Rakyat yang berpendapatan sederhana, iaitu B40 amat memerlukan kediaman, tetapi disebabkan peningkatan harga rumah yang sangat tinggi menyukarkan mereka membeli rumah. Gelombang kenaikan harga rumah yang semakin mencongak naik dari tahun ke tahun seakan-akan tidak akan berhenti walaupun kini negara sedang mengalami pandemik Covid-19.
Trend peningkatan yang terjadi telah pun mematikan niat dan impian sebilangan besar pembeli dari kalangan B40 untuk memiliki rumah sendiri.
Disebabkan hal yang sedemikian, satu program dan skim rumah mampu milik Malaysia telah diwujudkan yang dikenali sebagai Pr1ma. Ketahui dengan lebih lanjut mengenai manfaat program tersebut melalui perkongsian pada kali ini.
Apakah PR1MA? |
Apakah PR1MA?
Pr1ma atau Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia ialah program pembangunan perumahan di Malaysia. Pr1ma diuruskan dibawah seliaan Perbadanan Pr1ma Malaysia, terkandung di bawah Akta Pr1ma 2012 yang telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Program ini dilancarkan pada 4 Julai 2011 melalui mantan Perdana Menteri, iaitu Najib Razak.
Tujuan Pr1ma diwujudkan adalah untuk merancang, membangun, membina serta menawarkan pembangunan kediaman yang berkualiti tinggi, malah membentuk fasiliti komuniti berintegrasi bagi rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana.
Program Perumahan Pr1ma dilaksanakan kerajaan dan pihak swasta termasuklah institusi kewangan melalui kaedah Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership).
Kediaman Prima ditawarkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berpendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000.
Terdapat pelbagai jenis unit rumah yang berbeza saiz telah pun dibina dibawah program ini.
Sejak penubuhannya, Pr1ma telah berjaya melaksanakan 61 projek di mana jumlah unit rumah sebanyak 49,401 di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 35 projek yang merangkumi 27,821 unit telah pun siap dibina.
Apakah Fungsi PR1MA?
•Pembangunan
Membangunkan kediaman yang berkualiti tinggi, juga membentuk fasiliti komuniti yang berintegrasi bagi rakyat yang mempunyai pendapatan pertengahan.
•Perancangan
Menyelia, merancang dan mengurus segala aspek reka bentuk, pembinaan serta penyelenggaraan bagi kediaman Prima dan juga komunitinya.
•Penentuan
Menentukan harga jualan dan memperuntukkan kediaman Prima melalui pengundian yang diaudit.
•Kerjasama
Bekerjasama dengan institusi kewangan bagi kemudahan pembiayaan.
•Kenalpasti
Bagi memantau, mengawal dan menguruskan bekalan dan permintaan kediaman Prima.
•Perlindungan
Melindungi jenama Pr1ma.
•Pemacu
Memacu kerjasama pintar antara kerajaan dan sektor swasta.
Kenali Rumah PR1MA
Perumahan Prima dibina supaya menjadi sebahagian daripada komuniti di mana terdapat pelbagai pilihan jenis unit juga saiz rumah yang berbeza.
Tujuannya adalah untuk memenuhi kehendak dan juga keperluan bagi golongan yang berpendapatan sederhana.
Melalui pembinaannya di lokasi yang strategik, terdapat pelbagai kemudahan yang terdapat berdekatan dengan perumahan ini, contohnya kedai runcit, sekolah, balai polis dan sebagainya.
Berapakah pula harga projek perumahan PR1MA?
Melalui program Prima, rakyat kini sudah mampu memiliki kediaman sendiri dengan harga rumah di antara RM100,000 hingga RM400,000 berpadanan dengan kelayakan yang dimiliki.
Jumlah unit perumahan Prima adalah 20% harga lebih baik serta rendah daripada harga pasaran.
Melalui harga ditawarkan , golongan rakyat berpendapatan pertengahan mampu memiliki kediaman sendiri tanpa menanggung bebanan berlebihan di luar kemampuan masing-masing.
