Apa maksud Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT)?
Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau Real Property Gains Tax (RPGT) adalah cukai yang dikenakan atas keuntungan bersih daripada pelupusan harta tanah (rumah pangsa, rumah, kondominium, pangsapuri, ladang, tanah kosong, dan lain-lain).
Berbeza dengan Duti Setem, CKHT merupakan cukai yang perlu dilunas apabila anda melupus hartanah anda.
Ringkasan mengenai CKHT
CKHT/RPGT ni sebenarnya dah diperkenalkan pada tahun 1976 di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, dan mulai 21 Oktober 1988, cukai ini diperluaskan ke atas keuntungan daripada pelupusan syer dalam Syarikat Harta Tanah.
CKHT adalah cukai yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada keuntungan daripada pelupusan hartanah.
Setinggi 30% kadar keuntungan yang boleh dikenakan cukai, tapi ia bergantung kepada tempoh perolehan hartanah. Jadi, kadar yang nak kena bayar tu bergantung pada entiti yang dikenakan CKHT dengan tempoh pemegangan hartanah yang nak dijual tu.
Tempoh pemegangan tu maknanya tarikh pemilikan bermula dari hari seorang pelupus menandatangani borang Sales & Purchase Agreement (SPA) mereka .
Selain itu, terdapat 3 jenis pelupus CKHT: Individu (warganegara / PR), Individu (bukan warganegara), dan Syarikat.
Mengikut kadar yang telah diperbaharui pada tahun 2019, CKHT dikenakan pada 30% dalam tempoh 3 tahun bagi ketiga-tiga pelupus yang bakal menjual harta tanah mereka.
Kadar tersebut akan berkurangan dan apabila mencecah dalam tahun ke 6 dan keatas, ia hanya akan dikenakan sebanyak 10% atau 5% bagi pelupus yang tertentu.
Cara pengiraan CKHT
CKHT yang dikenakan harus dibayar dalam tempoh 60 hari dari pelupusan atau penjualan hartanah.
Kita ambil sebagai contoh anda seorang warganegara ingin menjual rumah anda pada tahun 2021 dengan harga RM700,000. Rumah tu dibeli pada tahun 2010 pada harga RM500,000. Jadi bagaimana kita nak ketahui CKHT yang kita perlu bayar? Pertama sekali ingat rumah tu sudah 11 tahun jadi berapa kadar CKHT yang perlu dibayar? Warganegara dan lebih 6 tahun, 5%.
Untuk memudahkan, kita pecahkan cara pengiraan kepada tiga bahagian.
1. Kira keuntungan yang boleh kena cukai (C.G)
Yang ni bahagian pertama. Kita perlu tahu dalam keuntungan kita tu, berapa yang layak dikenakan cukai. Formula dia adalah:
Harga jual – harga beli – kos lain-lain = C.G |
Kos lain-lain bermaksud kos bayaran guaman atau yang berkait dengan pembelian hartanah dahulu. Contohnya kos bayaran guaman ialah RM10,000. Jadi:
RM700,000 – RM500,000 – RM10,000 = RM190,000
2. Kira keuntungan cukai bersih
Selepas dah dapat angka RM190,000, seterusnya kita perlu kira keuntungan terkena cukai bersih. Formulanya:
Keuntungan yang boleh kena cukai – Pengecualian (RM10,000 atau 10% C.G mana yang lebih tinggi) |
Pengecualian tu perlu pilih mana yang lebih tinggi, RM10,000 atau 10% dari C.G. Kalau mengikut kiraan ini 10% lebih tinggi. Jadi:
RM190,000 – (RM190,000 x 10%) = RM171,000
3. Kira cukai yang perlu dibayar
Ha ni yang tertunggu-tunggu. Bahagian terakhir yang kita akan ketahui berapa CKHT yang kita perlu bayar kepada pihak LHDN. Pengiraan dia ialah:
Keuntungan cukai bersih X Kadar CKHT = Cukai yang perlu dibayar |
Akhirnya kita dapat tahu berapa kadar CKHT yang perlu kita bayar.
RM171,000 x 5% = RM8,550
Jadi selepas mengambil tahu kadar CKHT dan menggunakan 3 bahagian yang tertera, kita dapat tahu kadar CKHT yang perlu dibayar ialah RM8,550 dan pembayaran harus dilakukan kepada pihak LHDN 60 hari dari pelupusan atau penjualan hartanah.
Mudah kan? Okay kita pergi ke topik seterusnya!
Pengecualian CKHT
Ada beberapa senario yang boleh diberikan pengecualian CKHT. Seperti:
- Pengecualian ke atas keuntungan daripada penjualan hartanah kediaman satu sekali dalam seumur hidup kepada individu.
