Versi: EN
| TL;DR: Mulai 1 Januari 2026, semua Perjanjian Jual Beli (SPA) perumahan baharu di Malaysia mesti ditandatangani secara digital melalui sistem eSPA KPKT. Ia lebih pantas, lebih murah, dan lebih telus. Namun ada risiko baharu yang setiap pembeli rumah perlu faham sebelum klik “tandatangan.” |
Beli rumah sepatutnya mudah, bukan menyusahkan.
Dulu, pembeli rumah perlu hadir secara fizikal untuk tandatangan SPA. Ambil cuti, keluar kos perjalanan, tunggu giliran dan semak dokumen yang tebal.
Namun mulai 1 Januari 2026, Malaysia eSPA 2026 mengubah proses ini melalui tandatangan digital di bawah sistem HIMS KPKT.
Persoalannya, adakah eSPA ini benar-benar selamat, lebih cepat dan menjimatkan untuk pembeli rumah?
Intipati Utama:
- eSPA hanya wajib untuk rumah baharu di bawah HDA. Hartanah subsale, komersial, dan individu ke individu tidak termasuk buat masa ini.
- iDsaya adalah kunci anda. Tanpa akaun iDsaya yang disahkan melalui eKYC, anda tidak boleh menandatangani sebarang eSPA.
- Proses lebih pantas dan murah, tetapi ia datang dengan risiko keselamatan siber baharu yang perlu anda jaga.
- Peguam masih diperlukan. eSPA mendigitalkan tandatangan, bukan nasihat undang-undang anda.
Panduan eSPA Untuk Pembeli Rumah:
- 1. Apa Itu Malaysia eSPA?
- 2. eSPA 2026: Berapa Banyak Wang Yang Anda Sebenarnya Jimat?
- 3. Apa Jadi Kepada Proses Pinjaman Bank Dengan eSPA?
- 4. Risiko eSPA Yang Ramai Pembeli Tidak Sedar
- 5. Adakah eSPA Lebih Selamat Daripada SPA Fizikal?
- 6. Apa Yang Pembeli Rumah Perlu Buat Sebelum Tandatangan eSPA?
- Kesimpulan
- Soalan Lazim (FAQ)
1. Apa Itu Malaysia eSPA?

eSPA atau Electronic Sale and Purchase Agreement ialah versi digital rasmi bagi Perjanjian Jual Beli hartanah di Malaysia.
Jika SPA biasa perlu dicetak, ditandatangani secara manual dan dihantar untuk cop setem, eSPA pula dibuat secara dalam talian melalui sistem HIMS di bawah KPKT.
Lebih penting, dokumen eSPA dijana menggunakan templat piawai yang diluluskan KPKT. Ini membantu mengurangkan risiko klausa tambahan dimasukkan tanpa pengetahuan pembeli.
a) Kenapa KPKT Wajibkannya?
Langkah ini adalah sebahagian daripada Madani Housing Reform, iaitu usaha kerajaan untuk menjadikan proses beli rumah di Malaysia lebih moden, telus dan selamat.
Masalah utama sistem SPA fizikal lama yang mendorong perubahan ini:
- Klausa tersembunyi yang mudah diselitkan tanpa pengetahuan pembeli
- Dokumen hilang atau dipalsukan semasa proses penghantaran fizikal
- Kelewatan panjang akibat proses manual antara peguam, pemaju, dan LHDN
- Tiada jejak audit yang jelas jika timbul pertikaian kemudian hari
Dengan eSPA KPKT, setiap tindakan dalam kontrak dicop masa secara automatik dan disimpan dalam sistem HIMS. Tiada siapa boleh ubah, padam, atau tambah klausa selepas kontrak dijana.
b) Siapa Yang Perlu Guna eSPA?
eSPA adalah wajib untuk pembeli hartanah kediaman baharu di bawah Akta Pembangunan Perumahan 1966 (HDA), termasuk pemaju, pembeli, peguam, dan saksi yang terlibat dalam transaksi HDA.
eSPA belum diwajibkan untuk hartanah subsale (jual beli antara individu), hartanah komersial, dan unit siap yang dijual oleh individu bukan pemaju.
c) Di Mana dan Bila?

Sistem ini beroperasi melalui portal HIMS dan aplikasi mudah alih iDsaya yang boleh dimuat turun dari App Store atau Google Play. Tarikh wajib bermula 1 Januari 2026 dan berkuat kuasa sehingga kini untuk semua transaksi HDA baharu.
d) Bagaimana Sistem Ini Berfungsi?