Lokasi dan senarai projek kediaman PR1MA
Perumahan Prima terletak di dalam kawasan berkomuniti yang kondusif dan strategik di seluruh negara.
Kategori rumah yang terdapat di dalam program ini adalah seperti pangsapuri, banglo, teres dua tingkat, teres satu tingkat dan juga Semi-D.
Keluasannya pula dari 800kps hingga 1850kps jenis rumah teres, manakala bagi keluasan 600kps hingga 1,200kps pula ialah jenis apartment.
Jika anda mahu melihat dan menyemak lokasi pembangunan rumah mampu milik di bawah kendalian Pr1ma dengan lebih terperinci, layari laman web portal rasmi Pr1ma di www.pr1ma.my
Senarai rumah PR1MA
Beberapa senarai projek tersedia ada,
· Wilayah Utara
Residensi Bandar Meru Jaya, Residensi Sungai Petani 1, dan Residensi Permatang Pauh.
· Wilayah Tengah
Residensi Bandar Bukit Mahkota
· Wilayah Selatan
Residensi Melaka Tengah 2 dan Residensi Seremban Sentral
· Wilayah Timur
Residensi Kubang Kerian
· Wilayah Borneo
Residensi Woodford Estate
Syarat kelayakan memohon PR1MA
· Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
· Berumur 21 tahun ke atas.
· Terbuka kepada individu bujang dan telah berkahwin.
· Pendapatan purata bulanan isi rumah antara RM2,500 hingga RM 15,000.
· Tidak ada atau memiliki lebih daripada satu hartanah.
PERINGATAN PENTING: Pastikan juga status kewangan pemohon adalah di tahap yang terbaik manakala bagi laporan kredit pula hendaklah berada dalam keadaan bersih.
Buat semakan CCRIS dan CTOS sebelum membuat sebarang permohonan.
Selain di atas, terdapat beberapa syarat lagi yang perlu dipatuhi, serta disepakati bersama untuk merealisasikan objektif utama penubuhan Pr1ma, iaitu:
· Hanya pemilik sahaja boleh menduduki rumah.
· Tidak boleh jual atau pindah milik kepada pihak lain dalam tempoh 5 tahun.
· Mengikut garis panduan ditetapkan oleh sesetengah negeri.
Langkah-langkah untuk pemohon memohon projek perumahan PR1MA.
Pada era digital kini, pemohon sudah boleh membuat pendaftaran secara dalam talian (online) menerusi platform internet.
Untuk makluman juga, pihak Pr1ma tidak melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga bagi menawarkan perkhidmatan mengisi borang atau menyediakan peruntukan khas untuk rumah Pr1ma.
Pihak Pr1ma juga tidak memberikan sebarang tarikh tutup untuk pendaftaran mengikut ketetapan terkini yang telah diumumkan olehnya.
Oleh itu, pemohon boleh mendaftar pada bila-bila masa yang diinginkan.
Nota: Tiada sebarang yuran pendaftaran dikenakan, juga tiada bayaran diperlukan bagi yuran guaman.
1. Pendaftaran
- Buat pendaftaran
Untuk membuat permohonan, anda perlu mendaftar terlebih dahulu untuk membuka akaun Pr1ma di laman web https://www.pr1ma.my/. Pendaftaran ini dibuat bagi mendapatkan ID Pengguna dan kata laluan. Sebelum itu, baca dan fahami semua terma dan syarat yang terkandung di dalam lampiran itu.
Sekiranya memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh Pr1ma, teruskan proses seterusnya serta lengkapkan segala butiran yang diperlukan. Setelah berjaya mendapatkan ID Pengguna dan kata laluan, anda sudah boleh mengakses sistem permohonan online di laman web Pr1ma.
- Isi Maklumat Lengkap
Langkah seterusnya adalah isi segala maklumat dengan lengkap. Beberapa dokumen, contohnya salinan kad pengenalan dan penyata bank diperlukan apabila memuat naik ketika mengisi borang secara online.