- Pengecualian ke atas keuntungan daripada penjualan hartanah antara ahli-ahli keluarga (contoh: suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak dan datuk dan nenek dan cucu-cucu)
- Rumah kos rendah, rumah kos sederhana dan rumah mampu milik bernilai bawah RM200,000 tidak dikenakan CKHT.
- 10% daripada keuntungan ATAU RM10, 000 bagi setiap transaksi (yang mana lebih tinggi) tidak dikenakan cukai.
Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) pada Tahun 2020
Belanjawan 2020
Sewaktu pengumuman Belanjawan 2020, kerajaan telah umumkan layanan baharu terhadap kadar CKHT. Dengan menggunakan nilai pasaran 1 Januari 2013 sebagai harga pemerolehan hartanah bagi hartanah yang diperoleh sebelum 1 Januari 2000.
Bagaimana maksudnya ni? Jom kita fahamkan.
Encik Ali membeli beli tanah pada tahun 1999 dengan harga RM200,000. Kemudian cadang untuk menjual tanah itu pada tahun 2020 dengan harga RM1juta. Harga pasaran pada tahun 2000 adalah RM500,000, manakala harga pasaran pada tahun 2013 adalah RM700,000.
Sebelum Belanjawan 2020: Selepas Belanjawan 2020: |
Dengan penetapan kadar CKHT baharu yang dibentangkan sewaktu Belanjawan 2020, ianya sangat membantu pemilik rumah dengan pembayaran yang lebih murah.
Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)
Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) merupakan salah satu inisiatif bantuan oleh kerajaan untuk membantu ekonomi negara. PENJANA telah menggariskan pengecualian CKHT bagi merancakkan pertumbuhan sektor hartanah.
Perkara itu secara rasminya digazetkan dalam warta kerajaan, menerusi Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) 2020, yang dibuat mengikut Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976:
- Hanya untuk warganegara Malaysia
- Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) bagi pelupusan rumah kediaman hanya pada 1 Jun 2020 hingga 31 Disember 2021.
- Pengecualian cukai keuntungan itu bagi pelupusan kondominium, pangsapuri atau rumah pangsa, pangsapuri perkhidmatan dan pejabat kecil pejabat rumah (SOHO).
- Terhad kepada tiga unit harta kediaman dalam tempoh berkenaan.
- Perjanjian jual beli (SPA) hartanah kediaman yang dibuat pada atau selepas 1 Jun 2020 tapi tak lebih dari 31 Disember 2021 dan disetem paling lewat pada 31 Januari 2022.
- Jikalau tiada SPA, instrumen pemindahan untuk penjualan hartanah kediaman dibuat pada atau selepas 1 Jun 2020 tetapi tidak lewat dari 31 Disember 2021, dan dicop sewajarnya tidak lewat dari 31 Januari 2022.
Cara nak bayar CKHT
Mudah sahaja cara nak bayar CKHT. Lepas dah tahu semua ni, anda pula boleh bantu orang lain. Untuk dapatkan segala borang boleh sahaja pergi ke laman web LHDN dan muat turun dari situ.
- Isi dahulu borang Pelupusan Harta Tanah (CKHT 1A). Lampirkan borang bersama Perjanjian Jual Beli (SPA) dan semua dokumen potongan sokongan yang anda nak mohon dari CKHT.
- Kalau nak mohon untuk pengecualian CKHT, anda perlu isi borang Notis Pemberitahuan Maklumat di bawah Seksyen 27 A CKHT 1976 (CKHT 3).
- Sebagai penjual, anda perlu pastikan pembeli turut isi borang Sijil Perakuan Penyelesaian (CKHT 4), yang perlu diberi bersama salinan Perjanjian Jual Beli.
- Serahkan dokumen sokongan serta borang di cawangan LHDN yang berdekatan dalam tempoh 60 hari.
- Sediakan salinan dokumen tersebut untuk diserah kepada pemeroleh.
Pastikan maklumat yang diberi benar dan tulus, jikalau dibuktikan tidak benar, pelupus boleh didakwa dan disabit kesalahan dengan denda tidak melebihi RM5,000!
CKHT perlu dilakukan dalam tempoh 60 hari atau dikenakan denda. Tetapi jangan lupa untuk sediakan segala dokumen yang diperlukan untuk dibawa bersama ke LHDN!
Dengan pengecualian duti setem serta CKHT, sekarang masa yang terbaik untuk anda melabur hartanah pertama anda. Penjimatan yang ideal untuk masa akan datang.
Kami di IQI Global ingin bantu anda untuk merealisasikan impian anda! Isi maklumat anda di bawah dan kami akan bantu anda cari rumah impian anda.