Anda masih lagi terfikir untuk melabur dalam industri hartanah? Tapi tidak tahu apa perbezaan antara hartanah komersial dan kediaman? Sebelum memulakan pengembaraan anda dalam pelaburan hartanah, seeloknya anda ketahui maksud kedua pelaburan ini.
Ramai yang sudah melalui kesilapan apabila memasuki pelaburan hartanah dan akhirnya tidak berjaya kaut keuntungan, tetapi mengalami kerugian. Anda harus jadi lebih bijak dan mengambil langkah-langkah yang teratur sebelum kecundang ke gua hutang.
Untuk pengetahuan anda, pada suku pertama tahun 2021, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia (NAPIC) telah melaporkan 6,099 jualan hartanah komersial berbanding suku pertama tahun 2020 dengan hanya 5,020 bilangan jualan.
Ini bermaksud ramai yang sedang mengambil peluang ini untuk menerok pelaburan hartanah melalui hartanah komersial! Memang ramai nak untung, tapi jangan terburu-buru, kerana banyak yang anda perlu tahu mengenai selok-belok hartanah.
Kami akan rungkaikan perbezaan antara dua hartanah ini serta baik buruknya melabur dalam hartanah komersial.
Kediaman VS Komersial
Kediaman seperti yang dimaksudkan adalah jenis hartanah yang kita sebagai pengguna beli untuk menduduki. Pelaburan hartanah yang mudah dan rendah dari segi kos. Serta ia merupakan jalan bijak untuk kita melabur demi masa hadapan diri dan keluarga.
Anda boleh pilih untuk duduki hartanah kediaman yang anda beli atau sewakan kepada orang lain. Perbezaannya adalah pembayaran bulanan dari dompet siapa. Jikalau anda sewakan, maka penyewa sudah meringankan beban anda untuk membayar hartanah secara bulanan.
Komersial pula merangkumi hartanah yang digunakan untuk tujuan perniagaan. Seperti lot kedai, kilang, hotel, atau kedai runcit. Berbeza dengan hartanah kediaman, ianya lebih sukar untuk mendapat pinjaman dari bank kerana terma dan syaratnya sedikit berbeza berbanding hartanah kediaman.
Untuk pelaburan jangka masa panjang, hartanah komersial memang dapat bantu menjana keuntungan yang tinggi, tetapi risikonya juga selaras. Seperti kos yang tinggi dari segi bil utiliti, insurans dan selainnya.
Bagaimana pula dengan syarat pinjaman bank?
Sedikit perbezaan sahaja antara bayaran modal pendahuluan bagi hartanah komersial dan kediaman. Tetapi, semuanya bergantung pada pihak bank yang anda mohon.
a. Margin pinjaman adalah 70% atau lebih rendah daripada 90% jika anda telah memiliki 2 pinjaman hartanah kediaman.
b. Jangka masa pembiayaan pinjaman adalah 25-30 tahun sahaja.
c. Bank tidak / sukar membiayai beberapa jenis hartanah komersial seperti kilang dan ruang runcit di dalam pusat membeli-belah.
3 kelebihan melabur hartanah komersial
Apabila melabur, secara wajibnya kita akan melihat apa yang kita akan terima dan kebaikannya untuk masa depan kita. Kami akan senaraikan 3 kelebihan melabur dalam hartanah komersial untuk anda pertimbangkan.
1. Boleh bahagi ruang untuk perniagaan pelbagai
Kerana ruang yang besar dibeli, seorang pelabur hartanah komersial boleh lukis pelan pembahagian perniagaan yang pelbagai untuk satu kawasan. Ini antara kelebihan hartanah komersial!
Seperti contoh seorang usahawan yang membeli hartanah komersial boleh membuka kedai runcit, kedai makan serta ruang kerja bersama untuk mendapatkan kadar keuntungan yang lebih tinggi. Kerana meletakkan harga berlainan mengikuti saiz tapak yang disewakan, anda boleh mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi melalui satu hartanah komersial.
Selain itu, pembahagian ruang tersebut boleh disewakan kepada ramai peniaga dan juga boleh menarik pengguna ke lokasi tersebut. Seperti yang boleh kita lihat di medan selera yang punyai pelbagai kedai makan serta kedai lain-lain yang disewakan kepada peniaga.
2. Keuntungan besar
Mesti bila sudah labur dengan modal yang besar, mestilah mahukan keuntungan dan pulangan yang mengasyikkan. Seperti yang dihuraikan di atas, hartanah komersial boleh dibahagikan dan boleh memberi sewa kepada peniaga lain.
