Golongan muda di Malaysia kini semakin beralih kepada strategi “rentvesting” sebagai pendekatan alternatif untuk memasuki pasaran hartanah lebih awal, dalam usaha membina kekayaan jangka panjang tanpa perlu memiliki kediaman sendiri terlebih dahulu.
Trend ini berkembang seiring dengan peningkatan kos sara hidup serta harga rumah di kawasan bandar utama, yang menyukarkan pembeli muda untuk memiliki kediaman pertama.

Melalui konsep ini, individu memilih untuk menyewa di lokasi strategik yang dekat dengan tempat kerja atau gaya hidup pilihan, sambil melabur dalam hartanah di kawasan yang lebih mampu milik bagi menjana pulangan.
Kashif Ansari, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, berkata strategi ini mencerminkan perubahan cara generasi muda melihat pemilikan hartanah.
Golongan muda hari ini tidak lagi melihat pemilikan rumah sebagai langkah pertama. Mereka lebih cenderung membina kekayaan melalui pelaburan hartanah yang strategik, walaupun tidak tinggal di unit tersebut,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa rentvesting membolehkan pembeli membeli hartanah di kawasan dengan potensi pulangan lebih tinggi, sambil mengekalkan fleksibiliti gaya hidup dengan menyewa di lokasi pilihan mereka.

Pendekatan ini memberi peluang kepada pembeli muda untuk memasuki pasaran lebih awal, walaupun mereka belum mampu membeli rumah di lokasi yang mereka inginkan untuk didiami…
Kashif Ansari, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI
Dalam masa sama, laporan industri menunjukkan bahawa strategi ini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda yang lebih fleksibel dan berpandangan jauh dari segi kewangan, khususnya di kawasan bandar utama di mana jurang antara harga rumah dan pendapatan semakin melebar.
Rentvesting juga dilihat sebagai satu cara untuk mengatasi cabaran deposit tinggi serta komitmen kewangan jangka panjang, di samping memberi peluang kepada pelabur muda membina portfolio aset lebih awal melalui hasil sewaan dan potensi kenaikan nilai hartanah.

Menurut Kashif, pendekatan ini bukan sahaja memberi fleksibiliti, malah membolehkan pembeli membuat keputusan kewangan yang lebih rasional dan berorientasikan pulangan.
Ini adalah peralihan daripada pemilikan berasaskan emosi kepada strategi pelaburan yang lebih terancang,” jelasnya.
Walaupun begitu, beliau menekankan bahawa strategi ini memerlukan perancangan yang teliti dari segi aliran tunai, pemilihan lokasi dan pengurusan risiko.
Dengan pendekatan yang betul, rentvesting berpotensi menjadi antara strategi utama dalam pembinaan kekayaan hartanah generasi muda di Malaysia.
Juwai IQI telah dipaparkan dalam Utusan Malaysia.
Ingin tahu bagaimana strategi rentvesting membantu golongan muda memasuki pasaran hartanah lebih awal? Dapatkan pandangan pakar dan trend terkini daripada Juwai IQI.
