Individu lengkap vaksin berserta MySejahtera yang telah dikemas kini akan diberi kemudahan dan kelonggaran semasa PKP sebagai sebahagian daripada rancangan pemulihan nasional. Walaupun kebanyakan kemudahan ini lebih berpihak kepada mereka yang menetap di Kawasan fasa 2 dan keatas, akan tetapi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di kawasan fasa 1 juga tidak ketinggalan menikmati kemudahan tersebut dengan syarat mereka perlu memaparkan sijil digital MySejahtera mereka.
Apakah yang dimaksudkan dengan vaksinasi lengkap?
- 14 hari selepas daripada tarikh suntikan dos kedua. (Vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac).
- 28 hari selepas daripada tarikh suntikan satu dos. (Johnson & Johnson dan CanSino)
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai SOP dan kelonggaran yang dikemas kini, kunjungi Panduan Lengkap 2021 kami untuk PKP, PKB, PKPD di Malaysia.
Kami memahami pada ketika ini, pasti ramai yang sudah tahu bahkan telah mahir menggunakan aplikasi khas Covid-19 Malaysia, iaitu MySejahtera. Namun, kami masih ingin memberi panduan dan cara menggunakannya bagi membantu rakyat Malaysia atau sesiapa sahaja yang perlu demi menyesuaikan diri dengan norma baharu ini. #KitaJagaKita
1. Cara Mendaftar MySejahtera
Berdasarkan soalan lazim di halaman rasmi MySejahtera, terdapat sembilan langkah untuk mendaftar Mysejahtera, akan tetapi kami ingin meringkaskannya kepada tujuh langkah:
- Muat turun dan pasang aplikasi MySejahtera daripada Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple AppStore, Google Play Store atau Huawei AppGallery
- Buka aplikasi tersebut dan klik ‘Daftar di Sini’.
- Masukkan nombor telefon bimbit atau alamat e-mel anda.
- Anda akan menerima OTP melalui SMS daripada 63839 (jika mendaftar menggunakan nombor telefon) atau pautan pengesahan pendaftaran melalui e-mel (jika mendaftar menggunakan e-mel)
- Masukkan OTP dan klik ‘Hantar’ atau klik pada pautan di e-mel anda untuk mengesahkan pendaftaran anda.
- Buka semula aplikasi dan masukkan ID Pengguna dan kata laluan anda sebelum klik ‘Log masuk’.
- Hore! Anda kini boleh menggunakan aplikasi MySejahtera.
2. Cara Mendaftar Vaksinasi Melalui MySejahtera
- Pastikan aplikasi MySejahtera anda dikemas kini hingga ke versi terbaru.
- Tekan ikon ‘Covid-19’ dan butang di laman utama.
- Sahkan maklumat anda, pastikan nama, nombor kad pengenalan / pasport dan nombor telefon anda betul dan tepat.
- Setelah maklumat anda disahkan, anda akan ditanyakan dengan empat soalan mudah yang perlu dijawab ya atau tidak. Pastikan anda menjawabnya dengan tepat dan benar.
- Sebaik sahaja anda menjawab soalan, anda akan dimasukkan ke dalam senarai tunggu untuk vaksinasi Covid-19 dan akan diberitahu melalui aplikasi MySejahtera, teks ringkas atau panggilan telefon.
3. Cara Mengesahkan Sijil Digital MySejahtera Anda
Sekiranya anda telah menyelesaikan dos vaksinasi dan telah melalui tempoh 14 hari atau 28 hari, maka anda kini secara rasmi berhak menerima kelonggaran bagi individu lengkap vaksin! Seterusnya, anda diminta untuk menunjukkan dan mengesahkan Sijil Digital MySejahtera sebelum anda melakukan aktiviti-aktiviti yang diberi kelonggaran bagi individu vaksinasi lengkap. Ini adalah bagaimana anda menunjukkan bukti vaksinasi anda:
- Buka aplikasi MySejahtera
- Klik ‘Profil’ di sudut kanan bawah skrin.
- Tatal ke bawah sehingga anda melihat ‘Sijil Digital Vaksinasi COVID-19’
4. Cara Menunjukkan ID MySejahtera Anda
- Buka aplikasi MySejahtera
- Klik ‘Profil’ di sudut kanan bawah skrin.
- Periksa kategori berlabel ‘ID MySJ’. (ID MySJ anda selalunya adalah nombor telefon bimbit anda)
5. Apa Perwakilan Warna yang Berbeza dalam Profil MySejahtera Anda?
Apabila anda membuka profil MySejahtera anda, warna profil anda mungkin berbeza mengikut individu yang berbeza. Inilah maksudnya:
Biru | Anda sihat dan berisiko rendah. |
Oren | Anda adalah pesakit Covid-19 yang disyaki. |
Kuning | Anda berada dalam pemerhatian dan mungkin adalah kontak kasual pesakit Covid-19 yang positif. |
Merah | Anda adalah pesakit Covid-19 yang disahkan yang tidak menunjukkan sebarang gejala dijangkiti virus |
Pada masa yang sukar ini, kita mesti saling membantu antara satu sama lain dan sentiasa berpegang pada prinsip-prinsip yang baik. Walaupun kita bergembira dengan kelonggaran yang diberikan kepada individu lengkap vaksin, namun itu bukan alasan untuk melakukan sesuatu perkara dengan senang lenang dan sesuka hati. Jadi, marilah kita semua menggalas tanggunggjawab dan berperanan dalam menangani wabak ini dengan mempraktikkan SOP betul yang telah kita dipelajari selama dua tahun ini.
Anda mahu melanjutkan kerjaya sambil di rumah? Marilah sertai IQI Global untuk menempuh bidang Ejen Harta Tanah!