Pastikan anda telah menyediakan segala dokumen berkaitan dengan serba lengkap. Untuk makluman juga, pada 4 Mac 2022, pihak Pr1ma telah mengumumkan bahawa menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan, slip gaji tidak lagi diperlukan ketika membuat proses permohonan secara online.
Ketika mengisi borang, di bahagian lokasi, terdapat ruang pilihan untuk memilih tiga pilihan utama lokasi Rumah Pr1ma yang ingin dibeli juga jenis hartanah, disertai ukuran keluasan, jumlah bilik tidur serta jumlah bilik mandi.
Pastikan anda telah memilih dan mengisinya dengan betul.
- Hantar
Setelah selesai mengisi segala maklumat yang diperlukan, klik butang ‘Hantar’.
Anda akan menerima e-mel pengesahan dari Pr1ma. Simpan nombor rujukan yang diberikan untuk digunakan kelak dalam urusan Rumah Pr1ma.
2. Permohonan
Jika terdapat projek kediaman Pr1ma yang dibuka, pemohon akan mendapat makluman melalui e-mel.
Pemohon perlu memohon projek kediaman Pr1ma yang telah dibuka bagi permohonan kerana pengundian tidak akan dilakukan secara automatik.
· Bagi pembangunan yang baru sahaja dilancarkan, teruskan dengan aplikasi PR1MA Homes.
· Pembangunan unit terhad pula, setelah selesai mendaftar, teruskan dengan permohonan PR1MA Homes.
Sila berhubung dengan Rakan Jualan yang telah dilantik untuk memeriksa unit rumah dan jika terdapat sebarang pertanyaan.
3. Pengundian dan Pemilihan Unit
Proses pengundian secara terbuka akan dilakukan untuk memilih pemohon yang berkelayakan.
Lokasi pengundian akan dimaklumkan melalui e-mel. Pemohon dijemput bagi membuat pemilihan unit pilihan mengikut ketersediaan.
Dalam proses ini, pemohon hendaklah menyediakan yuran tempahan sebanyak RM500 dalam bentuk draf bank atau cek ke,
- Perbadanan PR1MA Malaysia
Bagi unit kediaman di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
- PR1MA Development Sdn. Bhd.
Projek Sarawak.
- PR1MA Seremban Sentral Sdn. Bhd.
Khas bagi kediaman Seremban Sentral.
4. Pembiayaan
Segala dokumen yang diperlukan hendaklah dilengkapkan dan diserahkan ke institusi kewangan pilihan anda.
- Pinjaman melalui bank
Kelulusan mengambil masa lebih kurang satu bulan dari tarikh permohonan.
- Pinjaman kerajaan (LPPSA)
Melalui pinjaman ini pula, kelulusan dianggarkan lebih kurang dua bulan dari tarikh permohonan.
Pembiayaan akhir hartanah akan ditawarkan kepada anda seperti Skim Pembiayaan Fleksibel atau singkatannya SPEF yang merupakan skim eksklusif bagi pembeli kediaman Pr1ma.
Pakej pinjaman menyeluruh ini melibatkan kerjasama antara Bank Negara Malaysia, KWSP, Maybank, CIMB, RHB dan juga AmBank.
Melalui SPEF, pembiayaan pinjaman anda akan dikurangkan, anda hanya perlu bayar kadar faedah tetap untuk lima tahun pertama dan ansuran bulanan yang rendah.
Pemohon juga boleh memohon untuk membuat pinjaman dari mana-mana institusi kewangan yang menjadi pilihan.
Selain SPEF terdapat beberapa lagi manfaat dari insentif kewangan dan pinjaman rumah tertentu, iaitu:
- Pembiayaan (End-Financing)
Pembiayaan 100% dari harga SPA.
- Skim Rent-To-Own
Hanya ditawarkan jika anda tidak layak membuat pinjaman bank dan permohonan akan disemak oleh jawatankuasa khas.
- Care by PR1MA
Merupakan skim insurans rumah PR1MA.
Malah, terdapat juga Skim Jaminan Kredit Perumahan yang diumumkan pada Bajet 2022 yang telah menerima peruntukan sebanyak RM2 bilion.
