Tahun baru semakin hampir, sudah tiba masanya untuk reka bentuk rumah baru!
Rumah bukan sekadar tempat berlindung, ia adalah cerminan jiwa. Dalam dunia hiasan dalaman, tahun 2025 bakal membawa perubahan yang lebih segar dan berinspirasi.
Bayangkan ruang yang bukan hanya memikat mata, tetapi juga memberi rasa tenang dan nyaman setiap kali melangkah masuk.
Trend Reka Bentuk Rumah 2025
Mari kita lihat antara trend reka bentuk rumah terkini yang akan mencorakkan gaya hidup anda, menjadikan rumah anda lebih daripada sekadar tempat tinggal!
1. Rumah Mesra Alam
Seperti namanya, rumah mesra alam dijangka menjadi salah satu trend reka bentuk rumah terkini. Jadi, pada tahun 2025 kita bukan sahaja “Save Turtle” malah, “Save Earth”!
Menekankan penggunaan bahan binaan yang mesra alam dan boleh dikitar semula seperti kayu terpakai, batu-bata kitar semula dan panel solar semakin popular.
Pengguna semakin sedar akan bahaya yang datang dengan penggunaan bahan kimia berbahaya dan lebih gemar memilih produk yang bersih dan selamat.
Satu trend konsisten yang kita lihat ialah kecenderungan terhadap produk semula jadi seperti marmoleum (linoleum semula jadi), serta lantai daripada buluh, kayu keras dan gabus.
Manfaatnya? Produk-produk ini mempunyai jejak karbon yang sangat rendah (jika ada) dan dihasilkan tanpa bahan berbahaya seperti VOC, PFAs, PVC, ftalat, biocide dan fungisid.
2. Rumah Pintar (Smart Home)
Dengan teknologi AI yang semakin canggih, rumah di tahun 2025 juga bakal jadi lebih daripada sekadar tempat tinggal!
Kini, rumah pintar bukan lagi sesuatu yang mustahil, malah ia menjadi trend utama dalam reka bentuk rumah.
Antaranya ialah teknologi tersembunyi seperti menggabungkan peranti rumah pintar dengan cara yang membolehkan ia menyatu dengan dekorasi tanpa mengganggu.
Bayangkan.. segalanya, dari kawalan suhu, pencahayaan, keselamatan, hingga hiburan —boleh dikawal hanya dengan aplikasi mudah alih atau suara je?!
3. Gaya Minimalis
Gaya minimalis sememangnya menjadi kegemaran dan pilihan ramai setiap tahun! Minimalisme bukanlah sekadar tentang penampilan yang ringkas, ia adalah cara hidup.
Ia mengajar kita untuk memilih dengan bijak dan hanya simpan barang-barang yang memberi nilai dan kebahagiaan dalam hidup.
Minimalisme mengajak kita fokus pada perkara yang benar-benar penting, sama ada dalam hal barang, ruang atau masa.
Dengan mengamalkan gaya hidup minimalis, anda bukan sahaja boleh mewujudkan ruang yang cantik dan teratur, tetapi juga rumah yang lebih tenang dan bebas daripada rasa tertekan.
Terdapat beberapa kajian saintifik yang meneliti manfaat mengamalkan gaya minimalis yang sering dikaitkan dengan kesejahteraan mental, sememangnya “less is more” kan?
4. Ruangan Alam Semulajadi
Seiring perkembangan masa, ramai yang memilih untuk mencipta kebun mini di rumah, sama ada dengan pokok-pokok kecil, bunga yang mekar, atau tanaman herba yang menyegarkan.
Ini bukan sahaja memenuhi hobi, tetapi juga menjadi salah satu trend reka bentuk hiasan dalaman yang dijangka popular pada tahun 2025.
Tanaman seperti aloe vera, monstera, atau ficus menambah elemen semula jadi yang menyegarkan, harmoni dan memberi rasa lebih hidup kepada ruang.
Elemen-elemen semula jadi ini bukan hanya menambah keindahan visual, tetapi juga memberi manfaat kepada kesejahteraan mental penghuni, membantu meredakan stres dan mencipta persekitaran yang lebih menenangkan.
Petua: Pastikan anda selidik jenis-jenis tanaman yang sesuai untuk di jaga di rumah!
5. Penyeimbangan Warna “Neutral”
Jika anda seorang yang gemarkan warna tetapi tidak mahu terlalu terang, anda beruntung kerana warna neutral yang lembut akan menjadi tren utama pada 2025.
Warna tetap ada, tetapi lebih kepada warna-warna yang tenang dan semula jadi, seperti sage dan terra-cotta yang hangat. Ia mencipta suasana yang penuh emosi tanpa terlalu mendominasi ruang.
Kini, ramai yang mencari ruang yang membawa rasa keintiman dan kestabilan, dan warna-warna neutral ini memberikan keselesaan serta ketenangan dalam setiap sudut ruang.
Palet warna ini sangat sesuai untuk ruangan yang mencipta ketenangan, seperti bilik tidur atau bilik mandi.
Petua: Gabungkan pelbagai tona neutral dengan bahan bertekstur seperti linen, wol, dan jute untuk mencipta reka bentuk yang kaya dan penuh dimensi.