Manakala sebuah hartanah komersial seperti hotel akan mendapatkan keuntungan melalui pelancongan. Dengan Malaysia menjadi sebuah negara yang pesat dengan kegiatan pelancongan, lebih ramai pelancong akan menginapi sebuah hotel untuk mendapatkan keuntungan.
3. Ruang versatil
Bayangkan dengan adanya sebuah hartanah komersial, anda boleh lakukan pelbagai jenis perniagaan dan ia juga versatil.
Apa maksud versatil ini? Jika anda punyai hartanah komersial yang merupakan medan selera, dan anda lihat kini ruang kerja bersama menjadi trend yang hangat dan amat membuah hasil.
Hartanah anda boleh dibahagikan ruang untuk anda bina sebuah ruang kerja bersama untuk memenuhi permintaan ruang kerja bersama. Tidak ke untung kalau boleh buat dua perniagaan yang berlainan?
Tambahan, ruang yang besar bermaksud anda boleh ubah atau tambah peluang perniagaan anda melalui hartanah komersial.
Sebelum melabur, anda harus lakukan kaji selidik dengan teliti tentang hartanah yang anda mahukan!
Jangan silap langkah! Kenali faktor yang anda harus beri perhatian! 🔎
🏘️ 5 faktor anda harus beri perhatian dalam pelaburan hartanah!
3 kekurangan melabur hartanah komersial
Seperti pelaburan lain, pastinya ada kekurangan yang hadir bersama kelebihan. Sebelum anda berseronok melihat kelebihan, pastikan anda tahu kekurangan melabur dalam hartanah komersial.
1. Kos tinggi
Berbanding pelaburan hartanah kediaman, hartanah komersial memerlukan modal yang lebih tinggi sebagai pendahuluan. Selain itu, ia juga bergantung kepada bank yang anda ingin mohon pinjaman. Kerana pinjaman berbeza mengikut bank. Ini antara kekurangan hartanah komersial.
Selain itu, tarif bagi bil utiliti hartanah komersial juga berbeza dari hartanah kediaman. Serta kos bagi pengubahsuaian bagi sebuah hartanah komersial menggunakan modal yang tinggi untuk membayar kos buruh dan bahan pembinaan.
Perlu fikir juga jikalau tiada sesiapa yang menyewa dan anda perlu tanggung pembayaran bulanan yang tinggi dari dompet anda sendiri.
2. Lokasi main peranan
Jikalau anda melabur sebuah hartanah komersial yang kurang keperluan, anda tidak akan kaut keuntungan mahupun pulang modal.
Kebanyakan hartanah komersial perlu dibeli di tempat yang mempunyai ramai pengguna dan mereka yang ingin berbelanja.
Seperti contoh, sebuah hartanah komersial berdekatan sebuah universiti atau pejabat akan menerima lebih kunjungan berbanding di kawasan RTC atau pendalaman.
3. Risiko tinggi
Dengan mengeluarkan modal yang tinggi untuk jangka masa yang panjang, anda boleh hadapi risiko yang amat tinggi jikalau hartanah komersial anda tidak berjalan dengan lancar.
Hartanah komersial yang dimaksudkan untuk kegunaan khalayak ramai mempunyai lebih banyak pengunjung awam dan oleh itu mempunyai lebih ramai orang yang boleh merosakkan harta benda anda.
Apabila berlaku itu, maka anda perlu keluarkan lebih banyak wang untuk menjaga kawasan komersial anda serta memastikan persekitaran kawasan komersial anda selamat untuk penggunaan orang ramai.
Selain itu, jikalau projek yang anda labur tidak selesai atau pemaju membawa diri dan tidak menyelesaikan pembangunan mereka. Terdapat banyak masalah yang boleh hadir dari hartanah komersial.
Penutupan hartanah komersial anda yang membuka kawasan perniagaan lain boleh membawa kepada kemuflisan.
Berikut adalah kebaikan dan kekurangan bagi hartanah komersial yang anda boleh renungkan sebelum memilih untuk memulakan pengembaraan anda dalalm pelaburan hartanah komersial.
Seeloknya anda bertemu dengan seorang pakar dari industri hartanah yang boleh bantu anda untuk membuat pilihan yang terbaik.
Buat pilihan bijak apabila anda mulakan pelaburan hartanah anda…
IQI Global boleh bantu anda untuk pilih pelaburan terbaik untuk masa depan anda serta keluarga anda. Dengan ejen kami yang bersedia untuk membantu anda, anda juga boleh melabur dalam hartanah!
Isi ruang di bawah dan kami akan hubungi anda!