Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Beza No Furnished, Semi & Fully Furnished: Panduan Lengkap

Versi: EN

TL:DR  Memilih jenis kelengkapan rumah sebenarnya bergantung kepada bajet dan fasa hidup anda. Jika anda mahu sewa paling murah dan bercadang duduk lama, unit No Furnished adalah pilihan bijak. Bagi yang mahukan keseimbangan bajet, unit Semi-Furnished sudah menyediakan kemudahan asas yang mahal seperti penghawa dingin. Namun, jika anda mementingkan kepantasan dan mahu terus masuk rumah bawa beg baju sahaja, unit Fully Furnished adalah penyelamat masa yang terbaik.

Mencari rumah sewa di Malaysia bukan sekadar soal lokasi atau harga. Satu keputusan penting yang sering dipandang ringan adalah jenis kelengkapan rumah

Sama ada anda seorang pelajar, pasangan baru berkahwin, atau keluarga besar, pilihan tahap perabot ini akan memberi kesan besar kepada bajet dan keselesaan anda.

Mari kita fahami perbezaan setiap kategori agar anda tidak tersalah pilih.


Intipati Utama:

  • Fahami perbezaan antara unit No Furnished, Semi-Furnished, dan Fully Furnished sebelum menyewa.
  • Tahap kelengkapan memberi kesan langsung kepada kadar sewa bulanan serta modal awal deposit.
  • Pilih unit berdasarkan fasa hidup sama ada mahu kemudahan segera atau penjimatan jangka panjang.
  • Sediakan senarai inventori dan bukti visual bagi mengelakkan sebarang pertikaian deposit di kemudian hari.
  • Gunakan insurans kandungan untuk melindungi harta peribadi yang tidak dilindungi insurans bangunan tuan rumah.


1. Kenali Jenis Kelengkapan Rumah (Furnished)

Sebelum anda mula scroll iklan sewa, jom fahamkan dulu apa maksud “Furnished” ni. Senang cerita, status unit ni lah yang akan tentukan berapa tebal modal awal anda dan berapa besar lori yang kena tempah nanti.

Dekat Malaysia, biasanya ada tiga kategori utama:

i. Unit Kosong (No Furnished) 

Unit kosong (no furnished) adalah unit yang paling asas dan biasanya datang dalam keadaan “standard” seperti yang diserahkan oleh pemaju. Ia tidak mempunyai sebarang kelengkapan tambahan atau perabot.

Ciri-ciri biasa:

  • Hanya struktur bangunan asas (dinding, lantai, dan siling).
  • Pendawaian elektrik dan saluran paip sedia ada.
  • Tiada kabinet dapur, atau perkakas elektrik.

Sesuai untuk: Mereka yang mempunyai bajet terhad, memiliki perabot lengkap sendiri, atau ingin kebebasan penuh dalam menghias ruang tanpa gangguan perabot sedia ada

ii. Separuh Lengkap (Semi-Furnished)

Unit separa lengkap atau semi-furnished adalah unit yang berada di tengah-tengah antara unit kosong dan unit lengkap sepenuhnya.

Ia bukan sekadar ruang kosong, tetapi ia juga tidak menyediakan perabot mudah alih yang lengkap seperti:

  • Kabinet dapur
  • Penghawa dingin (aircond)
  • Pemanas air (water heater)
  • Langsir
  • Kadangkala peti sejuk atau dapur memasak

Sesuai untuk: Mereka yang mahu kemudahan asas sedia ada tapi tetap mahu membawa katil atau sofa sendiri.

iii. Lengkap Sepenuhnya (Fully Furnished) 

Unit lengkap perabot direka supaya boleh terus didiami tanpa perlu membeli banyak barang. Ia biasanya menyediakan:

  • Perabot lengkap: katil dengan tilam, sofa, meja makan, almari pakaian, meja kerja
  • Barangan elektrik: TV, peti sejuk, mesin basuh, microwave, dapur memasak

Pilihan ini sangat sesuai untuk mereka yang mahu pindah masuk segera, contohnya pelajar, pekerja berpindah cepat, atau ekspatriat.

Tip: Sentiasa semak senarai inventori dan ambil video/gambar keadaan unit sebelum pindah masuk untuk elak kekeliruan atau kehilangan deposit.

2. Perbandingan Ringkas: Kelebihan & Kekurangan

Dah faham jenis-jenis unit tadi? Sekarang masanya untuk buat keputusan. Setiap pilihan ni sebenarnya ada “pengorbanan” masing-masing dari segi bajet dan tenaga anda.