6. Ruangan “Cosy”
Salah satu konsep lain yang semakin popular adalah mencipta ruangan yang “cosy”.
Dengan kehidupan yang semakin sibuk dan penuh tekanan, ramai yang mencari tempat untuk melarikan diri dari keributan dan mencari ketenangan di rumah mereka.
Jadi, reka bentuk rumah terkini akan fokus pada mencipta ruang yang penuh kehangatan dan keselesaan, di mana setiap sudut menyambut penghuni dengan suasana yang menenangkan.
Untuk mencipta ruang “cosy” di rumah, tambah elemen-elemen berikut bagi mencipta suasana yang selesa:
1. Pencahayaan Lembut dan Hangat
Guna lampu dengan suhu warna yang lebih hangat (kuning lembut atau oren) atau lampu dinding dengan cahaya yang redup untuk mencipta suasana yang nyaman.
2. Penggunaan Tekstil Lembut
Pilih fabrik lembut seperti selimut berbulu, kusyen gebu, atau langsir berat untuk menambah kehangatan. Karpet empuk di lantai juga nampak selesa.
3. Kehadiran Kayu dan Elemen Semula Jadi
Menggunakan bahan seperti kayu atau batu dalam perabot atau lantai mencipta rasa kedamaian dan keaslian. Kayu berwarna coklat atau natural dapat memberi efek hangat!
4. Ruang Terbuka yang Rapi dan Teratur
Untuk suasana “cozy”, pastikan ruang tidak terlalu penuh dengan barang. Penyimpanan bijak dan perabot minimalis membantu ruang tetap teratur dan lapang.
5. Aromaterapi dan Wangi-wangian
Tambahkan lilin wangi, diffuser, atau penyegar udara dengan aroma menenangkan seperti lavender atau vanilla. Bau yang menyegarkan bukan sahaja memperkaya ruang, tetapi juga meningkatkan mood.
6. Ruang Santai untuk Rileks
Sofa besar dan empuk, kerusi santai, serta aksesori seperti selimut dan bantal pun cosy!
Tambah sudut santai dengan kerusi empuk untuk membaca atau alas lantai dan bantal untuk meditasi, memberi peluang untuk “me time” dengan tenang.
7. Ubahsuai Ruangan Mengikut Sentuhan Peribadi
Rumah adalah cerminan peribadi kita. Menambah elemen seperti gambar keluarga, karya seni kegemaran, atau barangan antik dapat mencipta suasana yang lebih akrab dan menenangkan.
Elemen-elemen ini menjadikan ruang bukan sekadar tempat tinggal, tetapi sebuah “rumah” yang menyambut dan memberi rasa milik.
Selain itu, reka bentuk lain yang menjadi trend ialah menggunakan konsep ruang pelbagai guna!
Maksudnya, satu ruang boleh dipakai untuk pelbagai tujuan, contohnya, ruang tamu yang boleh jadi ruang kerja, atau bilik kosong boleh dijadikan gim mini, bilik pawagam atau almari pakaian. Menarik kan?
7 Tren Reka Bentuk Rumah yang Akan Berakhir di 2025
Berikut adalah antara 7 trend reka bentuk dalaman rumah yang dijangka sudah lapuk pada tahun 2025 menurut pereka dalaman:
- Dapur Serba Putih: Dapur serba putih yang klasik kini digantikan dengan reka bentuk yang lebih pelbagai, menggabungkan kayu gelap dan warna yang lebih kaya.
- Rak Terbuka di Dapur: Rak terbuka yang terlalu banyak kini digantikan dengan kabinet penyimpanan yang lebih praktikal dan kemas.
- Gaya Dekorasi Industri: Gaya industri yang pernah popular kini dianggap terlalu berlebihan dan telah digantikan dengan gaya yang lebih bervariasi dan peribadi.
- Bilik Monokromatik: Bilik dengan palet warna tunggal semakin kurang diminati kerana ramai lebih gemar skema warna yang lebih bersemangat dan pelbagai.
- Perabot Bouclé: Walaupun bergaya, fabrik bouclé sukar untuk dijaga dan kini digantikan dengan fabrik yang lebih tahan lama dan praktikal.
- Dinding Berpola Berulang: Corak berulang pada kertas dinding kini digantikan dengan mural yang berfungsi sebagai karya seni besar.
7. Dekorasi Berlebihan: Fokus kini beralih kepada reka bentuk yang lebih ringkas dan estetik, menjadikan ruang lebih teratur dan selesa.
Sebagai penutup, reka bentuk rumah 2025 mengutamakan keselesaan, fungsionaliti dan estetika yang praktikal.
Dengan gabungan bahan semula jadi dan ruang yang fleksibel, rumah masa depan bukan hanya untuk dihuni, tetapi untuk mencipta suasana yang menyokong gaya hidup moden.
Tahun 2025 hampir tiba! Bersedia untuk mengubah suai rumah dengan sentuhan trend terkini? Langkah pertama adalah mencari lokasi yang tepat untuk pelaburan. Tunggu apa lagi, hubungi ejen kami hari ini!
Baca Selanjutnya:
1. 10 Barang Deko Ruang Tamu Yang Estetik Dan Murah Di Shopee!