Bayangkan HIMS sebagai ruang digital untuk mengurus dokumen eSPA anda. Di sinilah dokumen dijana, disemak, ditandatangani dan disimpan dengan lebih selamat.
Untuk menandatangani eSPA, pembeli perlu mempunyai akaun iDsaya yang telah disahkan melalui eKYC, termasuk pengesahan MyKad dan biometrik.
Keselamatan sistem ini disokong oleh Akta Tandatangan Digital 1997 dan menggunakan teknologi PKI (Public Key Infrastructure) melalui Pos Digicert, iaitu teknologi yang sama digunakan dalam sistem perbankan dalam talian Malaysia.
Ini bermakna tandatangan digital anda dalam eSPA mempunyai kuasa undang-undang yang sama seperti tandatangan tulisan tangan di hadapan mahkamah.
Untuk panduan penuh, baca juga: Cara Menandatangani eSPA Melalui Aplikasi Mudah Alih iDsaya.
e) Perbandingan Asas: SPA Fizikal vs eSPA
| Aspek | SPA Fizikal | eSPA |
|---|---|---|
| Kaedah tandatangan | Manual, berkertas | Digital melalui iDsaya |
| Jana kontrak | Peguam taip manual | Auto-jana oleh sistem HIMS |
| Penghantaran ke LHDN | Courier fizikal | Digital routing automatik |
| Jejak audit | Sukar dijejak | Dicop masa setiap langkah |
| Risiko klausa tersembunyi | Tinggi | Rendah (templat piawai KPKT) |
| Sah di sisi undang-undang | Ya | Ya (Akta Tandatangan Digital 1997) |
2. eSPA 2026: Berapa Banyak Wang Yang Anda Sebenarnya Jimat?
Ramai orang dengar “eSPA jimat wang” tapi angguk kepala tanpa tahu angka sebenarnya. Jom kita buat kiraan yang tepat supaya anda boleh hitung sendiri.
a) Simulasi Kos Sebenar: SPA Fizikal vs eSPA
Katakan anda seorang pembeli dari Subang Selangor yang membeli hartanah baharu di Johor Bahru, iaitu senario yang sangat biasa bagi pembeli hartanah Malaysia hari ini.
Kos sampingan menggunakan proses SPA fizikal lama:
| Jenis Perbelanjaan | Anggaran Kos (RM) |
|---|---|
| Minyak kereta (KL ke JB pergi balik, lebih kurang 600km) | RM 120 |
| Tol lebuh raya PLUS (pergi balik) | RM 80 |
| Makan dan minum | RM 60 |
| Penginapan (jika bermalam semalam) | RM 150 |
| Nilai cuti tahunan terpakai (2 hari, gaji RM 4,000 sebulan) | RM 400 |
| Kos courier jika ada dokumen tertinggal | RM 30 |
| Jumlah Anggaran Kos Sampingan | RM 840 |
Kos sampingan menggunakan eSPA:
| Jenis Perbelanjaan | Kos (RM) |
|---|---|
| Minyak, tol, penginapan | RM 0 |
| Cuti tahunan terpakai | 0 hari |
| Kos courier | RM 0 |
| Jumlah Kos Sampingan | RM 0 |
Jumlah penjimatan: lebih kurang RM 840 untuk satu transaksi.
Dan ini hanya kos sampingan, belum termasuk tekanan emosi dan masa produktif yang hilang sepanjang hari perjalanan tersebut.
b) Bolehkah Anda Rugi Dengan eSPA?
Secara kos langsung, tidak. Tetapi ada kos tersembunyi yang perlu anda pertimbangkan:
i. Kos masa untuk daftar iDsaya: Proses eKYC iDsaya mengambil masa lebih kurang 15 hingga 30 minit untuk dilengkapkan, dan kelulusan mengambil masa lebih kurang 3 hari bekerja. Ini perlu dibuat sebelum anda menerima jemputan tandatangan eSPA.
ii. Kos jika menghadapi masalah teknikal: Jika peranti anda rosak atau sambungan internet terputus semasa sesi tandatangan, anda perlu reschedule dengan peguam dan pemaju, yang mungkin menyebabkan kelewatan beberapa hari.
iii. Kesimpulan kos: Bagi majoriti pembeli, eSPA adalah lebih murah secara keseluruhan berbanding SPA fizikal. Kos persediaan awal adalah minimal berbanding penjimatan yang diperolehi.