Supaya anda tak pusing kepala nak bandingkan satu-satu, jom tengok beza ketara dalam jadual kat bawah ni:

KriteriaNo FurnishedSemi-FurnishedFully Furnished
Kadar SewaPaling Murah.
(Anda hanya bayar untuk ruang fizikal sahaja.)
Sederhana. 
(Ada tambahan kos untuk penggunaan barang elektrik sedia ada).
Mahal
(Sewa lebih mahal (10%–20%) kerana nilai perabot yang disediakan)
Kos AwalTinggi.
 (Anda perlu modal besar untuk beli perabot asas.)
Sederhana.
(Hanya perlu beli perabot utama (katil/sofa) yang tiada).
Rendah.
(Hanya perlu sediakan deposit; tidak perlu beli barang rumah)
Masa PindahLama. 
(Perlu urus pembelian, penghantaran, dan pemasangan perabot.)
Sederhana. 
(Boleh pindah masuk segera, tapi rumah mungkin terasa “kosong”.
Segera. 
(Boleh pindah masuk hanya dengan membawa beg pakaian (cuci kaki)).
Risiko DepositRendah.
 (Tiada harta pemilik untuk rosak, kecuali struktur dinding/lantai.)
Sederhana.
 (Perlu jaga barangan elektrik dan kabinet yang disediakan.)
Tinggi. 
(Sebarang calar pada sofa atau kerosakan TV boleh menjejaskan deposit.)

Ringkasnya, setiap unit mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri. Gunakan perbandingan di atas untuk menilai pilihan mana yang paling sesuai dengan bajet, gaya hidup, dan keperluan semasa anda.

3. Kenapa Penting Mengetahui Jenis Unit

Memahami jenis furnishing yang tepat sebenarnya memudahkan anda merancang bajet dan gaya hidup dengan lebih awal. Ia bukan sahaja menentukan keselesaan, malah memperincikan tanggungjawab penyelenggaraan serta hak anda dalam kontrak nanti.

i. Kesan terhadap Kewangan

a. Harga Sewa

Tahap kelengkapan perabot menjejaskan kadar sewa. Unit fully furnished biasanya mempunyai premium sewa 10% hingga 20% lebih tinggi berbanding unit kosong.

b. Kos Awal

Untuk penyewa, unit kosong memerlukan pelaburan awal yang besar bagi membeli perabot dan peralatan elektrik, biasanya antara RM5,000 hingga RM15,000 bergantung kepada saiz rumah dan jenama barangan. 

Sebaliknya, unit fully furnished menjimatkan kos ini, tetapi deposit keselamatan biasanya lebih tinggi untuk melindungi perabot sedia ada.

c. Pulangan Pelaburan

Pemilik hartanah sering memilih untuk fully furnish unit bagi mencapai pulangan sewa lebih tinggi dan mengurangkan risiko kosong, terutamanya di kawasan yang didiami penyewa jangka pendek.

ii. Gaya Hidup & Tempoh Tinggal

a. Kemudahan vs Personaliti

Unit fully furnished sedia untuk didiami, sesuai untuk penyewa jangka pendek, pelajar, atau ekspatriat yang mahu pindah masuk segera tanpa perlu fikir perabot. 

Unit kosong pula memberi “kanvas kosong” untuk mereka yang mahu menghias ikut cita rasa sendiri, lebih sesuai untuk penyewa jangka panjang.

b. Pilihan Tengah

Semi-furnished biasanya menyediakan kemudahan asas seperti peti sejuk, mesin basuh atau almari terbina, tetapi tidak termasuk perabot bebas seperti katil atau sofa. 

Ia sesuai untuk penyewa yang mahu kemudahan asas tanpa mengorbankan kebebasan membawa perabot pilihan sendiri.

iii. Tanggungjawab Pengurusan & Undang-Undang

a. Insurans

Tahap kelengkapan perabot mempengaruhi keperluan insurans.

Unit fully furnished memerlukan insurans kandungan untuk melindungi barangan seperti TV, linen dan perabot, manakala unit kosong lebih fokus kepada insurans bangunan untuk risiko struktur.

Penyewa tetap digalakkan memiliki insurans kandungan sendiri bagi melindungi barang peribadi.

b. Inventori & Pertikaian

Untuk unit furnished dan semi-furnished, senarai inventori penting bagi mengelakkan pertikaian ketika tamat sewa.

Tanpa rekod jelas keadaan setiap barangan, sukar untuk menentukan bayaran deposit yang wajar.