Prima telah menjalin kerjasama dengan Skim Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) bagi melaksanakan Skim Pinjaman Perumahan Inovatif PR1MA.
Tujuannya adalah untuk merealisasikan aspirasi kerajaan “1 Keluarga 1 Rumah” bagi mendukung slogan Keluarga Malaysia yang diwar-warkan kerajaan.
Melalui skim ini juga, ia dilihat mampu memberikan sokongan dan bantuan kepada sesiapa sahaja yang tidak mempunyai dokumentasi lengkap dan KWSP untuk membuat pembiayaan.
Tetapi sebagai permulaan, skim ini hanya ditawarkan kepada pembeli di Residensi Larkin Indah sebelum diperluaskan di seluruh negara.
5. Keputusan
Keputusan kelayakan akan diberitahu melalui e-mel atau boleh disemak secara online di portal rasmi Pr1ma, iaitu www.pr1ma.my
6. Tandatangan perjanjian jual beli
Jika anda telah layak dipilih, pihak Pr1ma akan memanggil anda untuk pemilihan unit kediaman.
Seterusnya proses Perjanjian Jual Beli (SPA). Perjanjian Jual Beli (SPA) akan ditandatangani pihak pembeli dan juga pemaju, iaitu Pr1ma.
7. Penyerahan pemilikan rumah PR1MA
Anda akan menerima kunci selepas unit rumah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Nota tambahan:
Jika anda terdapat sebarang masalah atau pertanyaan, hubungi Pusat PR1MA di (+603) 7628 9898, Isnin hingga Ahad (9.00pagi – 5.00 petang), kecuali cuti umum bagi negeri Selangor atau melalui e-mel info@prima.my.
Pemohon boleh layari akaun Facebook rasmi, iaitu PR1MA Homes jika mahu melihat lebih banyak projek Prima.
Kesimpulan
Umum mengetahui, hartanah ialah aset terpenting dalam kehidupan terutama bagi yang telah berkeluarga.
Namun untuk memilikinya, bukanlah satu langkah yang mudah.
Beberapa faktor harus difikirkan sebelum memulakan langkah untuk memiliki rumah seperti keadaan kewangan sekarang samada stabil atau luar kemampuan.
Walaupun begitu, bukanlah mudah bagi semua untuk memperoleh peluang keemasan sebegini rupa.
Mahu tidak mahu, anda perlu segera membuat keputusan yang berani sebagai jaminan pada masa hadapan yang lebih cerah bersama keluarga tersayang.
Peningkatan harga rumah yang semakin meningkat ini, tidak memungkinkan anda untuk melengah-lengahkan masa lagi. Mulakan dengan merancang kewangan anda supaya keadaan kembali stabil.
Menurut rekod setakat Disember 2021, sejumlah 50% atau 17,543 pembeli rumah terdiri daripada golongan muda berusia antara 25 hingga 35 tahun.
Melalui rekod itu, hari ini dapat dibuktikan bahawa perumahan Pr1ma menjadi pilihan utama golongan rakyat yang berpendapatan sederhana, iaitu B40.
Berdasarkan rekod tersebut, pihak PR1MA akan memperkenalkan inisiatif Youth Home Ownership yang menyasarkan pemilikan rumah untuk golongan muda kepada 70% menjelang hujung tahun ini.
Dengan segala inisiatif dan manfaat yang ditawarkan oleh PR1MA, menjadikannya pilihan utama yang HARUS dimanfaatkan sekarang oleh para pembeli daripada golongan B40 berpendapatan sederhana.
Terlalu banyak manfaat dan kelebihan yang dapat diperoleh. Akhir kata, slogan “1 Keluarga 1 Rumah” diharapkan akan dapat direalisasikan secepat mungkin seiring dengan pencapaian negara. Selamat maju jaya dan teruskan melangkah dengan cara proaktif untuk memiliki kediaman anda sendiri!
We have real estate professionals who can help you own PR1MA. Fill in the form below, to get in touch with them.