Juwai IQI menjangkakan peningkatan dalam pelaburan hartanah rentas sempadan sebanyak 40% pada tahun 2022 berbanding 2021, berikutan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pelaburan ini dijangkakan terus meningkat pada tahun 2023, dan berpotensi untuk mencapai tahap pelaburan seperti sebelum pandemik pada tahun tersebut.
“Pada tahun 2022, kami menjangkakan peningkatan pembelian hartanah dalam kalangan ekspatriat Malaysia yang tinggal di Singapura dan juga rakyat Singapura, terutamanya di Johor dan kedua, di Kuala Lumpur,” tambah beliau.
Kashif berkata, pembukaan semula sempadan tersebut akan memberi tiga impak penting terhadap ekonomi Malaysia.
“Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura ini akan menyambung semula jalinan perdagangan dan perjalanan antara dua negara tersebut seperti sedia kala. Hal ini membolehkan rakyat Malaysia mencari peluang di Singapura dan rakyat Singapura mencari peluang di Malaysia semula.”
Tambah beliau lagi, pembeli di Singapura sedang meneroka alternatif yang lebih murah dek harga hartanah yang terlalu tinggi dalam pasaran Singapura.
“Pasaran hartanah di Singapura menunjukkan permintaan yang meningkat dan penawaran yang menurun ketika pandemik. Kesannya, terdapat peningkatan ketara untuk harga hartanah bagi rumah persendirian.”
“Pada tahun 2021, harga rumah persendirian di Singapura melonjak sebanyak 10.6%. Manakala, jumlah transaksi pula meningkat sebanyak 68% berbanding tahun 2020,” kata Kashif.
Selain itu, Dolar Singapura hampir di paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, iaitu RM3.10 berbanding SG$1, dilihat meningkat sejak permulaan pandemik pada Februari 2022, iaitu ketika Dolar Singapura merosot kepada RM2.97.
Kashif berkata, kadar pertukaran ini mewakili 4% hingga 5% dalam kuasa membeli para pembeli yang menggunakan Dolar Singapura.
“Selain kuasa membeli mereka meningkat, pasaran hartanah di Malaysia turut menawarkan harga yang sangat mampu milik. Walaupun pasaran hartanah Malaysia berprestasi baik ketika pandemik, data daripada Kementerian Kewangan menunjukkan tiada perubahan ketara dalam transaksi berbanding tahun-tahun sebelumnya.”
Kata beliau, jumlah nilai transaksi perumahan menurun lebih daripada 26% pada H1 2020 berbanding tempoh yang sama pada 2019.
Walaupun jumlah nilai transaksi lebih rendah pada H1 2021 berbanding tahun 2019, Kashif berkata, harga rumah di Malaysia yang menurun sebanyak 1.2% pada penggal kedua tahun 2021 sebenarnya masih di tahap yang sama dengan tahun 2019.
“Harga rumah di Malaysia kekal dalam lingkungan yang sama sejak tahun 2019, namun jumlah jualan rumah dan pembinaan yang berkurangan, ditambah pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat dalam negara menunjukkan bahawa pasaran hartanah mungkin berada di permulaan kitaran yang baharu.”
“Seiring peningkatan pengambilan pekerja, pendapatan isi rumah, serta KDNK pada tahun 2022 dan seterusnya, kami mengharapkan prestasi pasaran rumah juga turut meningkat.”
Singapura merupakan sumber terbesar pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia. Pada tahun 2020, Singapura menyumbang sebanyak 22% daripada jumlah saham FDI Malaysia.
“Singapura turut mendapat manfaat daripadanya dan telah menerima lebih banyak pelaburan langsung dari Malaysia berbanding negara lain. Pelaburan Malaysia di Singapura mencecah RM110.38 bilion, atau sebanyak 21% daripada jumlah keseluruhan pada tahun 2020,” tambah beliau lagi.
Terima kasih atas semua liputan media. – Bernama, Astro Awani, Berita Harian, Harian Metro, Dagang News