4. Panduan Membuat Pilihan: Mana Satu Sesuai Untuk Anda?

Pemilihan jenis unit yang sesuai sebenarnya bergantung kepada gaya hidup, bajet, dan tempoh anda merancang untuk menetap.

Tiada satu pilihan yang sesuai untuk semua orang. Sebaliknya, setiap jenis unit mempunyai kelebihan tersendiri mengikut keperluan penyewa atau pembeli.

Berikut merupakan panduan mudah untuk membantu anda membuat pilihan yang lebih tepat:

i. Pelajar atau Pekerja Bujang

Jika anda sering berpindah mengikut lokasi kampus atau tempat kerja, unit fully furnished adalah pilihan yang paling praktikal.

Ini kerana semua keperluan asas seperti katil, peti sejuk, mesin basuh, dan sofa biasanya telah disediakan. Anda hanya perlu membawa pakaian dan barang peribadi untuk terus masuk.

Sebagai contoh, seorang pelajar yang menyewa unit berhampiran universiti untuk tempoh setahun akan lebih selesa memilih unit lengkap perabot kerana tidak perlu mengeluarkan kos tambahan untuk membeli perabot.

Tips: Pilihan ini sangat sesuai untuk tempoh sewaan jangka pendek atau kurang daripada 2 tahun.

ii. Pasangan Baru Berkahwin

Bagi pasangan yang baru memulakan kehidupan bersama, unit semi-furnished sering menjadi pilihan yang paling seimbang.

Kemudahan asas seperti penghawa dingin, kabinet dapur, langsir, dan pemanas air biasanya sudah tersedia.

Pada masa yang sama, anda masih mempunyai ruang untuk membeli perabot sendiri secara berperingkat mengikut bajet dan cita rasa rumah impian anda.

Sebagai contoh, anda boleh mulakan dengan membeli katil dan sofa terlebih dahulu, kemudian menambah meja makan atau almari selepas beberapa bulan.

Tip: Pilihan ini membantu anda mengurus kewangan dengan lebih baik tanpa perlu mengeluarkan modal yang terlalu besar pada awal sewaan.

iii. Keluarga atau Penyewa Jangka Panjang

Jika anda merancang untuk tinggal dalam tempoh yang lama, unit no furnished selalunya lebih berbaloi.

Selain kadar sewa yang biasanya lebih rendah, anda juga mempunyai kebebasan penuh untuk memilih perabot yang sesuai dengan keperluan keluarga, terutamanya dari segi keselamatan anak-anak dan keselesaan rumah.

Sebagai contoh, keluarga yang mempunyai anak kecil mungkin lebih selesa menggunakan perabot sendiri yang lebih selamat dan sesuai dengan ruang rumah.

Tip: Jika anda bercadang menetap lebih daripada 3 tahun, pilihan ini biasanya lebih menjimatkan dalam jangka masa panjang.

5. Checklist Sebelum Memilih Unit

Sebelum menandatangani perjanjian sewa, adalah penting untuk memastikan anda menyemak beberapa perkara utama supaya tidak menyesal kemudian.

i. Tempoh Tinggal

Fikirkan terlebih dahulu berapa lama anda merancang untuk tinggal di unit tersebut.

Contohnya: Jika hanya tinggal antara 6–12 bulan, fully furnished adalah pilihan paling mudah kerana semua perabot dan barangan elektrik sudah tersedia, membolehkan anda terus “cuci kaki” dan duduk tanpa perlu membeli apa-apa.

Bagi penyewa jangka panjang, no furnished lebih sesuai. Ia membolehkan anda membeli perabot mengikut citarasa sendiri dan mengubahsuai ruang rumah agar lebih selesa dalam tempoh lama.

Tip: Fikirkan juga sama ada anda kerap berpindah kerja atau lokasi. Kalau ya, fully furnished biasanya lebih praktikal.

ii. Bajet Bulanan & Deposit

Jangan hanya tengok harga sewa, anda juga perlu sediakan modal untuk deposit dan kos perlindungan tambahan.

  • Formula Deposit (2+1+0.5): 

Kebiasaannya anda perlu sediakan 2 bulan deposit sekuriti, 1 bulan sewa pendahuluan, dan 0.5 bulan deposit utiliti. Jika sewa RM2,000, bermakna modal awal adalah RM7,000.

  • Tip Pro: Jangan Lupakan “Insurans Kandungan” 

Ramai penyewa tersilap faham bahawa insurans tuan rumah biasanya hanya lindungi dinding dan bumbung. Insurans Kandungan pula adalah perlindungan untuk harta benda di dalam rumah.