3. Apa Jadi Kepada Proses Pinjaman Bank Dengan eSPA?
Ramai pembeli melihat eSPA sebagai proses tandatangan digital sahaja. Sebenarnya, kesannya boleh pergi lebih jauh, termasuk kepada urusan pinjaman perumahan.
Dalam pembelian rumah baharu, bank biasanya memerlukan dokumen SPA yang sah sebelum proses pembiayaan boleh bergerak ke peringkat seterusnya.
Jadi, apabila proses SPA menjadi lebih cepat dan tersusun, urusan pinjaman juga berpotensi menjadi lebih lancar.
a) Dokumen SPA Boleh Dikemukakan Dengan Lebih Cepat

Dalam proses SPA fizikal, dokumen perlu ditandatangani, disemak, dihantar dan diproses secara manual. Jika ada kelewatan pada satu bahagian, proses pinjaman juga boleh tertangguh.
Dengan Malaysia eSPA 2026, dokumen SPA yang telah ditandatangani secara digital boleh disediakan dan dikemukakan dengan lebih cepat kepada pihak berkaitan, termasuk peguam dan bank.
Bagi pembeli, ini boleh membantu mengurangkan risiko kelewatan dalam urusan pembiayaan, terutama jika mereka sedang menyewa sementara menunggu proses rumah selesai.
b) Jadual Pembayaran Progresif Lebih Mudah Dirujuk

Untuk rumah dalam pembinaan, bayaran kepada pemaju biasanya dibuat secara berperingkat mengikut jadual pembayaran progresif dalam SPA.
Dengan eSPA, maklumat penting dalam perjanjian lebih mudah disemak semula kerana dokumen disimpan secara digital. Ini membantu pembeli dan peguam merujuk semula butiran seperti jumlah bayaran, peringkat pembinaan dan tarikh berkaitan dengan lebih tersusun.
Ia juga boleh mengurangkan risiko salah faham atau kelewatan yang berpunca daripada dokumen fizikal yang lambat dihantar, hilang atau sukar dijejak.
c) Pembeli Masih Perlu Semak Dengan Bank
Walaupun eSPA membantu mempercepatkan proses dokumen, setiap bank mungkin mempunyai proses dalaman yang berbeza.
Sebelum tandatangan eSPA, tanya pegawai pinjaman anda sama ada bank sudah biasa menerima dokumen eSPA dan apa dokumen tambahan yang diperlukan untuk proses pinjaman.
Jangan anggap semua pegawai bank akan melalui proses yang sama. Lebih awal anda semak, lebih rendah risiko berlaku kelewatan selepas tandatangan.
Ringkasan Impak eSPA Kepada Pinjaman Bank
| Aspek | SPA Fizikal | eSPA |
|---|---|---|
| Serahan dokumen kepada pihak berkaitan | Bergantung kepada dokumen fizikal dan penghantaran manual | Boleh dikemukakan secara digital dengan lebih cepat |
| Risiko dokumen tertinggal atau lambat sampai | Lebih tinggi | Lebih rendah |
| Semakan jadual pembayaran progresif | Bergantung kepada salinan dokumen dan peguam | Lebih mudah dirujuk melalui dokumen digital |
| Risiko kelewatan proses pinjaman | Boleh berlaku jika dokumen lambat lengkap | Berpotensi lebih rendah jika semua pihak bersedia |
| Tindakan pembeli | Tunggu makluman peguam atau bank | Semak awal dengan peguam dan pegawai pinjaman |
4. Risiko eSPA Yang Ramai Pembeli Tidak Sedar
eSPA menawarkan banyak kelebihan, tetapi ia bukan sistem yang sempurna. Sebagai pembeli yang bijak, anda perlu tahu risiko ini sebelum menerima e-mel jemputan dari HIMS.
Risiko 1: Penipuan Siber Dan Serangan Phishing

Apabila proses eSPA dibuat secara digital, urusan jadi lebih mudah. Tetapi pada masa yang sama, pembeli perlu lebih berhati-hati dengan risiko penipuan siber seperti e-mel dan pautan palsu.
Ada penipu yang mungkin menyamar sebagai HIMS atau iDsaya untuk meminta anda “sahkan eSPA” atau masukkan PIN sijil digital.
