Jualan hartanah kediaman di Malaysia meningkat pantas dalam segmen tertentu meskipun berdepan persekitaran mencabar dicetuskan penularan COVID-19.
Syarikat teknologi hartanah Asia, Juwai IQI, antaranya mencatatkan peningkatan jualan hartanah kediaman masing-masing sebanyak 293 peratus setakat ini bagi 2021 dan 247 peratus berbanding 2019.
Pada minggu 10 Mei 2021, syarikat itu memuktamadkan AS$88 juta (RM364 juta) jualan projek kediaman baharu di seluruh Malaysia, kira-kira 75 peratus lebih tinggi berbanding kira-kira AS$50 juta (RM207 juta) yang dicatatkan bagi minggu biasa.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menjejaskan jualan Juwai IQI di Malaysia seperti yang dijangkakan.
“Secara paradoks, berikutan COVID-19, ramai orang percaya bahawa ini adalah masa yang tepat untuk membeli rumah. Rakyat Malaysia kurang berbelanja berikutan sekatan berkaitan wabak.
“Akibatnya, mereka mengumpulkan lebih banyak simpanan dan mahu menggunakan wang itu untuk kegunaan yang baik dengan membeli pegangan dalam pasaran hartanah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kashif berkata, COVID-19 membuatkan ramai orang menyedari bahawa kejadian yang tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa, justeru, pembeli hartanah melihat memiliki hartanah sebagai kaedah berisiko rendah untuk membina penampan kewangan.
Baca selanjutnya: Berita Harian
Sumber: Berita Harian