supaya air tidak bertakung dan menggalakkan pembentukan kulat.
  • Gunakan penyerap lembapan atau bau
    Letakkan arang aktif, semangkuk baking soda atau penyerap lembapan komersial di kabinet, bilik air dan sudut tertutup selama 24 jam dan buang. KIpas dan dehumidifier juga membantu.
  • Periksa kebocoran dan punca lembap tersembunyi
    Pastikan tiada paip bocor, dinding lembap atau saluran air tersumbat yang boleh menyebabkan bau hapak berterusan. Jika berlaku kebocoran, cepat-cepat panggil tukang paip.

4. Khidmat Pembersihan yang Boleh Didapati

Anda boleh mendapatkan khidmat pembersihan profesional bagi menjimatkan masa dan tenaga.

Perkhidmatan ini biasanya merangkumi pembersihan dapur, bilik air, lantai, dinding serta kawasan sukar dicapai.

Kos upah dari serendah RM100 tetapi kebiasaannya bergantung kepada saiz rumah dan tahap kekotoran.

Selain pembersihan asas, terdapat juga perkhidmatan khusus yang semakin mudah didapati di Malaysia.

Antaranya ialah perkhidmatan kawalan serangga (pest control) untuk menangani masalah seperti anai anai, lipas, semut dan nyamuk.

Jika rumah atau apartmen menunjukkan tanda serangan anai-anai, penggunaan perkhidmatan kawalan serangga profesional amat disarankan dan tidak boleh ditangguhkan. 

Anai-anai boleh menyebabkan kerosakan serius pada struktur rumah seperti kayu, kabinet, pintu dan rangka tersembunyi tanpa disedari. 

Kalau dibiarkan, banyak bahagian dalaman mungkin sudah rosak atau rapuh walaupun luaran kelihatan normal.

Bagi rumah atau apartmen yang mempunyai kolam renang, terdapat perkhidmatan penyelenggaraan kolam yang merangkumi pembersihan, rawatan air dan pemeriksaan sistem penapisan bagi memastikan kolam bersih dan selamat digunakan.

5. Bilakah Masa Terbaik untuk Melakukan Pembersihan

Masa yang dipilih untuk melakukan pembersihan juga memainkan peranan agar kerja yang dilakukan lebih efektif dan tidak membebankan.

Berikut adalah beberapa waktu yang sesuai untuk melaksanakan pembersihan menyeluruh:

  1. Sebelum berpindah masuk supaya tidak memenatkan apabila mahu memindahkan barang-barang.
  2. Selepas kerja ubah suai kerana banyak habuk dan sisa binaan dihasilkan daripada kerja-kerja itu.
  3. Elakkan pembersihan ketika hujan berpanjangan kerana risiko kulat dan proses pengeringan menjadi lebih lama.
  4. Ketika cuti panjang kerana proses pembersihan secara menyeluruh boleh mengambil masa berhari-hari.

6. Kepentingan Pembersihan Secara Menyeluruh

Pembersihan menyeluruh bukan sekadar untuk kecantikan ruang, tetapi penting bagi menjaga kesihatan, mengelakkan alahan dan memastikan persekitaran kediaman lebih selamat. 

Apartmen yang bersih juga lebih mudah diselenggara dan memberi keselesaan jangka panjang kepada penghuni.

Selain itu, kebersihan yang baik membantu mengekalkan nilai hartanah dan menjadikan apartmen lebih menarik untuk didiami atau disewakan.

7. Penyelenggaraan Ringkas Selepas Pembersihan

Selepas apartmen lama dibersihkan secara menyeluruh, penjagaan berterusan amat penting untuk memastikan kebersihan tahan lama. 

Amalkan pembersihan ringan secara mingguan, terutamanya di dapur dan bilik air yang mudah kotor. 

Selain itu, lakukan pemeriksaan berkala terhadap paip, saluran air dan sudut lembap untuk mengesan masalah awal. 

Dengan rutin ringkas tetapi konsisten, apartmen lama bukan sahaja kekal bersih lebih lama, malah lebih selesa, sihat dan mudah diurus tanpa perlu pembersihan besar yang kerap.


Soalan Lazim (FAQ)

Ya, terutamanya apabila apartmen sangat kotor atau anda kekurangan masa dan tenaga.

Sentiasa pakai sarung tangan, buka tingkap untuk pengudaraan, dan jangan campur bahan kimia berbeza.

Amalkan pembersihan ringan berkala dan pemeriksaan rutin untuk elakkan kotoran berulang.

Supaya habuk dan kotoran kering tidak bercampur dengan air yang boleh menyebabkan kotoran yang lebih sukar dibersihkan.

Ya, kerana ia meningkatkan daya tarikan dan mempercepatkan proses jual/sewa.


Sedang mencari rumah atau peluang pelaburan hartanah? Pasukan ejen berlesen IQI sedia membantu anda membuat pilihan yang tepat.





+60








Baca Selanjutnya:

  1. Pengecualian Duti Setem Rumah Hingga 2027: Panduan untuk Pembeli Rumah Pertama
  2. Rumah Lelong vs Rumah Blacklisted: Apa Perbezaan dan Risikonya?
  3. Realiti Kewangan Rakyat Malaysia: Kenapa Ramai Yang Bergelut?

Subscribe to our

Newsletter

Langgan

Surat Berita

订阅我们的月讯