Jangan klik pautan sembarangan. Hanya akses HIMS melalui laman rasmi dan jangan kongsi PIN atau kod TOTP dengan sesiapa.
Langkah perlindungan:
- Hanya akses HIMS melalui URL rasmi: hims.kpkt.gov.my
- Hanya muat turun iDsaya dari App Store atau Google Play yang rasmi
- Jangan sesekali berkongsi PIN sijil digital atau kod TOTP dengan sesiapa
- Jika ragu-ragu tentang mana-mana e-mel yang diterima, hubungi pemaju atau peguam anda secara terus untuk pengesahan
Risiko 2: Jurang Celik Digital
Bukan semua pembeli selesa membaca dan menandatangani dokumen penting secara digital.
Risikonya, pembeli mungkin terlalu cepat klik tandatangan tanpa benar-benar menyemak isi eSPA, terutama jika dokumen dibaca melalui telefon atau skrin kecil.
Sebab itu, jangan terburu-buru. Semak draf eSPA menggunakan laptop atau komputer, dan minta peguam terangkan bahagian yang anda kurang faham.
Langkah perlindungan:
- Jangan tandatangan eSPA pada skrin telefon bimbit. Gunakan komputer riba atau monitor yang lebih besar
- Minta salinan PDF draf eSPA daripada peguam anda untuk disemak dengan teliti sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari sebelum hari tandatangan
- Libatkan peguam anda sejak awal dan pastikan anda faham setiap klausa sebelum commit
Risiko 3: Masalah Teknikal Semasa Sesi Tandatangan
Proses eSPA bergantung pada internet dan peranti yang stabil.
Jika sambungan terputus, telefon kehabisan bateri atau sistem terganggu semasa tandatangan, proses mungkin tertangguh dan perlu dijadualkan semula.
Langkah perlindungan:
- Pastikan sambungan WiFi stabil sebelum mulakan sesi tandatangan
- Charge peranti anda sepenuhnya sebelum mulakan
- Elak guna data mobile sahaja semasa menandatangani dokumen penting
Risiko 4: Kehilangan Akses Akaun iDsaya
Tanpa akses iDsaya, anda tidak boleh tandatangan eSPA.
Sebab itu, pastikan nombor telefon aktif, PIN selamat dan akaun iDsaya boleh diakses sebelum hari tandatangan.
Langkah perlindungan:
- Aktifkan log masuk biometrik sebagai lapisan keselamatan tambahan
- Pastikan nombor telefon yang didaftarkan dalam iDsaya masih aktif
- Jika anda tukar nombor telefon, kemaskini segera dalam akaun iDsaya anda sebelum hari tandatangan
5. Adakah eSPA Lebih Selamat Daripada SPA Fizikal?
Ini adalah soalan yang paling banyak ditanya oleh pembeli rumah Malaysia sejak eSPA KPKT diwajibkan pada 1 Januari 2026.
Jawapan ringkasnya: ya, secara keseluruhannya eSPA lebih selamat, tetapi dengan syarat anda menggunakannya dengan betul.
a) Dari Sudut Keselamatan Dokumen
SPA fizikal lama terdedah kepada risiko yang sangat nyata: dokumen boleh hilang semasa penghantaran, boleh dipalsukan, boleh diubah selepas ditandatangani, dan boleh rosak akibat bencana fizikal seperti kebakaran atau banjir.
eSPA menangani semua risiko ini secara langsung. Setiap dokumen eSPA disimpan dalam pelayan selamat HIMS yang dikendalikan oleh KPKT.
Sebarang percubaan untuk mengubah kandungan dokumen selepas ia ditandatangani akan dikesan serta-merta oleh sistem kerana setiap versi dokumen mempunyai cap digital yang unik.
b) Dari Sudut Keselamatan Identiti

Sistem iDsaya menggunakan eKYC berasaskan biometrik untuk mengesahkan identiti pembeli sebelum akaun diaktifkan. Ini bermakna seseorang tidak boleh mendaftar akaun iDsaya menggunakan identiti orang lain tanpa pengesahan biometrik yang sah.
Teknologi PKI melalui Pos Digicert yang mendasari sistem ini adalah standard keselamatan antarabangsa yang sama digunakan oleh institusi perbankan dan kerajaan di seluruh dunia.