Kenapa ini penting? : Jika berlaku banjir, kebakaran, atau kecurian, insurans inilah yang akan membayar ganti rugi barang peribadi anda atau perabot milik tuan rumah.

Tanpa insurans ini, deposit sekuriti anda mungkin akan “hangus” untuk menanggung kos kerosakan tersebut.

iii. Kos Tambahan

Pertimbangkan kos membeli perabot atau barangan elektrik tambahan, terutama untuk unit no furnished atau semi-furnished.

Contohnya: Mesin basuh, peti sejuk, katil, atau sofa mungkin tidak disediakan oleh pemilik. Untuk semi-furnished, kadang-kadang pemilik hanya sediakan kabinet dapur dan penghawa dingin.

Tip: Buat senarai barang wajib yang anda perlukan sebelum pindah, supaya tidak tergesa-gesa membeli semasa hari masuk.

iv. Keadaan Unit

Pastikan semua perabot dan kemudahan berada dalam keadaan baik sebelum anda menandatangani kontrak.

  • Periksa perabot, dinding, lantai, paip dan sistem elektrik.
  • Ambil gambar atau rakam video sebagai bukti, terutamanya untuk unit semi dan fully furnished. Ini akan melindungi anda daripada sebarang tuntutan kerosakan yang bukan disebabkan oleh anda.

Tip: Semak juga sama ada perabot dan perkakas elektrik berfungsi dengan baik. Contohnya, peti sejuk sejuk, penghawa dingin sejuk, lampu semua menyala.

Kesimpulan

Memilih jenis kelengkapan rumah adalah tentang mengimbangi keselesaan segera dengan perancangan kewangan jangka panjang. 

Pilihan yang tepat bukan sahaja memudahkan urusan perpindahan, malah melindungi deposit dan aliran tunai anda daripada beban kos yang tidak dijangka.

Akhirnya, rumah idaman yang terbaik adalah yang memberi ketenangan fikiran dan paling selari dengan bajet serta fasa hidup semasa anda.


Soalan Lazim (FAQ)

1. Bolehkan saya minta tuan rumah tambah perabot untuk unit Semi-Furnished? 

Boleh. Anda boleh berunding dengan tuan rumah untuk menambah barang seperti peti sejuk atau mesin basuh, tetapi biasanya tuan rumah akan menaikkan sedikit kadar sewa bulanan sebagai ganti.

2. Siapa yang bertanggungjawab jika penghawa dingin (aircond) rosak dalam unit Fully Furnished? 

Bergantung kepada kontrak sewa. Secara umum, tuan rumah bertanggungjawab untuk kerosakan akibat haus dan lusuh (wear and tear), manakala penyewa bertanggungjawab untuk servis berkala (setahun sekali) dan kerosakan akibat kecuaian sendiri.

3. Adakah deposit untuk unit Fully Furnished lebih mahal? 

Ya, kebiasaannya begitu. Oleh kerana nilai perabot dalam rumah adalah tinggi, tuan rumah mungkin meminta deposit sekuriti yang lebih besar bagi melindungi aset mereka daripada kerosakan.

4. Bolehkah saya mengeluarkan perabot sedia ada dalam unit Fully Furnished?

Kebanyakan tuan rumah tidak membenarkannya kerana mereka tiada tempat untuk menyimpan perabot tersebut. Jika anda mahu menggunakan perabot sendiri, lebih baik anda mencari unit No Furnished atau Semi-Furnished dari awal.

5. Adakah unit No Furnished (kosong) benar-benar tiada apa-apa?

Tidak semestinya. Kebanyakannya hanya menyediakan keperluan asas elektrik (lampu dan kipas) serta kemudahan sanitari (paip dan singki). Anda perlu menyediakan bajet tambahan untuk langsir, dapur memasak, dan kelengkapan tidur.


Hubungi ejen IQI untuk rundingan profesional mengenai pilihan rumah sedia ada dan mulakan langkah pelaburan hartanah yang lebih bijak dengan yakin.





+60








Baca selanjutnya:

  1. Skim Sewa Beli Malaysia 2026: Beli Rumah Tanpa Deposit?
  2. Kondo vs Rumah Teres di Malaysia: Mana Pilihan Terbaik?
  3. Kenapa Harga Rumah di Melaka Masih Murah dan Berpatutan?

Subscribe to our

Newsletter

Langgan

Surat Berita

订阅我们的月讯