Bulan Ramadhan merupakan bulan yang dinanti-nantikan bagi setiap umat Islam kerana pelaksaan amalan ibadah dibalas dengan pahala yang berkali ganda ganjarannya berbanding dengan bulan lain.
Sememangnya ibadah tetap ibadah, tetapi salah satu sebab mengapa ramai tidak sabar dengan kedatangan Ramadhan adalah kerana satu perkara: makanan. Bak kata orang tua, di mana ada makanan, di situ ada bazar Ramadhan.
Dari saat anda mengunjungi bazar, membeli makanan lalu menyediakannya di atas meja makan sebaik sahaja sebelum Iftar, mesti anda merasa kepuasan dan kesyukuran melanda kalbu kan?
Maka itulah keistimewaan bulan suci ini yang menggabungkan keindahan duniawi dan rohani sambil mengukuhkan keeratan antara keluarga atau rakan serta dengan agama dan Allah S.W.T.
1. Waktu Imsak dan Iftar Rasmi 2023 2. 5 Bazar Ramadhan anda Mesti Kunjungi |
Waktu Imsak dan Iftar Rasmi 2023
Soalan yang sering dimainkan dalam minda setiap umat Islam ialah, “pukul berapa boleh buka puasa ni?”.
Kelaungan azan Maghrib yang menandakan waktu Iftar berlainan waktunya mengikut negeri dan zon-zon dalam negeri tersebut.
Usahlah khuatir kerana jadual lengkap untuk waktu Imsak dan Iftar untuk 2023 telah pun dijadualkan oleh JAKIM!
Jadi, anda boleh rujuk jadual ini supaya anda boleh rancang perjalanan anda ke bazar Ramadhan dengan sempurna!
5 Bazar Ramadhan anda Mesti Kunjungi
1. Bazar Ramadhan Taman Melawati
Bazar Ramadhan Taman Melawati yang terletak di tapak letak kereta di sebelah Melawati Mall merupakan pilihan yang underrated pada pendapat penulis.
Walaupun bazarnya tidak sebesar bazar-bazar lain dalam senarai ini, ia mempunyai kepelbagaian yang lebih dari mencukupi. Dari kuih-muih Melayu tradisional seperti Kuih Tepung Pelita ke Roti John mahupun Ikan Bakar dan Kambing Golek turut ditampilkan di bazar bersaiz sederhana ini.
Lebih-lebih lagi, ia senang dikunjungi sama ada melalui Grab ataupun dengan meletak kereta di Melawati Mall.
Dari sudut kesesakan pula, bazar ini jarang sesak sampai tahap tidak dapat mencuci mata dengan juadah enak yang disaji. Namun, anda patut hadir sebelum pukul 6 untuk mengelak kesesakan.
2. Bazar Ramadhan Kampung Baru
Bazar Ramadhan Kampung Baru adalah salah satu bazar yang paling popular di seluruh Malaysia. Oleh itu, ia tidak perlukan sebarang pengenalan lanjut.
Di sini anda boleh mencuba segala perisa dalam spektrum citarasa Malaysia; Ayam Percik keemasan dipanggang bersama sosnya yang pedas manisan, ke-Umami-an Murtabak Cheese serta kepekatan berkrim Bubur Lambuk kebangaan Kampung Baru.
Selamat datang ke Syurga makanan.
3. Bazar Ramadhan Pantai Dalam
Di carta nombor 3 adalah lagi satu bazar yang boleh dikategorikan sebagai underrated kerana ia jarang dikunjungi oleh mereka yang tinggal lebih jauh.
Terdapat beraneka jenis hidangan berasaskan ayam seperti — seperti mana anda sudah jangkakan — Ayam Percik dan, jika anda ingin menukar selera, Ayam Golek yang berhaba api membara serta beraroma arang dan rempah ratus dari perapannya.
Namun demikian, ia disyorkan bahawa anda mengambil Grab atau teksi ke bazar kerana kawasan meletak kereta amat terhad.
4. Bazar Ramadhan Plaza Angsana, Johor Bahru
Menyemberang ke Johor pula terdapat sebuah bazar yang paling teratur dan tersusun di seluruh Malaysia.
Bertapak di kompleks membeli-belah kesayangan Bangsa Johor, Plaza Angsana, macam-macam aneka makanan panas serta kerepek tempatan seperti kerepek pisang dan ubi boleh dibeli di sini.
Di samping itu, juadah tempatan yang wajib dicuba oleh setiap pengunjung ada dijual di sini seperti Laksa Johor, Beriani Gam dan pembuka selera yang cukup sempurna sempena iftar iaitu Goreng Pisang… bersama Sambal Kicap!
5. Bazar Ramadhan Little India, Georgetown
Kebanyakan bazar yang disenaraikan sebelum ini hanya menumpukan beberapa jenis masakan sahaja, terutamanya masakan Melayu.
Namun begitu, bazar Ramadhan di Little India merupakan persimpangan kebudayaan dan ia dicerminkan dalam kepelbagaian masakan yang terdiri daripada kacukan pengaruh Arab, India dan Melayu.
Sebagai contohnya, anda boleh dapatkan makanan seperti Roti Jala, Roti Canai, Pasembur serta kuih-muih seperti Soan Papdi.
IQI mempunyai lebih dari 30,000 ejen hartanah di seluruh dunia. Melalui mod kerjasamanya yang khusus untuk ejen, ianya membantu mereka untuk berkembang bersama!
Berminat untuk mengetahui lebih lanjut? Tinggalkan butiran anda di bawah! Kami akan menghubungi dan membantu anda secepat mungkin.