Di bawah Akta Tandatangan Digital 1997, tandatangan digital anda dalam eSPA mempunyai kuasa undang-undang penuh dan tidak boleh dinafikan di mahkamah.
c) Dari Sudut Ketelusan Transaksi
Setiap langkah dalam proses eSPA dicop masa secara automatik dan disimpan sebagai rekod kekal dalam HIMS. Ini mewujudkan jejak audit yang lengkap.
Anda tahu dengan tepat bila dokumen dijana, bila setiap pihak menandatangani, dan bila ia dihantar kepada pihak berkuasa.
Dalam konteks pertikaian undang-undang, jejak audit digital ini adalah bukti yang jauh lebih kukuh berbanding SPA fizikal yang mungkin tidak mempunyai rekod terperinci tentang siapa menandatangani apa dan bila.
Rumusan Keselamatan
| Aspek Keselamatan | SPA Fizikal | eSPA |
|---|---|---|
| Risiko dokumen hilang atau rosak | Tinggi | Sangat rendah |
| Risiko pemalsuan dokumen | Sederhana | Sangat rendah |
| Pengesahan identiti pembeli | Manual (MyKad fizikal) | Biometrik eKYC (iDsaya) |
| Jejak audit | Tidak sistematik | Automatik dan lengkap |
| Risiko siber | Tiada | Ada (phishing, akaun digodam) |
| Perlindungan undang-undang | Akta Kontrak 1950 | Akta Tandatangan Digital 1997 dan Akta Kontrak 1950 |
eSPA lebih selamat dalam hampir semua aspek keselamatan fizikal dan dokumen. Satu-satunya kawasan di mana eSPA memperkenalkan risiko baharu adalah dari sudut keselamatan siber.
6. Apa Yang Pembeli Rumah Perlu Buat Sebelum Tandatangan eSPA?
Sekarang anda tahu apa itu eSPA, berapa yang anda jimat, apa risikonya, dan mengapa ia lebih selamat. Soalan terakhir yang paling penting: apa yang perlu anda buat sekarang?
1. Daftar dan sahkan akaun iDsaya
Jangan tunggu saat akhir. Muat turun aplikasi iDsaya, lengkapkan eKYC menggunakan MyKad dan pastikan akaun anda sudah disahkan.
Tanpa akaun iDsaya yang aktif, anda tidak boleh menandatangani eSPA.
2. Pastikan peguam biasa dengan sistem HIMS
Peguam masih penting dalam proses eSPA. Mereka akan membantu menyemak dokumen, menjelaskan terma dan memastikan kepentingan anda dilindungi.
Tanya terus: “Adakah firma ini biasa urus eSPA melalui HIMS?”
3. Semak Draf eSPA Bersama Peguam Sebelum Hari Tandatangan
Jangan baca dokumen penting pada saat akhir. Minta draf eSPA lebih awal dan semak bersama peguam.
Fokus pada harga rumah, jadual bayaran, tarikh serahan milikan dan tempoh liabiliti kecacatan.
4. Pastikan nombor telefon dan e-mel aktif
Notifikasi eSPA biasanya dihantar melalui e-mel atau nombor telefon yang didaftarkan.
Jadi, pastikan maklumat anda tepat dan masih boleh diakses.
5. Semak status pemaju dan hartanah
Pastikan hartanah yang dibeli adalah projek perumahan baharu di bawah HDA dan pemaju berdaftar dengan KPKT.
Ini penting kerana eSPA hanya boleh dikeluarkan melalui sistem HIMS oleh pihak yang layak.
6. Sediakan peranti dan internet yang stabil
Pada hari tandatangan, gunakan laptop atau komputer jika boleh. Pastikan internet stabil, bateri mencukupi dan elakkan WiFi awam.
Proses digital memang mudah, tetapi dokumen yang anda tandatangan tetap kontrak jual beli rumah yang sah.
Untuk panduan langkah demi langkah, baca juga: Cara Menandatangani eSPA Melalui Aplikasi Mudah Alih iDsaya.
Kesimpulan
Malaysia eSPA 2026 menjadikan proses beli rumah lebih mudah, cepat dan tersusun, terutama untuk pembeli yang tidak mahu lagi berurusan dengan dokumen fizikal yang panjang.
Namun, proses digital tetap memerlukan langkah berhati-hati. Daftar iDsaya awal, semak dokumen bersama peguam dan pastikan anda hanya menggunakan saluran rasmi.
Ringkasnya, eSPA memudahkan proses tandatangan SPA. Tetapi keputusan membeli rumah tetap perlu dibuat dengan teliti dan bijak.
