Sambutan memberangsangkan terhadap permohonan bank digital adalah tidak menghairankan memandangkan peluang pertumbuhan baharu yang ditawarkan segmen berkenaan bagi memenuhi keperluan persekitaran norma baharu yang mementingkan penggunaan digital, kata penganalisis.
Malah, memandangkan lesen perbankan tradisional tidak lagi dikeluarkan turut mendorong syarikat yang berminat memohon untuk mendapatkan lesen bank digital.
Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata aset digital akan memacu ekonomi pada masa depan kerana penggunaan teknologi yang cekap mempercepatkan pertumbuhan dan produktiviti.
Beliau berkata, berikutan ramai peserta memasuki pasaran, teknologi dan bakat akan mengubah tinjauan dalam sektor perbankan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Katanya, BNM mengambil langkah strategik dan berani untuk membawa perubahan dalam struktur kewangan yang akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan terutama sumber manusia.
“Saiz pasaran aset digital dijangka mencecah AS$5 trilion (RM20.8 trilion) dalam dua hingga tiga tahun. Perubahan teknologi meningkatkan kewangan dan pasaran kewangan,” katanya.
Baca selanjutnya: Berita Harian
Sumber: Berita Harian