Soalan Lazim (FAQ)
Tidak. eSPA KPKT hanya wajib untuk hartanah kediaman baharu yang di bawah Akta Pembangunan Perumahan 1966 (HDA) bermula 1 Januari 2026. Hartanah subsale, hartanah komersial, dan unit siap yang dijual antara individu bukan pemaju belum diwajibkan menggunakan eSPA buat masa ini.
Proses SPA fizikal biasanya mengambil masa dua hingga tiga minggu dari tarikh sesi tandatangan hingga SPA disahkan sepenuhnya. Dengan eSPA, keseluruhan proses boleh diselesaikan dalam masa kurang dari dua hari bekerja, termasuk e-stamping automatik oleh sistem HIMS.
Ya. Selagi akaun iDsaya anda telah didaftarkan dan disahkan sebelum anda berlepas, anda boleh menandatangani eSPA dari mana-mana sahaja di seluruh dunia menggunakan aplikasi iDsaya. Ini adalah salah satu kelebihan terbesar sistem eSPA berbanding SPA fizikal yang memerlukan kehadiran fizikal.
Ya, peguam masih diperlukan. eSPA mendigitalkan proses tandatangan tetapi tidak menggantikan keperluan nasihat undang-undang. Peguam anda bertindak sebagai saksi digital dalam sistem HIMS dan yang lebih penting, untuk menyemak setiap terma perjanjian dan melindungi kepentingan anda sebelum anda menandatangani.
Jangan klik sebarang pautan dalam e-mel tersebut. Hubungi terus pemaju atau peguam anda untuk pengesahan. Hanya akses HIMS melalui URL rasmi hims.kpkt.gov.my dan muat turun iDsaya hanya dari App Store atau Google Play yang rasmi. Laporkan sebarang cubaan penipuan kepada KPKT atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Warga asing yang membeli hartanah kediaman baharu di bawah HDA juga tertakluk kepada keperluan eSPA. Walau bagaimanapun, proses pendaftaran iDsaya untuk warga asing mungkin berbeza dan memerlukan dokumen tambahan. Adalah disyorkan untuk berbincang dengan peguam konveyan anda lebih awal untuk memahami keperluan khusus berdasarkan status kewarganegaraan anda.
Bersedia untuk mulakan perjalanan hartanah anda? Hubungi ejen hartanah berlesen IQI hari ini dan dapatkan panduan lengkap dari pemilihan hartanah hingga proses eSPA anda bersama pakar yang berpengalaman.
Baca Selanjutnya:
- Cara Menandatangani eSPA Melalui Aplikasi Mudah Alih iDsaya
- Loan Rumah Kena Reject? 7 Punca Utama Yang Ramai Tak Sedar
- Cara Memfailkan Cukai Pendapatan di Malaysia (Panduan Lengkap e-Filing 2026)
Rujukan:
- IQI Global. (2026, 19 Januari). Cara menandatangani eSPA melalui aplikasi mudah alih iDsaya. IQI Blog. Diperoleh daripada https://iqiglobal.com/blog/bm/cara-menandatangani-espa-melalui-idsaya/
- Muhammad Shah. (2026, 13 Mei). Malaysia eSPA 2026: Kontrak hartanah lebih pantas dan risiko lebih rendah. PropertyGuru Malaysia. Diperoleh daripada https://www.propertyguru.com.my/property-guides/malaysia-espa-2026-faster-property-contracts-and-lower-risks-pjx-79812
- Jabatan Perumahan Negara. (2026). Portal Sistem Pengurusan Perumahan Bersepadu HIMS. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Diperoleh daripada https://hims.kpkt.gov.my/pemaju/login
- Pasukan Editorial S P Setia. (2026, 21 Januari). Transformasi digital: Bersedia untuk rangka kerja iDsaya dan eSPA 2026. S P Setia e-SPA Hub. Diperoleh daripada https://spsetia.com/e-spa/
- Pasukan Pos Digicert. (2026). Rangka kerja PKI dan tandatangan digital yang diiktiraf secara sah untuk eSPA KPKT di bawah Akta Tandatangan Digital 1997. Pos Digicert Malaysia. Diperoleh daripada https://www.posdigicert.com.my/espa/
- iDsaya Tech. (2026). Perkhidmatan pengesahan identiti selamat dan ekosistem eKYC biometrik. Laman Rasmi iDsaya. Diperoleh daripada https://idsaya.my/
